BAGAIMANA MEMBANTU ANAK-ANAK MENGEKALKAN FOKUS BELAJAR MEREKA

Langkah permulaan kami 2013 bersama pelajar-pelajar SK Bandar Baru Bangi menghasilkan perbincangan serta bentuk tindakan atau resolusi yang perlu diambil oleh ibu bapa bagi membantu anak-anak untuk mengekalkan tumpuan mereka apabila belajar. Pada peringkat permulaan lagi, ibu bapa perlu sedar dan perlu tahu bahawa tumpuan anak-anak perlu dibentuk dari awal perkembangan dan pembesaran anak-anak. Apabila mereka sudah berada pada umur lebih 10 tahun, jika tidak dibiasakan mereka akan mudah hilang tumpuan dan ini sedikit sebanyak akan menyukarkan pembelajaran mereka di dalam kelas sewaktu di sekolah.


Oleh yang demikian, bimbingan ibu bapa sangat diperlukan bagi menyokong pembelajaran mereka kerana mereka mungkin sedikit tertinggal di sekolah. Fokus utama ibu bapa haruslah tertumpu kepada aspek posisi atau kedudukan anak-anak sewaktu belajar. Jangan biasakan mereka belajar sambil tidur atau meniarap kerana penerimaan pembelajaran akan jadi kurang berkesan. Sebaliknya, sediakan kerusi atau meja untuk mereka menulis dan membaca.

Kedua, aspek penggunaan mata mereka. Minta mereka memandang kepada kita apabila kita sedang memberikan arahan atau mengajar mereka. Pandangan akan menentukan apa yang didengari. Minta mereka pandang tepat ke mata kita agar ia dibiasakan dan ini akan membantu mereka untuk memandang guru mereka ketika mengajar. Kemudian, ibu bapa harus memahami bahawa, telinga mereka hanya akan mendengar apa yang mereka pandang. Ini bermakna, apabila ibu dan ayah menegur anak-anak, adalah menjadi suatu perkara penting untuk mereka memandang wajah kita bagi menggalakkan pendengaran mereka dengan baik.

Apabila membantu mereka mengulangkaji di rumah, elakkan melakukan sesuatu sesi pembelajaran melebihi 30 minit. Mulakan dengan rehat setiap 15 minit dengan meminum seteguk air. Ini untuk membantu fokus mereka kerana mereka tidak mampu duduk dalam keadaan yang sama terlalu lama. Berikan galakan dengan hadiah dan peraturan dengan denda. Imbangkan dan lakukanlah dengan adil. Pengorbanan ibu bapa ini penting untuk memastikan anak-anak ini mendapat keputusan yang maksimum baik. Cuma buat ibu bapa semua ingat, setiap anak kita adalah unik, begitu juga pencapaiannya. Usah mengharap terlalu tinggi tetapi jangan lupa juga berusaha untuk capaikan mereka yang terbaik.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI