BERKESANKAH PENDIDIKAN ISLAM DI DALAM PENDIDIKAN FORMAL?


BERKESANKAH PENDIDIKAN ISLAM DI DALAM PENDIDIKAN FORMAL?


Terdapat bebarapa persoalan yang wajar kita timbulkan dalam diri kita sama ada kita sebagai pelajar, kita sebagai tenaga pengajar atau kita sebagai ibu bapa kepada para pelajar. Pertama, adakah subjek agama itu telah disusun mengikut keutamaannya? Kedua, adakah isinya disampaikan hanya sekadar mencapai keperluan menjawab soalan di dalam kertas ujian tanpa ada sebarang roh pentarbiyahan?

Ini jelas melalui pengalaman dalam menganjurkan program-program berbentuk kerohanian dan pentarbiyahan di sekolah-sekolah sebagaimana contohnya pembelajaran pendidikan asas seperti solat. Adakah ianya diajarkan hanya sekadar mengetahui pergerakan, menghafaz bacaan dan tahu berniat atau ia perlukan lebih penekanan dari sudut penghayatan, memahami erti setiap pergerakan dan bacaan serta mengetahui kesannya dalam kehidupan dan perubahan sikap manusia?

Pemerhatian yang panjang mendapati, pendidikan solat ini sudah semakin menjadi kebiasaan sehinggakan tenaga pengajar juga akhirnya tepu dan hanya mengajar untuk memenuhi keperluan perancangan mengajar. Daya kreativiti dan inovasi dalam usaha memberikan kesedaran kepada mereka yang belajar tentang pentingnya solat itu perlu difikirkan supaya mereka dapat merasai keperluan dalam perhubungan dengan Allah s.w.t.

Pendidikan rukun iman juga dilihat tidak sepatutnya hanya dibincangkan hanya sekadar pada bentuk fikir dan ilmiah semata-mata, tetapi ia perlu diterjemahkan ke dalam perbuatan amal dan perasaan bersungguh-sungguh. Maka, perbincangannya perlu lebih kemas, panjang dan memerlukan lebih banyak masa untuk sentiasa berfikir dan melakukan amal yang mendatangkan keimanan yang sebenar. Subjek rukun iman ini seharusnya berjaya membentuk dan menyentuh akal fikir dan hati seorang pelajar. Janganlah ia sekadar dijadikan subjek yang perlu dihafal untuk peperiksaan. Apabila ditanya tentang ‘A’ sebagai contohnya, maka jawapannya adalah ‘A’, tetapi, tiada ‘A+’ dalam pemahamannya.

Di sinilah bermulanya pembentukan karektor sebenar yang harus diberikan perhatian oleh semua pihak kerana pembentukkan minda sedar dan minda separa sedarlah yang akan membentuk nilai dan peribadi positif pada diri setiap individu. Maka, setiap subjek ini perlu diberikan penekanan yang lebih dan dibincangkan semula agar asas perbincangannya dan pendidikan kepada pelajar itu menepati saranan bukan sekadar melepaskan pra-syarat tertentu sahaja. Sudah sampai masanya untuk melihat permasalahan remaja hari ini dari sudut pandangan pendidikan agama mereka yang lemah dan longgar. Faktor tiang yang tidak kukuh menyebabkan runtuhnya moral dan jatidiri mereka ke lembah yang mengundang bencana di akhirat kelak.

Keputusan peperiksaan SPM yang diumumkan beberapa hari lalu menjadi subjek perbincangan tentang pelajar bukan Islam yang mendapat kecemerlangan di dalam peperiksaan kertas subjek agama. Ramai pihak yang menyatakan kewajaran dan kerisauan tentang isu ini, tetapi adakah kita sedar bahawa kerisauan tidak akan membawa perubahan apa-apa? Sebaliknya, kerisauan itu perlu hadir dengan tindakan, pencapaian pelajar Islam yang tidak dapat mencapai tahap sebenar bukanlah suatu perkara utama, tetapi bagaimana mereka mengamalkannya?

Membina akal tahu adalah jauh lebih mudah dari mendatangkan kemahuan dalam hati mereka. Ternyata, pelajar-pelajar Islam khususnya remaja kita hari ini telah hilang punca pedoman mereka. Ramai dari kalangan mereka tahu bagaimana untuk melakukan solat, puasa, zakat dan haji tetapi adakah mereka benar-benar faham mengapa mereka perlu melakukannya? Akhirnya apabila datang permasalahan dan persoalan, terkapai-kapai mereka mencari jalan penyelesaian. Natijahnya, mereka mengambil jalan mudah dengan merujuk hanya kepada rasional akal mereka bukan lagi Al-Quran dan As-Sunnah. Ini disebabkan mereka bukan lagi belajar ilmu-ilmu agama berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah tetapi kerana guru yang suruh, peperiksaan yang menunggu dan buku teks yang dihidangkan.

Maka, mari kita lihat bagaimana contoh pendidikan agama yang patut kita usahakan. Bagaimana Rasulullah membenarkan seorang lelaki memeluk Islam walaupun dia tidak mahu solat, puasa dan sebagainya. Maka, pada hari ini, pelajar-pelajar ini perlu didatangkan perasaan untuk melakukannya. Sistem pembelajaran dewasa akan membantu dalam menyampaikan pendidikan berbentuk kefahaman agama sebegini. Perlu datangkan sebab mengapa mereka perlu melakukannya dan disusuli dengan mengisi keghairahan mereka untuk melakukannya.

Ilmu agama perlu dibawa kepada pelajar bukan pelajar yang dibawa kepada ilmu itu. Di sinilah konsep hidayah yang Allah s.w.t. janjikan hasilnya pasti memberangsangkan. Tetapi ini bukanlah jalan terakhir sebaliknya metod yang sedia ada juga boleh digunakan. Namun, para pendidik harus sedar tentang kepentingan memberikan pendidikan agama kepada generasi baru hari ini. Begitu juga ibu bapa, usahlah diletakkan harapan yang tinggi menggunung kepada guru dan pendidik di sekolah semata-mata sebaliknya sokonglah mereka di rumah, marahlah mereka di rumah, tegur dan ingatkanlah mereka di rumah kerana jika itu tidak berlaku, sama ada mereka akan menidakkan apa yang diterima di sekolah atau mereka akan menidakkan ibu bapa mereka di rumah kerana mereka tidak menerima apa yang sepatutnya mereka terima di rumah tempat tinggal mereka.

Buat tenaga pengajar, pendidik, para ustaz dan ustazah, bangun dan bertindak kreatiflah. Penglibatan IQ Class Management dalam membantu membangunkan usaha ini di sekolah-sekolah diharapkan memberikan kesan yang positif pada masa akan datang. Di sinilah usaha yang perlu diteruskan kerana jika mereka akan rosak maka kitalah baikinya, jika mereka rosak, maka kitalah puncanya. Bukan cara, seorang pendidik dan pembimbing itu membiarkan mereka tanpa dibimbing dan ini perlu dilakukan bersama-sama bukan seorang diri. Usaha perlu bermula hari ini.




Muat turun artikel ini di sini.

Follow by Email

BERSAMA KAMI