DIDIK AKHLAK ANAK TERHADAP IBU BAPA

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini


Mendidik anak adalah satu keperluan yang tinggi dan amat perlu dititik beratkan. Ini kerana, usaha dan peranan sebenar ibu bapa adalah memberikan pendidikan awal sebelum mereka menjalani kehidupan mereka bersama teman-teman atau rakan-rakan sepermainan. Ini juga adalah sebahagian dari tanggungjawab untuk memastikan apabila tiba masa mereka berfikir dan bertindak atas keputusan sendiri, kita telah menyediakan secukupnya ilmu dan pengetahuan untuk mereka meneruskan kehidupan mereka.

Akhlak adalah tunjang utama pendidikan di rumah. Anak-anak perlu dilatih dari sudut akhlak mereka terhadap ibu bapa, kemudian ia akan dipanjangkan atau disusuli dengan akhlak bersama orang lain yang bukan dari kalangan ibu bapa atau adik-beradik mereka. Mulakan pendidikan akhlak dengan memelihara dan memulihara pergaulan di dalam keluarga diantara ibu, ayah dan juga adik-beradik mereka. Sentiasalah hidupkan hubungan dengan aktiviti-aktiviti yag bermanfaat serta sentiasa menjaga hati mereka dari perasaan tidak senang. Didiklah dan ingatkanlah anak-anak supaya mengasihi ibu bapa ini melebihi dari orang lain yang mereka kenali. Jadikanlah keluarga sebagai tempat yang paling selamat untuk mereka.



Untuk mendidik anak agar lebih mendengar kata, mulakan dengan memenuhi janji kepada anak-anak itu sendiri. Kita melatih mereka dengan kita melakukan perkara yang sama. Kenangkan, apabila kita menjadi anak, adakah kita mendengar kata ibu bapa? Maka, anak kita juga akan belajar darinya. Setiap kata-kata kita hendaklah kita lakukan agar ia menjadi contoh untuk diikuti oleh anak-anak dalam proses mendidik mereka untuk mendengar kata. Pesan dengan cara yang baik, dan ingatkan mereka tentang balasan untuk orang yang tidak mendengar kata ibu dan ayah.

Latih juga akhlak anak-anak dengan sifat sabar. Khususnya dalam perkara berkaitan dengan nafsu seperti makan, tidur, main dan sebagainya. Kadangkala, jiwa anak-anak ini sangat cenderung dengan nafsu mereka sehinggakan mereka tidak dapat bersabar untuk melakukannya. Latihlah mereka terhadap perkara ini kerana, anak-anak juga kadngkala perlu dilatih untuk bersabar dengan tindakan dan perbuatan ibu bapa. Kadangkala, ibu bapa mungkin terlewat mengambil anak atau memarahi mereka dikala kita sedang sibuk bekerja dan sebagainya. Keadaan ini memerlukan anak-anak yang sabar dan sentiasa diingatkan kerana ibu bapa juga insan biasa. Latihan kesabaran ini akan membiasakan anak-anak menerima seadanya dan sentiasa memaafkan orang lain.

Seperkara lagi dalam urusan dengan ibu bapa adalah latihan untuk memberi hormat. Apabila bertemu dengan ibu bapa, latihlah mereka untuk memberikan salam dan berjabat tangan. Mulakan dengan ibu bapa yang memulakan dahulu. Cium dan usap kepala mereka untuk menunjukkan kasih sayang dan ajarkan mereka untuk membalasnya dengan ucapan terima kasih. Hormati hak mereka sebagaimana kita mahu mereka menghormati kita sebagai ibu bapa mereka. Ini jelas sekali kadangkala dalam tindakan ibu bapa, seperti membuang barangan anak-anak, hak mereka kita tidak ambil perhatian. Jadi barang yang dibuang itu adakalanya adalah barang yang mereka simpan dan sayangi. Jadi berikan hak mereka, tanyakan kepada mereka boleh atau tidak kita membuangnya.



Akhir sekali, sentiasalah mengambil berat tentang mereka. Hubungi mereka dikala kita keluar bertugas atau meninggalkan mereka di rumah bersama suami atau isteri. Tanyakan tugasan atau kerja rumah mereka serta sentiasa ingatkan mereka dengan membeli buah tangan untuk mereka. Dengan ini, mereka juga akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka apabila mereka besar kelak. Latihan ini perlu bermula pada usia yang sangat muda agar ia menjadi satu kebiasaan dan latihan untuk mereka membesar sebagai anak yang berjasa. Sekadar lontaran dan pandangan moga dapat dimanfaatkan. TUNE-lah diri kita.




Muat turun artikel ini di sini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI