Ceramah Motivasi Kerjaya di SMK Convent Kajang



2.30 petang, 23 April 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang. PULM IQ Class Management bersama PLM Johari Hamzah tiba diperkarangan sekolah pada jam 2.10 petang. Seperti kebiasaan, suasana sekolah meriah dengan suara guru dan pelajar yang sedang sibuk belajar dan berbincang tentang topik dan tajuk pembelajaran pada hari Khamis tersebut.


Kami terus menghala ke pejabat SMK Convent Kajang dan memperkenalkan diri serta memaklumkan tujuan kami. Tidak lama kemudian kami disapa Puan Lam, guru yang bertanggungjawab menjemput kami untuk mengisi slot Ceramah Motivasi Kerjaya untuk pelajar tingkatan 2 SMK Convent Kajang. Kami diminta untuk membuat persiapan kami sementara menunggu semua peserta berkumpul.



Tepat jam 2.40 petang, PULM IQ Class Management memulakan sesi ceramah beliau yang bertajuk Merancang Kerjaya. Seperti biasa, beliau memulakan sesi dengan sedikit aktiviti pemecah bendungan SENYUM dan SEDIA. Sesi ini berlangsung selama lebih kurang 20 minit dan kemudiannya PULM meneruskan sesi ceramahnya dengan menimbulkan beberapa persoalan tentang dunia pendidikan dan pekerjaan. Ia menerangkan keadaan yang selalu kita semua percaya tentang hubungkait antara dunia pendidikan dan pekerjaan serta hakikat yang sebenarnya. Antara hakikat sebenar yang kita perlu tahu ialah;

Pertama;
Alam pendidikan dan kerjaya adalah 2 dunia yang berbeza.

Kedua:
Orang yang bijak dalam akademik belum tentu berjaya dalam bidang pekerjaan.

Ketiga:
Mereka yang mempunyai kelulusan akademik perlu bersaing.

Keempat:
Pekerjaan yang terbaik datang daripada individu yang mempunyai nilai tambahan.


Seterusnya, penyampaian sesi beralih kepada persoalan apakah nilai tambah yang perlu ada untuk kita berjaya ke dalam dunia kerjaya? 3 Nilai tambah yang perlu dipertingkatkan selain dari kelulusan semata-mata ialah; (1) pengetahuan, (2) kemahiran dan (3) sikap.



Antara perbincangan lain adalah berkenaan pemerhatian berkenaan 3 sebab utama mengapa timbul kesukaran dikalangan remaja untuk memilih bidang kerjaya. Menurut Amir Awang (1983) ia adalah disebabkan oleh;

Pertama;
Remaja yang mempunyai minat yang terlalu pelbagai, minat yang tidak jelas atau tidak mempunyai minat langsung.

Kedua;
Tiada kesempurnaan dalam membuat pilihan menjadikan pilihannya tidak tepat.

Ketiga;
Remaja juga sangat kurang pengetahuan mereka tentang dunia pekerjaan yang ada dipersekitaran mereka.


Kemudian peserta juga didedahkan dengan kemahiran merancang pekerjaan bermula dengan pengetahuan asas tentang perkembangan kerjaya manusia menurut sumber Harris-Bowlsbey, Spivack dan Lisansky. Seterusnya 3 garis asas pemilihan kerjaya yang dientukan oleh sumber tersebut iaitu;

Pertama; Kenali diri sendiri.
Kedua; Mengetahui keadaan persekitaran dan pekerjaan.
Ketiga; Mengintegrasikan keupayaan diri beserta persekitaran maklumat pekerjaan dan menentukan pekerjaan.


Diakhir ceramah ini, PULM menerangkan serba sedikit tentang teori Holland yang diperkenalkan bersama ujian Self-Directed Search atau SDS. 6 teori yang diperbincangkan ialah 'Realistic', 'Investigative', 'Artistic', 'Social', 'Enterprising' dan 'Conventional'. Sesi ceramah ini tamat pada jam 4.00 petang.


Beberapa kelemahan yang didapati dari sesi ceramah ini ialah;

1. Bilangan peserta yang terlalu ramai, menjadikan sesi ceramah menjadi lebih pendek memandangkan masa perlu dihabiskan untuk mendapatkan perhatian peserta yang hampir 200 orang.

2. Tiada aktiviti permainan untuk mengekalkan fokus peserta contohnya 'brain gym'.

3. Keadaan di atas berlaku disebabkan bahan yang disediakan tidak mengikut waktu yang disediakan. Ia perlu diperbaiki lagi.


TUNE-lah diri kita.


Perunding Utama Latihan dan Motivasi (PULM)
IQ Class Management


"Manusia akan binasa kerana 2 sebab; putus asa dan bangga diri."

Catatan Popular