Ceramah Rancangan Perniagaan Program Jom Jadi Usahawan Jab. Belia dan Sukan Seputeh



9.00 pagi, 3 Mei 2009, Komplek Rakan Muda Klang. Peserta telah berkumpul semenjak semalam menyertai Program Jom Jadi Usahawan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Seputeh. Program bersama Lil Cent Total Solution (Mohsen), memfokuskan tentang bagaimana pelajar IPT boleh menjadi usahawan. Kehadiran terdiri daripada pelajar UIAM beserta 4 orang dari belia bekerja dan pelajar ILP.


Perjalanan lancar dan tugasan telah diberikan kepada PULM Kamarul untuk menguruskan baki perjalan program pada hari kedua program tersebut. Sesi bermula jam 9.00 pagi dengan sesi pertama bermula lambat. Sementara menunggu kehadiran penceramah, PULM menjalankan sedikit sesi introduksi dengan peserta bagi memudah dan melancarkan perjalanan sepanjang program.


9.30 pagi wakil dari Pejabat MARA Klang tiba untuk menyampaikan sesi pertama yang bertajuk Bantuan Kewangan untuk usahawan di bawah MARA. Sesi ini berjalan baik dan penyampaian Cik Huraizah juga bersahaja. Namun, sesi pertama penyampaiannya agak keluar dari isu perbincangan dan objektif program ini untuk menjadi usahawan. Separuh masa pertamanya dihabiskan tentang pinjaman pelajaran serta peluang pekerjaan di dalam MARA. Dalam sesi penyampaian keduanya, barulah beliau terjun ke dalam perbincangan sebenar, namun, tiada sebarang contoh borang atau cara-cara membuat pinjaman MARA yang dilampirkan kepada peserta. Penyampaiannya cukup baik dan mudah difahami.


Selepas rehat, aktiviti bersambung dengan sesi bersama PULM Kamarul. Sesi kali ini agak teknikal dan memerlukan masa yang singkat untuk disampaikan. PULM Kamarul pada awalnya menerangkan tentang apa itu rancangan perniagaan, apakah keperluannya dan dimanakah kegunaan Rancangan Perniagaan. Bagi memastikan penyampaian dan perbincangan yang interaktif, peserta diminta masuk ke dalam kumpulan dan menyenaraikan apakah isi kandungan yang dirasakan perlu untuk dimasukkan di dalam RP. Hasilnya, peserta pada dasarnya mengetahui apa yang perlu diberitahu kepada pembaca RP mereka tentang apa yang ingin dipersembahkan. Ini kerana, RP sebenarnya tiadak mempunyai format tertentu atau piawaian tertentu. Ia akan ditentukan berdasarkan apa yang diperlukan.


Sesi ini ditamatkan dengan pesanan tentang bagaimana untuk menjadi usahawan yang berjaya berdasarkan konsep S.M.A.R.T;

1) Strategy; menentukan misi dan visi diri kita dalam memasuki dunia usahawan ini, adakah untuk mencapai kekayaan yang bukan milik kita atau mengharap keredhaan Allah dalam kehidupan kita;

2) Mindsets; jangan mudah terpedaya dengan omong-omong orang tentang kekayaan atau kejayaan, tidak ada jalan mudah untuk kita melainkan kesusahan yang memerlukan kesabaran,fikiran positif dan meyakini bahawa semua usaha yang baik akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah.

3) Attitude; ini merupakan perkara utama walaupun untuk menjadi pekerja kepada majikan yang lain. Sikap terhadap pekerjaan dan kemahuan untuk sentiasa menjadi yang terbaikm, lebih baik dari semalam.

4) Risk; menguruskan risiko pada dengan baik. Ia boleh dikurangkan dengan tindakan wajar dan sentiasa berserah kepada Allah setelah berusaha.

5) Time; dalam surah Al-Asr, Allah bersumpah dengan masa dan manusia sentiasa dalam kerugian kecuali segolongan iaitu mereka yang beriman kepada Allah, beramal soleh, berpesan kepada yang hak dan berpesan kepada kesabaran.



Sesi terakhir peserta bersama Ahmad Zaki Rafa'i. Peserta dihidangkan dengan permainan saham atau 'SHARE PLAY'. Permainan diakhir dengan kesimpulan bahawa;

1) dalam dunia perniagaan, kita tidak boleh tamak;
2) sentiasa memilih Y (iaitu untung yang sedikit) tetapi berterusan;
3) berpegang kepada janji dan jujur.


Sesi resolusi PULM Kamarul mengingatkan peserta dan dirinya sendiri bahawa;

1) Kita mestilah jujur;
2) Buatlah setiap pekerjaan itu pada tahap yang terbaik dan;
3) Sentiasalah berfikiran kreatif dan inovatif.


TUNE-lah diri kita.



"Manusia akan binasa kerana 2 sebab; putus asa dan bangga diri."

Catatan Popular