TUHAN TIDAK PERLUKAN ALASAN


Tuhan tidak memerlukan alasan untuk melakukan itu dan ini
. Hanyalah kita sebagai manusia perlu berusaha memahaminya serta mengambil pengajaran darinya. Bertahan, bergembira, bersedih, bertindak secara agresif, biarkan sahaja atau apa sahaja keputusan yang diambil adalah atas pertimbangan dan situasi diri masing-masing. Maka, jika ada yang salahkan orang lain untuk apa yang berlaku mereka terlepas pandang. Terlepas pandang bahawa Tuhan juga sedang memerhatikan dia.


Kami memandang positif kepada apa sahaja cabaran yang sedang berlaku pada awal tahun 2020 hingga hari ini. IQ Class Management masih tetap utuh ingin memberikan perkhidmatan bimbingan dan latihan motivasi kepada pelbagai kelompok dengan pendekatan norma baru yang kreatif dan inovatif. Tidak dapat kami nafikan keberkesanan perjalanan bimbingan dan latihan jauh dari mencapai apa yang dikehendaki dan menurut pandangan kami, zaman ini adalah zaman cabaran getir buat dunia latihan seluruh dunia.

Ramai yang mendambakan corak latihan yang fizikal, aktiviti luar dan interaksi antara peserta secara bersemuka, namun ini amat mustahil bahkan jangkaan kami ia akan berlarutan sehingga penghujung 2022. Cabaran ini memberikan mesej kepada kami bagaimana penyampaian sesuatu maklumat dengan laras bahasa serta penggunaan alat bantu yang cekap akan mengoptimumkan penguasaan bahan perbincangan dalam pendekatan norma baharu. Kini, dunia latihan bukan lagi bergantung kepada keseronokan dan aktiviti yang mengujakan, sebaliknya tertumpu kepada kekuatan tarikan terhadap budaya keilmuan serta fakta-fakta yang mampu membuka mata ramai pihak.

Pada kami, ini zaman untuk kita bersama bermuhasabah mengenai bagaimana cenderungnya masyarakat kita untuk mendapatkan hiburan atau pengetahuan. Jika ramai yang mengimpikan pengetahuan, pasti program-program latihan akan sentiasa mendapat sambutan. Maka, jangan hentikan usaha untuk meneruskan penghasilan bahan digital yang dapat merangsang minda masyarakat. Apa yang paling kami risaukan adalah jika berlaku sebaliknya. Maka usaha ini bukanlah sia-sia tetapi memungkin para jurulatih dan fasilitator di luar sana untuk bekerja keras mengembalikan keyakinan mengenai perkara terpenting dalam kehidupan iaitu ILMU PENGETAHUAN.

Catatan Popular