KERJAYA SEBAGAI PENCERAMAH

Menjadi penceramah bukanlah satu kerjaya yang menjadi idaman dan cita-cita ramai orang. Bahkan ingin berjumpa dengan seorang dari 100 orang pelajar pun amat sukar. Kerjaya menjadi penceramah bukanlah digemari seperti menjadi ahli bomba, polis, tentera, doktor atau peguam bagi kanak-kanak di sekolah rendah. Jika perbualan ini dilanjutkan kepada kelompok pelajar sekolah menengah pula, mereka akan mula menyebut cita-cita seperti pereka hiasan dalaman, akauntan, jurutera, juruterbang atau mungkin peramugari. Walau apapun cita-cita mereka, pasti sesuatu yang mengujakan jika ada di antara mereka yang bercita-cita menjadi penceramah.

Namun dalam tidak ramai yang bercita-cita menjadi penceramah, pada hari ini, penceramah seperti berlonggokan ramainya. Ada yang sepenuh masa berceramah, ada juga yang separa masa dan juga di kenali sebagai sambilan. Apapun bahagian yang mereka duduki, mereka inilah penceramah yang sering dikaitkan dengan seni bercakap, lawak jenaka, kepetahan, ketinggian ilmu dan komunikasi sehala.

Ceramah merupakan salah satu teknik pembelajaran sehala di mana penceramah atau orang yang memberikan ceramah bersyarah manakala audiennya mendengar dan memahami setiap isi yang disampaikan. Jika berkesempatan, satu sesi soal jawab akan dibuka pada akhir sesi ceramah tersebut. Inilah kelaziman yang bermain di dalam pemikiran semua orang apabila dimaklumkan kepada mereka yang mereka akan mendengar ceramah. Namun, kebangkitan dan kelahiran ribuan penceramah hari ini khususnya Malaysia, menjadikan sesi ceramah ini berinovasi dalam corak ia dipersembahkan. Penceramah lebih kreatif, lebih bersemangat, anggun gempak dan kadangkala ada juga yang mencemaskan. Ini berlaku disebabkan kelainan yang cuba dibawa oleh setiap penceramah untuk bersaing antara satu sama lain.

Secara tidak langsung, ia memberikan kesan kepada corak penerimaan masyarakat terhadap ceramah. Jika dahulu, ceramah sering dikaitkan dengan perkataan bosan, menyampah, syok sendiri dan sebagainya, namun hari ini nyata, ia tidak lagi begitu. Bahkan hari ini dapat kita lihat, ceramah menjadi satu keseronokan pula bagi segelintir kita. Cuma, yang benar-benar menjadi pilihan mereka adalah yang seronok, menggembirakan, kelakar, jenaka dan memberikan semangat yang berkobar. Ia bukanlah sesuatu yang sihat tetapi ia satu perubahan yang menarik dan perlu diberikan perhatian.

Maka kerjaya sebagai seorang penceramah merupakan kerjaya yang sepatutnya boleh diterokai dan dibangunkan sebagai salah satu kerjaya pilihan pada masa akan datang. Ia merupakan satu seni, kemahiran tinggi, peluang dan mempunyai kembangan kerjaya yang tidak kurang hebatnya. Cuma, untuk menjadi seorang penceramah yang berjaya, pasti ada ilmu yang perlu di dalami, tahap pengetahuan yang tinggi, kemahuan, perancangan serta kaedah-kaedah tepat dan menjadikan kerjaya sebagai penceramah ini sebagai sesuatu yang juga boleh dibanggakan.

Follow by Email

BERSAMA KAMI