BELAJAR JADI FASILITATOR; MENGENALI SIAPA ITU FASILITATOR 3

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini




AKHLAK SEBAGAI TUNJANG KEPERIBADIAN

Apabila, seorang fasilitator mengutamakan dirinya berbanding orang yang dibimbing di dalam kelompok, di sinilah terpancarnya corak peribadi fasilitator yang tidak dapat diteladani bahkan akan menjadi fitnah dan timbul cakap-cakap belakang dikalangan peserta. Apabila seorang manusia memberi keutamaan kepada dirinya, maka akhlaknya akan mula menurun dan akhirnya dia akan menampakkan lebihnya keburukan. Harus diingat, apabila menjadi fasilitator, setiap tingkahlaku, kata-kata dan cara berfikir akan cuba dicontohi atau diperhati oleh setiap mereka yang dibimbingnya.

Akhlak mestilah menjadi tunjang kepada seorang fasilitator. Inilah sebenarnya peranan yang juga dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap setiap ummat baik yang Islam atau yang bukan Islam. Sehinggakan Baginda s.a.w. amat dipercayai dan disenangi oleh sesiapa sahaja. Apabila kita diyakini amanahnya, baik hatinya, jujur tindakan dan kata-kata, bagaimana agaknya penerimaan kita dikalangan orang yang kita bimbing? Sudah tentu, kita disenangi dan kata-kata kita mudah diterima oleh sesiapa yang mendengarnya, apatah lagi dari kalangan orang yang kita bimbing itu sendiri. Sekiranya kita diberi pilihan untuk bertemu dengan orang A, B dan C. Orang A sentiasa bermuka senyum, orang B pula sentiasa marah-marah dan orang C pula sentiasa bermuka masam. Siapakah orang yang paling mudah untuk kita rapati? Sudah tentu jawapan dan pilihan anda ialah orang A bukan?



Akhlak adalah jelmaan dari keikhlasan serta kefahaman yang baik terhadap kehidupan dan pegangan hidup, khususnya pegangan agama itu sendiri. Untuk mereka yang sentiasa berpegang dengan agama dan kepercayaan mereka, pasti akhlak akan menjadi tunjang dan penampilan yang amat baik. Islam meletakkan akhlak sebagai satu perkara utama selain dari aqidah dan syariah. Maka, ia perlu diutamakan, jika sudah menjadi fasilitator, tetapi akhlak belum juga terbentuk, maka berusahalah untuk terus memperbaikinya. Ambillah masa yang sesuai serta teruskanlah usaha itu. Inilah juga yang dikatakan usaha mengislahkan diri untuk menjadi lebih baik.




PERUBAHAN DAN PEMBAIKAN DIRI

Usaha untuk memperbaiki diri adalah tuntutan dan ciri-ciri ketiga yang perlu ada kepada seorang fasilitator. Ini disebabkan oleh faktor perubahan masa dan kehidupan persekitaran kita. Perubahan diri ini perlu berlaku berlandaskan ilmu dan pengetahuan. Proses penambahan dan percambahan ilmu ini perlu terus berlaku sama ada secara formal atau tidak formal. Pembacaan perlu menjadi keutamaan seorang fasilitator dan pembudayaan ilmu akan membantu fasilitator menguasai kelompok bimbingan mereka dengan lebih baik.


Muat turun artikel ini di sini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI