ABCDE SEORANG FASILITATOR #1

Bila disebut ABCDE Fasilitator pasti kita semua dapat mengagak apa yang ia maksudkan. Ya, ia menjelaskan mengenai apakah perkara asas yang wajar dan perlu kita tahu mengenai fasilitator. Apa pula fasilitator? Itu, kita bincang kemudian dan telah banyak pun yang mungkin kita boleh fahami dan pelajari bahkan hari ini ramai yang telah menceburkan diri ke dalam dunia fasilitator ini.


Asas pertama yang perlu ada bagi seorang fasilitator adalah akhlak. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ia bermaksud budi pekerti atau kelakuan atau juga diertikan sebagai tabiat. Seorang fasilitator, perlu menjadi seorang yang berakhlak. Ini disebabkan oleh peranan yang dipikulnya sebagai insan yang boleh dicontohi dari segenap aspek walaupun bukan keseluruhannya. Namun, memperluas aspek diri yang positif agar boleh dicontohi merupakan suatu yang amat dipuji dan dihormati sebagai seorang fasilitator.

Akhlak menjadikan diri kita sentiasa menjadi perhatian. Akhlak merujuk kepada budi pekerti, kelakuan atau tabiat yang baik. Sudut pandang seorang fasilitator Muslim, akhlak ini sudah tentu disepadankan dengan akhlak Rasulullah s.a.w. Padanan ini merupakan kayu ukur tertinggi bagi seorang fasilitator dalam hal akhlak sekaligus ia juga bakal menjadi pendorong dan kayu ukur dalam menentukan BCDEnya seorang fasilitator. Bagi penulis yang berpengalaman bersama IQ Class Management dalam membangunkan fasilitator, akhlak adalah pembuka buku hidup seorang fasilitator. Tanpanya, maka seseorang itu belum bersedia walaupun telah mengikuti puluhan kursus bimbingan dan latihan fasilitator.

Manakan boleh, seorang fasilitator itu dipersoal tentang akhlaknya sentiasa. Sekali-sekala itu tidak mustahil kerana kita insan yang selalu lupa dan alpa maka pasti akan melakukan kesilapan, tetapi ia harus segera diperbaiki dan diubati sama ada secara peribadi atau bersama teman yang lebih memahami dan mengenali. Begitulah pentingnya akhlak dalam membentuk peribadi seorang fasilitator. Tambahan pula fasilitator Muslim. Akhlak yang Baginda Rasul tunjukkan dengan di mana sifat malunya, dalam bab menjaga kerahsiaannya, memenuhi janji, kelunakan berbicara dan banyak lagi. Dalam perkara ini tidak syak lagi, bagi penulis, Rasulullahlah contoh yang terbaik dari sudut pembentukan akhlak sebagai seorang fasilitator.

Kamarul Azami Mohd Zaini
Perunding Utama Latihan dan Motivasi
IQ Class Management

Follow by Email

BERSAMA KAMI