ADA TAK JAWAPANNYA?


Perjalanan dalam tempoh beberapa minggu sebelum tibanya bulan yang mulia ini menjadikan diri kami amat berdebar-debar. Adakah sempat kami bersamanya atau tidak. Perjalanan harian yang disibukkan dengan tugas berceramah dan bertemu dengan adik-adik generasi muda begitu juga para pendidik, memandangkan ia satu kesibukan kini buat mereka untuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan UPSR. Ini mengingatkan KAMZ kepada beberapa persoalan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya yang bermaksud, "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan? Ilmunya, apakah yang diamalkan? Hartanya, bagaimana dibelanjakannya? Dan kesihatan tubuhnya, apakah yang dilakukan?"

Kesibukan kita untuk menjawab soalan peperiksaan, yang keputusannya hanya dikira atas perkiraan manusia tetapi bagaimana persoalan yang akan diajukan malaikat-malaikat Allah s.w.t. itu nanti? Adakah kita bersedia? Ramai dikhuatiri tidak dapat menjawabnya walaupun ia telah dibocorkan! Jika peperiksaan di dunia dibocorkan maka mereka yang membocorkannya akan di dakwa, tetapi dimahkamah Allah s.w.t., soalan bocor inilah yang tidak upaya dijawab oleh manusia. Jika di dalam peperiksaan di dunia kita amat mengharapkan adalah soalan bocor, agar mudah untuk di jawab, maka untuk urusan kita dengan Allah s.w.t. Dia telah membocorkannya. Adakah kita masih tidak sedar?
Persoalan usia adalah berkenaan dengan persoalan masa. Panjang usia, banyak amal, itulah yang kita harapkan. Agar amal itu akan menjawabpersoalan yang diajukan dengan baik. Namun, ada juga diantara kita yang panjang umurnya tetapi tidak sedar akan peluang Allah s.w.t. jadikan hari demi hari untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kesilapan mereka. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saff bermaksud;
"Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (As-Saff 61: 3)
Ayat di atas menunjukkan persoalan ilmu dan mereka yang tidak mengamalkan ilmunya. Inilah yang menggetarkan hati para ilmuan dan ingatlah, biarlah ilmu yang ada pada kita adalah ilmu yang membawa dan membuka jalan ke syurga. Usahlah terjadi seperti orientalis yang mengkaji Islam tetapi tidak menyelamatkan mereka, juga sebagaimana Iblis yang tahu tentang kehidupan di syurga tetapi tidak mengamalkan ketaatan kepada Allah s.w.t. Ya Allah, kuatkan hati kami untuk menambahkan ilmu dan mengamalkannya, dan berkatilah ilmu kami.
Persoalan yang ketiga adalah persoalan yang seringkali manusia hari ini memandang mudah. Sehinggakan mereka tidak lagi memikirkan halal haram dalam mengumpulnya. Iaitulah harta kita. Bahkan, Allah s.w.t. juga akan bertanya tentang bagaimana kita membelanjakannya juga. Setiap harta yang dikutip, bersamanya hak Muslim yang lain. Maka, zakat merupakan satu kewajipan bagi umat Islam untuk dilunaskan, jika tidak, bersedialah untuk dipersoalkan.
Akhiran adalah persoalan tubuh badan. Maksud dari surah Yaasin;
"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan." (Yaasin 36: 65)
Begitulah kita akan dipersoalkan dengan soalan yang sengaja dibocorkan agar kita semua dapat membuat persiapan dan mendapat markah yang tinggi ketika disoal nanti sebagaimana pengharapan terhadap soalan-soalan bocor dalam peperiksaan. Semoga jawapan yang kita berikan akan memandu kita ke arah syurga Allah s.w.t. dan berjaya menjauhkan diri kita dari azab siksa neraka Allah s.w.t.

Follow by Email

BERSAMA KAMI