Memaparkan catatan dengan label Artikel Inspirasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel Inspirasi. Papar semua catatan

Jangan Bandingkan Diri Dengan Orang Lain

  


Dunia kita hari ini seperti memaksa kita untuk mudah membandingkan diri dengan orang lain. Kita melihat rakan mendapat keputusan peperiksaan yang lebih tinggi, lebih aktif dalam kokurikulum, lebih petah bercakap, lebih ramai kawan, lebih yakin atau kelihatan lebih berjaya. Tanpa kita sedari, kita mula bertanya kepada diri sendiri, “Kenapa aku tidak macam dia?”

 

Perbandingan seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk pelajar. Lebih-lebih lagi apabila media sosial menjadikan kehidupan orang lain kelihatan begitu sempurna. Kita melihat kejayaan mereka, tetapi jarang melihat perjuangan, kegagalan, tekanan dan proses panjang yang mereka lalui. Sebab itu kita perlu belajar satu perkara penting, jangan jadikan kehidupan orang lain sebagai ukuran nilai diri kita.

 

Kita harus sedar bahawa setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza. Tidak semua orang bermula dari tempat yang sama. Ada pelajar yang cepat memahami Matematik, tetapi mungkin menghadapi kesukaran dalam Bahasa. Ada yang petah bercakap di hadapan orang ramai, tetapi memerlukan masa untuk membina keyakinan dalam perkara lain. Ada yang mendapat keputusan cemerlang sejak awal persekolahan. Ada pula yang memerlukan lebih banyak masa untuk menemukan cara belajar yang sesuai. Semua itu normal.

 

Kita tidak perlu mempunyai perjalanan yang sama untuk mencapai kehidupan yang bermakna. Perbezaan bukan bermaksud kekurangan. Ia hanya menunjukkan bahawa setiap manusia mempunyai kekuatan, kelemahan, pengalaman dan kadar perkembangan yang berbeza. Perbandingan yang salah boleh melemahkan diri dan apabila membandingkan diri dengan orang lain tidak semestinya buruk. Kadangkala kita melihat kejayaan seseorang dan mendapat inspirasi untuk memperbaiki diri.

 

Masalah bermula apabila perbandingan tersebut membuatkan kita merendahkan diri sendiri. Maka bermulalah ada skrip tertentu seperti;

 

"Dia dapat A, aku cuma dapat B."

"Dia sudah berjaya, aku masih di sini."

"Dia pandai bercakap, aku tidak."

"Dia lebih popular daripada aku."

 

Jika pemikiran seperti ini berulang, kita mungkin mula melihat diri sebagai seseorang yang tidak cukup baik. Akhirnya, kita bukan lagi berusaha untuk berkembang, tetapi sibuk membuktikan bahawa kita tidak kalah dengan orang lain. Itu bukan perkembangan. Itu persaingan yang melelahkan. Jadi, siapa yang patut kita bandingkan? Diri kita sendiri. Jadi, mulalah ukur diri dengan diri sendiri semalam, itu memadai. Nabi pun minta kita berbuat begitu sebagai muhasabah, hari ini mesti lebih baik dari semalam. Kita mustahil sempurna, tapi pasti lebih baik.

 

Tanyakan pada diri adakah aku lebih rajin daripada semalam? Adakah aku lebih berdisiplin? Adakah aku lebih berani mencuba? Adakah aku lebih banyak membaca? Adakah aku lebih pandai mengurus masa? Adakah aku lebih mampu mengawal emosi? Adakah aku lebih baik dalam menjaga hubungan dengan ibu bapa dan guru?

 

Jika hari ini kita lebih baik walaupun sedikit berbanding semalam, itu sudah merupakan satu kemajuan. Tidak perlu menjadi lebih baik daripada semua orang. Cukuplah menjadi lebih baik daripada diri kita yang dahulu kerana kemajuan kecil tetap kemajuan. Kadangkala kita terlalu fokus kepada pencapaian besar sehingga tidak menghargai perubahan kecil.

 

Semalam kita belajar selama 20 minit. Hari ini kita belajar 30 minit. Itu kemajuan. Semalam kita takut bertanya. Hari ini kita berani mengangkat tangan dan bertanya kepada guru. Itu kemajuan. Semalam kita selalu menangguhkan kerja. Hari ini kita mula menyiapkan tugasan lebih awal. Itu juga kemajuan. Jangan meremehkan perubahan kecil. Pokok besar juga bermula daripada benih yang kecil.

 

Seperkara lagi yang perlu difahami oleh pelajar ialah apa yang kita lihat di media sosial hanyalah sebahagian daripada kehidupan seseorang. Media sosial bukan gambaran keseluruhan kehidupan. Kita melihat gambar kejayaan, keputusan yang cemerlang dan perjalanan yang menarik. Tetapi kita tidak melihat semua perkara yang berlaku di belakangnya.

 

Kita tidak tahu berapa kali mereka gagal, berapa banyak mereka berusaha, berapa banyak pengorbanan yang dilakukan dan kita juga tidak tahu apa cabaran yang sedang mereka hadapi. Jadi jangan membandingkan kehidupan sebenar kita dengan paparan terbaik kehidupan orang lain. Itu perbandingan yang tidak adil.

 

Oleh itu, kenalilah kekuatan diri daripada terlalu sibuk melihat kelebihan orang lain, gunakan masa untuk mengenali kekuatan diri sendiri. Tanyakan, apa yang saya boleh lakukan dengan baik? Apa yang saya minati? Apakah kemahiran yang saya mahu bina? Apakah kelemahan yang perlu saya perbaiki?

 

Usaha yang kita lakukan untuk mengenali diri bukan bermaksud kita menganggap diri sudah sempurna. Sebaliknya, kita menerima diri dengan jujur dan pada masa yang sama berusaha untuk menjadi lebih baik. Inilah sebahagian daripada proses Teroka Diri dalam model I-T.U.N.E. Kita perlu mengenali siapa diri kita sebelum kita mampu menentukan siapa yang kita mahu menjadi.

 

Jangan sesekali gunakan kelemahan sebagai alasan. Tidak membandingkan diri dengan orang lain bukan bermaksud kita boleh berpuas hati dengan kelemahan. Jika ada kelemahan, perbaiki. Jika ada kemahiran yang belum dikuasai, belajar. Jika ada keputusan yang kurang baik, analisis dan cuba lagi. Bezanya ialah kita tidak menggunakan orang lain sebagai ukuran utama. Kita bertanya, "Bagaimana aku boleh menjadi lebih baik daripada diriku yang dahulu?" Soalan ini lebih sihat dan lebih membina.

 

Fokus kepada perjalanan diri sendiri. Bayangkan dua orang pelajar. Pelajar A mendapat keputusan 90%. Pelajar B mendapat 60%. Adakah Pelajar B semestinya gagal? Jawapannya sudah tentu tidak. Jika sebelum ini Pelajar B mendapat 40% dan sekarang meningkat kepada 60%, dia sebenarnya telah membuat kemajuan yang besar. Begitu juga jika Pelajar A mendapat 90% tetapi sebelum ini 95%. Dia mungkin perlu melihat semula strategi belajarnya. Sebab itu angka semata-mata tidak menceritakan keseluruhan perjalanan seseorang. Kita perlu melihat proses, bukan hanya hasil.

 

Islam tidak mengajar manusia untuk mengukur kemuliaan berdasarkan rupa, kekayaan, populariti atau pencapaian duniawi semata-mata tetapi dalam islam, setiap manusia mempunyai nilai. Allah SWT berfirman yang bermaksud; "Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat: 13)

 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa ukuran kemuliaan manusia bukan semata-mata apa yang dapat dilihat oleh manusia. Maka jangan terlalu cepat merendahkan diri hanya kerana pencapaian kita belum seperti orang lain. Teruskan usaha. Perbaiki diri. Jaga hubungan dengan Allah dan lakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan yang kita ada. Jadikanlah orang lain sebagai inspirasi, bukan ukuran nilai diri.

 

Kita masih boleh mengagumi kejayaan orang lain. Jika seorang rakan berjaya, ucapkan tahniah. Jika seseorang mempunyai kemahiran yang kita belum ada, belajarlah daripadanya. Jika seseorang lebih maju, jadikan dia sumber inspirasi. Tetapi jangan sampai kejayaan orang lain membuatkan kita membenci diri sendiri. Kejayaan orang lain bukan bukti bahawa kita gagal. Sebaliknya, ia boleh menjadi bukti bahawa sesuatu yang kita impikan itu mungkin dicapai dengan usaha dan strategi yang betul.

 

Kita boleh gunakan satu kaedah mudah: DULU → SEKARANG → SETERUSNYA

 

DULU: Bagaimana keadaan saya sebelum ini?

SEKARANG: Apa perubahan yang telah saya capai?

SETERUSNYA: Apa satu perkara yang saya mahu perbaiki selepas ini?

 

Cara ini akan membantu kita untuk sentiasa mempunyai ruang untuk berkembang tanpa perlu hidup dalam tekanan untuk mengalahkan semua orang. Tidak perlu memilih untuk berlari dalam laluan orang lain. Bayangkan perlumbaan yang mempunyai pelbagai laluan. Ada orang sampai dahulu. Ada orang mengambil masa lebih lama. Ada yang perlu berhenti seketika. Ada yang tersilap jalan dan perlu kembali semula tetapi apa yang penting ialah kita terus bergerak menuju destinasi yang betul.

 

Begitu juga kehidupan. Jangan berhenti hanya kerana orang lain sudah jauh di hadapan. Perjalanan mereka bukan perjalanan kita. Masa mereka bukan masa kita. Kekuatan mereka bukan kekuatan kita dan kejayaan mereka bukan ukuran kegagalan kita. maka berusahalah jadi lebih baik, sedikit demi sedikit. Kita tidak perlu menjadi manusia yang paling hebat. Kita hanya perlu menjadi manusia yang sentiasa mahu berkembang.

 

Jika hari ini kita lebih sabar daripada semalam, itu kemajuan. Jika hari ini kita lebih rajin daripada semalam, itu kemajuan. Jika hari ini kita lebih berani daripada semalam, itu kemajuan. Jika hari ini kita lebih dekat kepada Allah daripada semalam, itu juga kemajuan. Jangan terlalu sibuk melihat perjalanan orang lain sehingga lupa melihat perjalanan diri sendiri. Ukur diri dengan diri sendiri. Lihat sejauh mana kita telah berkembang. Kenal pasti apa yang masih perlu diperbaiki dan kemudian teruskan melangkah kerana dalam kehidupan, kita tidak perlu menjadi lebih baik daripada orang lain.

 

Kita hanya perlu berusaha menjadi lebih baik daripada diri kita yang semalam. "Jangan bandingkan bab pertama kehidupanmu dengan bab kedua kehidupan orang lain." Teroka diri. Kenali potensi. Perbaiki kelemahan dan teruskan berkembang. Itulah sebahagian daripada perjalanan I-T.U.N.E. (dengan Ilmu, Teroka, Ubah Sikap, Nilai Peribadi dan Evolusi Pemikiran)

Masa Adalah Amanah, Urus Dengan Bijaksana


 

Setiap manusia diberikan satu perkara yang sama setiap hari, 24 jam. Tidak kira kaya atau miskin, pelajar atau guru, muda atau tua, semua mempunyai jumlah masa yang sama. Namun, perkara yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain ialah bagaimana masa tersebut digunakan.

 Ada orang menggunakan masa untuk belajar, membina kemahiran, membantu keluarga dan memperbaiki diri. Ada pula yang menghabiskan sebahagian besar masanya dengan perkara yang tidak memberi banyak manfaat. Akhirnya, bukan kerana kita kekurangan masa, tetapi kerana kita mungkin membiarkan masa berlalu tanpa arah. Sebab itu masa bukan sekadar sesuatu yang perlu diurus malah dalam kehidupan seorang Muslim, masa ialah amanah.

 Mengapa pengurusan masa penting? Pengurusan masa bukan bermaksud kita perlu memenuhi setiap minit dalam sehari dengan aktiviti. Ia bermaksud kita tahu perkara yang perlu diberikan keutamaan dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Apabila kita mengurus masa dengan baik, kita akan lebih mudah mencapai matlamat, menyelesaikan tugasan mengikut masa, mengurangkan tekanan dan rasa tergesa-gesa, menjadi lebih produktif, memberikan ruang kepada perkara yang lebih bermakna dan membina disiplin dan rasa tanggungjawab.

Sebaliknya, apabila masa tidak diurus, banyak perkara penting akan ditangguhkan. Kerja sekolah semakin bertambah, ulang kaji dilakukan pada saat akhir dan akhirnya kita berasa tertekan kerana masa semakin suntuk. Masa tidak pernah berpatah balik. Kita boleh mendapatkan semula wang yang hilang. Kita boleh membeli semula barang yang rosak, menggantikan telefon yang hilang. Tetapi masa yang telah berlalu tidak akan kembali. Semalam sudah menjadi sejarah. Hari esok belum tentu menjadi milik kita. Apa yang benar-benar kita miliki ialah hari ini.

Sebab itu setiap hari merupakan peluang. Peluang untuk belajar, untuk memperbaiki kesilapan, untuk meminta maaf, untuk membaca, membantu ibu bapa dan menjadi manusia yang lebih baik. Jangan terlalu sibuk menyesali masa lalu sehingga kita lupa menggunakan masa yang masih ada. Bukanlah kita kekurangan masa, tetapi kita seringembazirkannya.

Kadangkala kita berkata, "Saya tak cukup masa untuk belajar.". Tetapi dalam masa yang sama, kita mungkin menghabiskan berjam-jam menonton video, bermain permainan atau menatal media sosial. Persoalannya bukan semata-mata berapa banyak masa yang kita ada, tetapi ke mana masa kita pergi. Cuba perhatikan satu hari kehidupan kita. Berapa lama kita belajar? Berapa lama kita menggunakan telefon? Berapa lama kita tidur? Berapa lama kita bermain? Berapa lama kita berbual? Berapa lama kita melakukan perkara yang benar-benar membawa kita lebih dekat kepada matlamat?

Apabila kita mula menyedari ke mana masa kita digunakan, barulah kita boleh melakukan perubahan. Tetapkan matlamat yang jelas. Pengurusan masa bermula dengan matlamat. Jika kita tidak tahu ke mana hendak pergi, kita tidak akan tahu bagaimana hendak menggunakan masa. Seorang pelajar perlu mempunyai sasaran yang jelas. Contohnya "Saya mahu meningkatkan pencapaian Matematik." Daripada matlamat itu, kita boleh menentukan tindakan ulang kaji 30 minit sehari, buat latihan secara konsisten, bertanya kepada guru apabila tidak faham, membuat semakan setiap minggu. Matlamat yang jelas menjadikan masa lebih terarah.

Buat perancangan harian. Jangan hanya menyimpan semua rancangan dalam kepala. Tuliskan dan Blbuat senarai perkara yang perlu dilakukan pada hari tersebut. Perancangan yang mudah membantu kita melihat perkara yang perlu diselesaikan dan mengelakkan kita daripada melakukan semuanya pada saat terakhir. Belajar membezakan yang Plpenting dan yang tidak penting. Tidak semua perkara mempunyai keutamaan yang sama. Ada perkara yang penting dan perlu dilakukan segera. Ada perkara yang penting tetapi boleh dirancang. Ada perkara yang tidak begitu penting tetapi sering mengambil masa kita.

Pelajar yang bijak mengurus masa belajar bertanya, "Apa yang paling penting untuk saya lakukan sekarang?" Jika esok ada peperiksaan, mungkin ulang kaji perlu diberi keutamaan berbanding bermain permainan video. Jika ada tugasan yang perlu dihantar minggu hadapan, kita boleh merancangnya lebih awal supaya tidak perlu menyiapkannya pada malam terakhir. Mengurus masa sebenarnya ialah mengurus keutamaan.

Jangan biarkan gajet mengurus masa kita. Telefon pintar dan media sosial bukan semestinya perkara yang buruk. Ia boleh digunakan untuk belajar, berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Namun, masalah berlaku apabila kita kehilangan kawalan terhadap penggunaannya. Kita hanya mahu membuka telefon selama lima minit. Tiba-tiba 30 minit berlalu. Kemudian satu jam. Akhirnya kita tertanya, "Ke mana masa saya pergi?"

Sebab itu teknologi perlu menjadi alat kita, bukan kita menjadi hamba kepada teknologi. Tetapkan masa penggunaan. Matikan notifikasi yang tidak diperlukan. Letakkan telefon jauh ketika belajar dan yang paling penting, belajar mengatakan, "Cukup." Masa juga perlu diberikan kepada rehat. Pengurusan masa bukan bermaksud belajar sepanjang hari tanpa berehat. Tubuh dan minda juga mempunyai keperluan. Kita perlu tidur dengan cukup, berehat, bersukan, melakukan aktiviti yang disukai dan meluangkan masa bersama keluarga.

Keseimbangan penting kerana manusia bukan mesin. Pelajar yang baik bukan pelajar yang sentiasa sibuk, tetapi pelajar yang tahu bila perlu belajar, bila perlu bekerja, bila perlu berehat dan bila perlu berhenti. Pengurusan masa yang baik menghasilkan kehidupan yang lebih seimbang. Masa dalam perspektif Al-Quran memberikan satu peringatan yang sangat kuat tentang masa melalui Surah al-'Asr, "Demi masa." (Surah al-'Asr: 1)

Kemudian Allah SWT menjelaskan bahawa manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, melakukan amal soleh, saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran. Surah yang sangat pendek ini memberikan satu mesej yang sangat besar, masa yang berlalu tanpa iman, amal dan kebaikan boleh menjadi kerugian. Maka, persoalan yang perlu kita tanyakan bukan sekadar, "Berapa banyak masa yang saya ada?" Tetapi "Apakah yang saya lakukan dengan masa yang Allah berikan kepada saya?"

Masa hari ini menentukan masa depan. Kadangkala kita terlalu memikirkan masa depan sehingga lupa bahawa masa depan sebenarnya sedang dibina oleh tindakan kita hari ini. Masa depan seorang pelajar dibina melalui apa yang dilakukannya sekarang. Jika hari ini kita rajin membaca, kita sedang membina ilmu. Jika hari ini kita berdisiplin, kita sedang membina karakter. Jika hari ini kita belajar mengurus masa, kita sedang membina kebiasaan yang akan membantu kita apabila dewasa nanti. Jika hari ini kita belajar menghargai masa, kita sedang belajar menghargai kehidupan.

Hari ini menentukan banyak perkara tentang hari esok. Mulakan sekarang, jangan bertangguh. Salah satu musuh terbesar pengurusan masa ialah sikap bertangguh.

"Nanti saya buat."

"Esok saya belajar."

"Malam nanti saya siapkan."

Masalahnya, "nanti" sering berubah menjadi "terlambat". Jika sesuatu boleh dilakukan sekarang, lakukan. Jika tugasan boleh dimulakan hari ini, mulakan. Jika buku boleh dibaca sekarang, buka. Jika ibu bapa perlu dibantu, bangun dan bantu. Kita tidak perlu menunggu motivasi yang sempurna. Mulakan dengan tindakan kecil. Urus masa, urus diri. Pada akhirnya, pengurusan masa sebenarnya bukan hanya tentang jam dan jadual. Ia adalah tentang pengurusan diri. Kita belajar mengawal keinginan, menetapkan keutamaan, berkata tidak kepada perkara yang membazirkan masa dan bertanggungjawab terhadap pilihan sendiri.

Sebab itu seseorang yang mampu mengurus masa dengan baik sebenarnya sedang belajar menjadi manusia yang lebih matang. Formula mudah mengurus masa boleh kita ringkaskan sebagai;

 MATLAMAT → RANCANG → UTAMAKAN → LAKSANAKAN → NILAI

Tetapkan matlamat. Buat perancangan. Tentukan keutamaan. Laksanakan apa yang telah dirancang. Kemudian lihat semula apa yang telah dilakukan dan perbaiki kelemahan. Ulangi proses ini setiap hari. Sedikit demi sedikit, kita akan menjadi lebih teratur. Masa tidak pernah meminta kita menjadi sempurna. Masa hanya terus bergerak. Persoalannya ialah apakah yang kita lakukan ketika masa itu bergerak? Adakah kita menggunakannya untuk membina diri? Adakah kita menggunakannya untuk menuntut ilmu? Adakah kita menggunakannya untuk berbuat baik? Atau kita membiarkannya berlalu tanpa tujuan?

Jangan tunggu sehingga dewasa baru belajar menghargai masa. Belajarlah mengurus masa sejak di bangku sekolah kerana masa hari ini ialah bahan yang sedang membina masa depan kita. "Masa tidak akan kembali. Gunakan masa hari ini sebaiknya untuk membina masa depan yang lebih baik." Urus masa, urus diri, capai impian dan ingat, masa adalah amanah. Jangan bazirkan.