PERMULAAN 2012


PERMULAAN 2012
Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini Perunding Utama Latihan Dan Motivasi IQ Class Management

Marilah kita bersama-sama panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana kita masih menjadi manusia yang dipilih Nya untuk terus hidup dengan kehidupan yang sementara ini. Kami di IQ Class Management juga mengucapkan berjuta-juta kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana masih mengekalkan kami dalam suasana ukhuwah dan memberikan ruang 2012 ini untuk merencana dan melaksana program-program latihan.

2011 telah pun meninggalkan kita semua dan ia tidak akan kembali. Segala kenangan akan menjadi batu loncatan perubahan dan kepada pencapaian yang lebih baik. Maka, semua pekerjaan diberikan nafas baru baik di pejabat-pejabat, jabatan kerajaan, bank dan lain-lain. Apatah lagi anak-anak kita yang melangkah masuk ke alam persekolahan semula setelah bercuti untuk lebih dari sebulan. Kesempatan ini ingin kami ambil agar sama-sama kita ingat bahawa, ruangan peluang ini hanya datang sekali dan mungkin tiada lagi. Maka ia perlu dilalui dengan penuh iltizam dan keazaman yang tinggi bukan sekadar azam tahun baru sahaja.

Khusus buat adik-adik yang akan melangkah ke alam persekolahan, abang-abang di IQ Class Management (Abang KAMZ, Abang Zaki dan Abang Jo) amat mengharapkan persiapan yang rapi serta cita-cita tahun baru menjadi pembakar semangat untuk belajar dan berjaya di dalam pembelajaran di sekolah. Buat ibu ayah, para guru, penjawat awam, dan sesiapa yang pernah atau akan bersama kami dalam melaksana program pada tahun 2012, kami doakan agar kalian sentiasa di bawah naungan Allah s.w.t.. Di sini kami ingin berkongsi beberapa tips untuk menempuh tahun baru ini, mudah-mudahan ini akan dapat membantu semua orang baik pelajar, pekerja mahupun pengurus melakar dan merencana tahun 2012 dengan penuh keberkatan dan kejayaan.

MULAKANLAH DENGAN NIAT
Niat ini adalah penentu pergerakan kita dan ia bukan hanya untuk menghala tujukan minda kita ke arah itu, tetapi juga kejituan dan kesungguhan hati untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk natijah yang baik. Berniatlah kerana Allah s.w.t. agar setiap perbuatan amal kerja yang kita buat menjadi bekalan ibadah buat kita. Maka adik-adik, berniatlah ke sekolah kerana Allah, kerana ilmu yang akan kita pelajari dan ilmu itu yang akan digunakan untuk membantu keluarga dan masyarakat kita akan datang. Buat para pekerja yang kami hormati, niatkanlah kerja itu kerana Allah, kerana dari kerja itu datangnya gaji yang menjadi rezeki untuk keluarga kita rasai nikmatnya. Juga, dari kerja yang kita buat, natijahnya adalah kepada pengguna-pengguna, untuk anak bangsa dan juga agama kita.

PELIHARALAH KESIHATAN
Pada setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia, Allah s.w.t. lebih menyukai mereka yang sihat melakukannya berbanding yang sakit. Maka, jagalah kesihatan kerana darinya akan datang kesungguhan dan kebaikan. Apabila disebut tentang kesihatan, kami pasti, apa yang terlintas di dalam fikiran adalah bab makan. Ya! Allah s.w.t. sebutkan di dalam Al-Quran bahawa makanlah kita semua dari sumber yang halal dan baik. Untuk adik-adik, kurangkan makanan yang tidak berkhasiat kerana ia akan merosakkan proses tumbesaran fizikal, mental dan rohani kita. Makan makanan berkhasiat dan ini akan membantu adik-adik khususnya dalam pembelajaran nanti. Buat ibu ayah dan para pekerja, carilah rezeki yang benar-benar halal buat kita dan anak-anak, bersukanlah kerana sukan itu juga boleh menjadi ibadah. Sakit kita akan menjadi bebanan kepada keluarga.

RESTU IBU AYAH
Cium tangan, pipi dan dahi ibu ayah untuk kita beroleh restu dari mereka. Belajar perlukan restu. Kehidupan anak perlukan restu ibu ayah. Ilmu perlukan restu guru. Maka hormatilah mereka ini da sebarkanlah kasih sayang. Agar kehidupan adik-adik akan sentiasa direstui mereka dan diredai Allah s.w.t.

BERSABARLAH
‘La tahzan, innallaha ma’anaa’, jangan bersedih kerana Allah s.w.t. bersama kita. Buat ibu ayah dan para pekerja. Jadikanlah tahun 2012 ini sebagai tahun kesabaran dalam melaksana tugas dan tanggungjawab masing-masing. Anak-anak adalah amanah untuk kita corakkan. Tugas dan kerja adalah amanah yang perlu kita laksanakan. Maka, janganlah lupa bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berpesan, orang yang paling kuat adalah orang yang boleh mengawal marahnya. Biarpun datang badai, ribut taufan dalam kehidupan kita, maka fikirkanlah bahawa itu adalah cabaran dan bukan permasalahan. Itu adalah cabaran dan bukan permasalahan. Allah cabar kita untuk tingkatkan iman kita jika kita benar-benar mengaku beriman. Allah tidak akan membebankan kita dengan masalah yang tidak mampu kita tanggung. Itu janji Nya. Maka apa yang sampai pada kita adalah sesuatu yang kita pasti ada upaya. Akal, sikap dan pendirian kita yang akan menentukannya. Jika kita yakin akan jumpa penyelesaiannya, jika kita lemah, kadangkala itu yang berakhir dengan penyakit gila dan bunuh diri. Na’uzubullahiminzhalik’.



Muat turun artikel ini di sini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI