PRA SYARAT FASILITATOR MUSLIM 2


Pra Syarat Fasilitator Muslim 2

Maka, Fasilitator Muslim adalah salah satu jalannya, ruang dan kesempatan. Bagi mereka yang meminati dakwah melalui cara ini, maka tekunilah dan jadikanlah ia sebagai wadah untuk berdakwah dan menyampaikan berita gembira juga peringatan buat mereka yang beriman dan Muslim. Apabila ada dikalangan kita yang memilih jalan ini, seterusnya yakinilah ia. Jangan ada unsur keburukan dan ketidakbenaran di dalam usaha untuk menambah kebaikan diri kita. Ini kerana, dari pengalaman dan amatan saya di dalam dunia kefasilitatoran ini, ramai yang berubah niat dan tujuannya bahkan ada sebahagiannya cara mereka juga yang akhirnya mencemari kejituan dan semangat Fasilitator Muslim ini.


Mensyukuri Nikmat Kurniaan Sebagai Manusia

Seorang Fasilitator Muslim berkewajipan untuk menjadikan diri mereka sebagai seorang insan bersyukur dan mempunyai kesedaran hidup bertuhan dan beragama. Nikmat kurniaan yang Allah berikan adalah yang terbaik untuk sesiapa sahaja yang mahu berfikir dan menggunakan keupayaan mereka dengan maksimum. Fasilitator Muslim, mestilah seorang manusia yang waras, rasional dan memiliki cita-cita yang besar di dalam dirinya.


Menajamkan Akal Resipi Terbaik Fasilitator


Akan sampai satu ketika nanti, apabila anda kerapkali bertemu dengan peserta, mereka akan melontarkan pelbagai soalan dan juga mereka mula meminta pendapat. Pada saat itu, mereka sedang melihat anda sebagai orang yang terbaik yang pernah mereka temui atau andalah orang yang mereka percayai. Pada saat itu, walaupun anda meminta mereka mengutip daun kering sekalipun, mereka beranggapan, pasti ada sesuatu pengajaran disebaliknya.

Nah, saat ini, adakah anda hanya akan membatu dan membiarkan diri anda pada takuk yang lama? Adakah anda akan biarkan mereka kehampaan kerana harapan mereka itu tidak dapat kita penuhkan? Adakah kita akan akur sahaja dan mengatakan, “kita bukan tuhan,” sedangkan usaha kita untuk memperbaiki diri kita tidak pada tahap yang boleh dibanggakan? Jom kita telusuri pengalaman dan kebijakan para sahabat dan sarjana Islam, bagaimana mereka dapat menyelesaikan masalah dengan baik dan memberikan keadilan kepada mereka. Jika kita ingin benar-benar menjadi Fasilitator Muslim, maka inilah tugas kita. Ketajaman akal hanya datang dengan ilmu dan ia akan menuntun kita kepada satu bentuk fikir yang luarbiasa hebat.

Follow by Email

BERSAMA KAMI