Disiplin
Diri: Rahsia Konsisten Dalam Menuntut Ilmu
Pernahkah kita berazam untuk belajar
setiap hari, tetapi hanya mampu bertahan selama dua atau tiga hari? Pernahkah
kita berjanji untuk menyiapkan kerja sekolah lebih awal, tetapi akhirnya
menangguhkannya sehingga saat akhir? Atau mungkin kita mempunyai impian untuk
mencapai keputusan yang cemerlang, tetapi sukar mengekalkan kesungguhan dalam
usaha mencapainya? Situasi ini sering berlaku dalam kehidupan seorang pelajar.
Kita mempunyai matlamat, cita-cita dan keinginan untuk berjaya. Namun, cabaran
sebenar bukan sekadar menetapkan matlamat, tetapi memastikan kita terus
berusaha secara konsisten untuk mencapainya.
Di sinilah pentingnya disiplin diri. Disiplin
diri merupakan keupayaan mengawal tingkah laku, mengurus tindakan dan
melaksanakan tanggungjawab walaupun berhadapan dengan rasa malas, gangguan atau
perkara yang lebih menyeronokkan. Dalam konteks pembelajaran, disiplin diri
membantu seseorang pelajar terus belajar, membuat latihan, mengulang kaji dan
memperbaiki kelemahan walaupun tidak sentiasa mempunyai motivasi. Motivasi
boleh mendorong kita untuk bermula, tetapi disiplin membantu kita untuk terus
melangkah.
Disiplin diri bukan bermaksud seseorang
perlu sentiasa melakukan sesuatu perkara mengikut jadual tanpa sebarang
perubahan. Sebaliknya, disiplin diri ialah kebolehan mengawal diri supaya
tindakan yang dilakukan selari dengan matlamat dan tanggungjawab yang telah
ditetapkan. Sebagai contoh, seorang pelajar mungkin lebih suka bermain permainan
video berbanding menyiapkan kerja sekolah. Namun, dia memahami bahawa tugasan
tersebut merupakan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.
Apabila dia memilih untuk menyiapkan kerja
sekolah terlebih dahulu sebelum bermain, dia sebenarnya sedang melatih disiplin
diri. Begitu juga apabila seseorang pelajar bangun pada waktu yang ditetapkan,
hadir ke sekolah, menyiapkan tugasan, mengulang kaji pelajaran dan mengurus
masa dengan baik. Semua tindakan kecil ini merupakan latihan membina disiplin. Disiplin
bukan sesuatu yang muncul secara automatik. Ia terbentuk melalui amalan yang
dilakukan secara berulang sehingga menjadi kebiasaan.
Ilmu tidak dapat
dikuasai hanya dengan niat atau keinginan. Kita memerlukan usaha, kesungguhan
dan komitmen yang berterusan. Terdapat beberapa sebab mengapa disiplin diri
sangat penting dalam proses pembelajaran.
Pertama, membantu
kita kekal fokus kepada matlamat. Setiap pelajar mempunyai matlamat yang
berbeza. Ada yang ingin mendapat keputusan cemerlang, menguasai sesuatu mata
pelajaran, meningkatkan kemahiran komunikasi atau mencapai cita-cita tertentu.
Namun, tanpa disiplin, matlamat tersebut mudah dilupakan apabila berhadapan
dengan gangguan dan keseronokan sementara. Disiplin membantu kita
mengingat kembali perkara yang ingin dicapai dan mengarahkan tindakan ke arah
matlamat tersebut.
Kedua, membentuk
kebiasaan belajar yang positif. Kejayaan dalam pembelajaran tidak semestinya
memerlukan kita belajar berjam-jam setiap hari. Apa yang lebih penting ialah
membina rutin pembelajaran yang sesuai dan mampu dikekalkan. Contohnya, membaca
selama 20 minit setiap hari, membuat latihan selepas pulang dari sekolah atau
mengulang kaji satu topik sebelum tidur. Apabila dilakukan secara konsisten,
aktiviti tersebut boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan.
Ketiga, membantu
mengawal rasa malas dan gangguan. Antara cabaran terbesar pelajar hari ini
ialah gangguan daripada telefon pintar, permainan digital, media sosial dan
pelbagai bentuk hiburan. Semua perkara ini tidak semestinya buruk, tetapi
penggunaannya perlu dikawal. Disiplin diri membantu kita menentukan masa untuk
belajar dan masa untuk berhibur. Kita belajar bahawa tidak semua perkara yang
menyeronokkan perlu dilakukan serta-merta, dan tidak semua perkara yang sukar
boleh dielakkan.
Keempat, membina
rasa tanggungjawab. Pelajar yang berdisiplin memahami bahawa kejayaan diri
merupakan tanggungjawab yang perlu diusahakan. Dia tidak hanya bergantung
kepada guru atau ibu bapa untuk mengingatkannya setiap masa. Sebaliknya, dia
mula mengambil inisiatif untuk merancang pembelajaran, menyiapkan tugasan dan
memperbaiki kelemahan sendiri. Inilah antara ciri penting seorang pelajar yang
semakin matang.
Disiplin lebih
penting daripada menunggu motivasi. Ada kalanya kita berasa sangat bersemangat
untuk belajar. Kita menyediakan buku, menyusun jadual dan menetapkan pelbagai
sasaran. Namun, semangat itu mungkin berkurangan selepas beberapa hari.
Mengapa perkara ini berlaku? Hal ini kerana motivasi manusia boleh
berubah mengikut keadaan. Ada hari kita berasa gembira dan bertenaga. Ada hari
kita berasa letih, bosan atau kurang bersemangat. Jika kita hanya
belajar apabila mempunyai motivasi, pembelajaran kita mungkin menjadi tidak
konsisten.
Sebaliknya,
disiplin mengajar kita untuk tetap melaksanakan perkara yang perlu dilakukan
walaupun semangat tidak berada pada tahap terbaik. Contohnya, apabila
malas membaca, mulakan dengan dua atau tiga muka surat. Apabila tidak
bersemangat mengulang kaji, mulakan dengan satu soalan latihan. Apabila
sukar menyiapkan tugasan, pecahkan tugasan kepada bahagian yang lebih kecil.
Apabila terganggu dengan telefon, letakkan telefon jauh daripada ruang
belajar. Kita tidak perlu menunggu sehingga berasa rajin untuk memulakan
sesuatu. Kadangkala, tindakan memulakan sesuatu itulah yang membantu
membina semangat. Jangan terlalu bergantung kepada perasaan untuk melakukan
perkara yang menjadi tanggungjawab kita.
Disiplin diri boleh dibina melalui latihan
yang mudah dan berterusan. Berikut ialah lima amalan yang boleh dimulakan oleh
setiap pelajar. Terdapat lima cara membina disiplin diri dalam pembelajaran.
Pertama, tetapkan matlamat yang jelas. Kita
perlu mengetahui perkara yang ingin dicapai. Jangan sekadar berkata,
"Saya mahu menjadi pelajar yang lebih baik." Tetapkan sasaran
yang lebih khusus seperti, saya mahu membaca sekurang-kurangnya 15 minit setiap
hari. Saya mahu menyiapkan kerja sekolah pada hari yang sama. Saya
mahu mengulang kaji satu mata pelajaran setiap petang. Saya mahu meningkatkan
pencapaian Matematik dalam peperiksaan akan datang. Matlamat yang jelas
memudahkan kita merancang tindakan.
Kedua, mulakan dengan langkah kecil. Jangan
menetapkan perubahan yang terlalu besar sehingga sukar dilaksanakan. Jika
sebelum ini kita tidak pernah mengulang kaji secara konsisten, mulakan dengan
15 hingga 20 minit sehari. Jika sudah mampu melakukannya, tingkatkan
tempoh atau jumlah latihan secara berperingkat. Perubahan kecil yang
dilakukan secara konsisten lebih baik daripada perubahan besar yang hanya
bertahan beberapa hari.
Ketiga, binalah rutin dan kebiasaan
positif. Pilih waktu yang sesuai untuk melakukan aktiviti pembelajaran. Contohnya,
selepas solat Maghrib, luangkan masa untuk membaca atau mengulang kaji
pelajaran. Apabila aktiviti tersebut dilakukan pada waktu yang hampir
sama setiap hari, kita lebih mudah membentuk rutin. Pastikan rutin yang
dibina sesuai dengan jadual sekolah, keperluan rehat dan tanggungjawab harian.
Keempat pula kawal gangguan dan godaan. Kenal
pasti perkara yang sering menyebabkan kita hilang tumpuan. Adakah
telefon pintar? Permainan video? Media sosial? Atau persekitaran yang bising?
Cuba kurangkan gangguan tersebut ketika belajar. Kita boleh
menetapkan masa khusus untuk menggunakan telefon dan masa khusus untuk memberi
tumpuan kepada pembelajaran. Ingatlah, kebolehan mengawal diri merupakan
sebahagian daripada kematangan seseorang.
Kelima, pantau kemajuan dan hargai usaha. Setiap
minggu, semak semula perkara yang telah berjaya dilakukan. Adakah kita
semakin konsisten membaca? Adakah tugasan dapat disiapkan lebih awal? Adakah
masa belajar semakin teratur? Jika terdapat kelemahan, kenal pasti
puncanya dan buat penambahbaikan. Jangan terlalu cepat kecewa apabila
gagal mematuhi jadual. Sebaliknya, jadikan kegagalan tersebut sebagai peluang
untuk belajar mengurus diri dengan lebih baik.
Satu perkara yang perlu difahami ialah
disiplin diri bukan bermaksud kita tidak boleh melakukan kesilapan. Konsisten
tidak bermaksud tidak pernah gagal. Ada kalanya kita terlepas jadual belajar.
Ada masanya kita terlalu letih untuk menyiapkan tugasan. Mungkin juga kita
kembali melakukan tabiat lama yang ingin ditinggalkan. Perkara tersebut
boleh berlaku. Apa yang penting ialah bagaimana kita bertindak selepas
mengalami kegagalan. Jangan menjadikan satu hari yang tidak produktif
sebagai alasan untuk berhenti berusaha selama seminggu.
Jika hari ini kita gagal mengikut jadual,
cuba kembali kepada perancangan esok. Jika kita melakukan kesilapan, kenal
pasti puncanya. Jika sesuatu kaedah tidak berkesan, cari pendekatan yang lebih
sesuai. Konsisten bukan bermaksud melakukan sesuatu dengan sempurna setiap
hari. Konsisten bermaksud mempunyai kesungguhan untuk kembali meneruskan usaha
walaupun pernah terhenti. Orang yang berjaya bukan semestinya tidak pernah
jatuh, tetapi mereka belajar untuk bangkit dan meneruskan perjalanan.
Islam sangat menekankan kepentingan
kesungguhan, amanah dan ketekunan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Allah
SWT berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi,
seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah
al-Saff, 61:4)
Ayat ini menggambarkan kepentingan
kesatuan, keteraturan dan keteguhan dalam perjuangan di jalan Allah SWT. Dalam
konteks pembinaan diri, kita boleh mengambil pengajaran tentang nilai
keteraturan, disiplin dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab. Kita
juga boleh melihat contoh disiplin melalui ibadah solat yang ditunaikan pada
waktu-waktu tertentu setiap hari. Solat melatih umat Islam mengurus masa,
menjaga komitmen dan mengutamakan tanggungjawab kepada Allah SWT.
Begitu juga dengan ibadah puasa yang
mendidik manusia mengawal keinginan, menahan diri dan melatih kesabaran. Semua
ini menunjukkan bahawa disiplin bukan sekadar kemahiran mengurus aktiviti
harian. Ia turut berkait dengan pembentukan jiwa dan akhlak seseorang. Bagi
seorang pelajar Muslim, menuntut ilmu juga merupakan amanah. Oleh itu,
kesungguhan dalam belajar, menghormati guru, mengurus masa dan menggunakan ilmu
untuk kebaikan merupakan sebahagian daripada usaha membina diri sebagai insan
yang bertanggungjawab.
Kita sering melihat kejayaan seseorang
melalui keputusan peperiksaan, pencapaian akademik, kedudukan pekerjaan atau
pengiktirafan yang diterima. Namun, di sebalik setiap kejayaan yang
berpanjangan, biasanya terdapat proses panjang yang melibatkan disiplin dan
usaha yang konsisten. Seorang atlet perlu berlatih secara berterusan. Seorang pemuzik
perlu mengulang latihan untuk menguasai kemahirannya. Seorang doktor perlu
melalui proses pembelajaran dan latihan yang panjang. Begitu juga seorang
pelajar yang ingin menguasai ilmu. Tidak ada jalan pintas untuk membina
kemampuan yang kukuh. Disiplin hari ini, kejayaan masa depan.
Apa yang kita lakukan secara berulang hari
ini akan mempengaruhi kebiasaan dan keupayaan kita pada masa hadapan. Jika kita
membiasakan diri menangguhkan tanggungjawab, kita mungkin semakin sukar
mengawal masa. Jika kita membiasakan diri berusaha, menepati masa dan
memperbaiki kelemahan, kita sedang membina asas untuk menjadi individu yang
lebih berdisiplin. Oleh itu, jangan memandang rendah tindakan kecil yang
dilakukan setiap hari. Mungkin membaca 15 minit sehari kelihatan biasa, tetapi
jika diamalkan secara berterusan, ia boleh memberikan perubahan yang besar
dalam jangka panjang.
Disiplin diri merupakan salah satu asas
penting dalam membina kejayaan pembelajaran dan perkembangan peribadi. Kita
tidak boleh mengharapkan motivasi sentiasa hadir untuk mendorong setiap
tindakan. Sebaliknya, kita perlu melatih diri supaya mampu melaksanakan
tanggungjawab walaupun berhadapan dengan rasa malas, gangguan dan cabaran. Mulakan
dengan matlamat yang jelas. Bina rutin yang sesuai. Kawal gangguan. Pantau
kemajuan dan teruskan usaha walaupun pernah melakukan kesilapan. Jangan terlalu
sibuk mencari cara untuk menjadi hebat dalam masa yang singkat sehingga terlupa
bahawa perubahan sebenar memerlukan proses. Bina disiplin, bukan sekadar mengharap
motivasi.
Hari ini mungkin kita hanya mampu melakukan sedikit. Namun, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan konsisten, usaha kecil itu boleh menjadi asas kepada perubahan yang lebih besar. Ingatlah, kejayaan bukan hanya ditentukan oleh apa yang kita impikan, tetapi juga oleh apa yang sanggup kita usahakan secara berterusan. Motivasi membantu kita bermula. Disiplin membantu kita bertahan. Konsistensi membawa kita lebih dekat kepada kejayaan. Mulakan hari ini. Bina disiplin diri dan jadikan usaha menuntut ilmu sebagai sebahagian daripada kehidupan.
