BELAJAR JADI FASILITATOR; MENGENALI SIAPA ITU FASILITATOR 2


BELAJAR JADI FASILITATOR; MENGENALI SIAPA ITU FASILITATOR 2


USAHA ISLAH SERTA OBJEKTIF JANGKAMASA PENDEK

Menyambung penulisan yang lalu, untuk memulakan usaha mengenali siapa itu fasilitator, maka seorang fasilitator harus mengetahui bahawa untuk menjadi seorang fasilitator yang terbaik seharusnya, mereka ini mempunyai 2 matlamat yang jelas dalam diri. Pertama, matlamat penglibatan atau penyertaan ke dalam dunia kefasilitatoran adalah kerana datangnya niat untuk berusaha mengislahkan diri atau dalam erti kata lain ia bermaksud perubahan diri. Perubahan diri dari keadaan lemah, tidak baik kepada lebih baik dan bertambah kekuatan. Usaha pengislahan itu tidak tertakluk hanya kepada diri sendiri sahaja, bahkan juga ia akan terbias kepada orang lain juga.

Apabila usaha islah ini menjadi keperluan utama sesebagai fasilitator, pernah juga kita dengar ayat-ayat seperti, “Aku belum cukup ilmu lagi, macamana nak jadi fasilitator?”. Ingatlah kata-kata cediakiawan ini, “Jika kita hendak menunggu ilmu yang mencukupi, bilakah agaknya ilmu kita akan cukup?” Slogan yang dipegang oleh pembimbing rakan sebaya juga sesuai untuk dijadikan penilaian diri, “Perbaiki diri untuk membantu dan memperbaiki orang lain.” Slogan ini amat bertepatan dengan seorang fasilitator yang baik. Islah ini bermakna, perubahan diri sendiri secara peribadi dan juga perubahan orang lain atas usaha kita untuk memberikan nasihat dan teguran. Inilah yang dikatakan sebagai ejen kepada perubahan.

Kedua, ialah objektif jangkamasa pendek yang ditentukan oleh penganjur program latihan atau sesuatu permintaan aktiviti. Usaha untuk menjadi ejen perubahan ini menyebabkan kita perlu melalui beberapa proses kecil sebelum mencapai matlamat utama. Maka, objektif kecil dibentuk dan ini yang akan menjadi proses perjalanan seorang fasilitator dalam usaha islah yang lebih besar. Bezanya, objektif perlu dicapai dalam jangkamasa yang ditetapkan serta ia berbentuk orientasi program (program oriented) manakala, islah diri dan orang lain pula akan berlaku sepanjang masa sebagai fasilitator dan dibawa ke mana sahaja selagi mereka perlu berperanan. Ini pula dikenali sebagai orientasi misi atau ‘mission oriented’.

Keutamaan bagi seorang fasilitator adalah untuk memenuhi wawasan atau matlamat usaha islahnya kerana ia perlu ada dalam setiap tugasan sebagai fasilitator manakala memenuhi objektif jangkamasa pendek pula adalah tanggungjawab dalam melaksanaka tugasan terkini atau yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh yang demikian, segala usaha pengislahan perlu lebih tinggi kerana jika tidak, untuk mencapai objektif jangkasama pendek, pastinya seorang fasilitator itu akan mengutamakan dirinya berbanding orang lain yang natijahnya, peserta akan diabaikan dan berlakulah kecuaian kerana apa sahaja yang dilakukan hanya untuk keperluan peribadi fasilitator itu sahaja.




Muat turun artikel ini di sini.

Follow by Email

BERSAMA KAMI