BELAJAR JADI FASILITATOR (MENGENALI SIAPA ITU FASILITATOR 1)

BELAJAR JADI FASILITATOR
(MENGENALI SIAPA ITU FASILITATOR 1
)

Ramai dikalangan kita pada hari ini mungkin pernah mendengar perkataan fasilitator. Ia merupakan perkataan yang berasal dari perkataan Inggeris iaitu ‘facilitator’, ia merupakan perkataan yang terbit dari perkataan dasar yang berbunyi ‘facilitate’. ‘Facilitate’ bermaksud bimbing. Maka, perkataan terbitannya membawa maksud pembimbing atau orang yang membimbing. Ada juga dikalangan pengendali atau mereka yang terlibat sebagai fasilitator menyatakan maknanya sebagai pemudahcara. Walau apa pun yang dimaksudkan dengan fasilitator ini, dapat kita persetujui bahawa, kesemuanya membawa maksud yang hampir serupa iaitu pembimbing atau pemudahcara.

Fasilitator sudah tidak asing lagi. Ia amat dikenali dan sudah berada dipengetahuan umum. Bahkan, semakin hari, semakin ramai yang berminat untuk menyertai dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sebagai fasilitator. Ada fasilitator digunakan di dalam program latihan dewasa, penghuni penjara, PLKN juga program-program lain yang dianjurkan dan diselia oleh syarikat-syarikat perundingan dan latihan. Oleh kerana terlalu banyak penggunaan petugas yang dikenali sebagai fasilitator dan mempunyai permintaan yang tinggi, ada dikalangan mereka yang merasakan dan menjadikan fasilitator sebagai tugas yang mudah. Tugasnya cukup sekadar membantu dan membimbing dalam satu tempoh masa yang singkat. Selesai tugas, dapat bayaran.

Ada juga segelintir dari mereka menjadikan tugas sebagai fasilitator ini untuk mencipta nama dan kemasyhuran bahkan pendapatan yang tinggi. Kerapkali ramai yang berfikir, menjadi fasilitator adalah tugasan yang mudah untuk dilaksana dan dapat menjana pendapatan yang lumayan. Bahkan, ada juga dikalangan fasilitator merasakan tugasnya hanyalah menjaga sekelompok kumpulan dan memastikan mereka berasa gembira tanpa memikirkan kesan selepas mereka meninggalkan kumpulan tersebut. Akhirnya, etika ditinggalkan peranan utama ditolak ke tepi, yang utama adalah habuannya. Namun, bagi mereka yang mendalami dan memahami peranan sebenar fasilitator, ia bukanlah tugas yang mudah sebagaimana yang difikirkan dan diperlakukan oleh orang-orang kebanyakan.

Salah faham ini menjadikan tugasan fasilitator ini seolah-olah suatu tugas yang begitu lumayan dengan kerja yang sangat ringan. Ini adalah suatu kesilapan yang besar dan salah faham yang perlu diperbetulkan. Pengalaman hampir 11 tahun melibatkan diri di dalam dunia fasilitator menjelaskan bahawa tugas seorang fasilitator bukan sekadar mendapat hasil yang lumayan dan kerja yang ringan, bahkan lebih besar dari itu. Pastinya, kita pernah mendengar perkataan pendakwah, ejen perubah serta motivator bukan? Ya, ia amat sinonim dengan perkataan fasilitator. Ia bukanlah makna secara khususnya dari segi bahasa, tetapi tugas dan peranan mereka itu yang menjadikan ia amat sinonim dengan fasilitator.

Apabila kita bercerita tentang fasilitator, terdapat beberapa perkara utama yang perlu kita lihat serta berikan perhatian. Sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah mengungkapkan di dalam sebuah hadis tentang kewujudan hati dalam diri manusia. Jika ia baik, maka baiklah keseluruhan luarannya dan jika sebaliknya, maka ia juga akan dizahirkan segala keburukannya. Sepanjang pengalaman dan pengamatan melihat perlaksanaan program-program latihan yang dijalankan, fasilitator juga boleh disimpulkan sebagaimana hati di dalam program-program latihan. Jika fasilitator yang berada di dalamnya baik, maka keseluruhan perlaksanaan, penyampaian serta pencapaian program latihan itu juga akan menampakkan kebaikannya. Namun, jika fasilitator yang berada di dalam program latihan itu buruk dari segi peribadi dan tingkahlakunya, maka, begitulah juga kesannya kepada perlaksanaan, penyampaian serta pencapaian program latihan tersebut.

Mengetahui dan mengenali siapa itu fasilitator menjadi amat penting khususnya untuk mereka yang melaksana serta menganjurkan program-program latihan. Pastinya, semakin ramai pada hari ini memilih kerjaya dalam bidang latihan dan motivasi kerana pendapatan yang amat lumayan. Tetapi fahamilah dan hayatilah, bahawasanya, berada di dalam bidang latihan adalah suatu bidang yang berkaitan dengan pembangunan modal insan. Apabila berlaku kecuaian di dalam pemberian maklumat atau nasihat mahupun peringatan, ianya akan memberikan natijah yang amat besar buat peserta latihan pada masa akan datang.

Perbincangan di dalam penulisan ini, merupakan perbincangan yang mengkhususkan kepada bentuk peribadi fasilitator yang akan membimbing kumpulan kecil. Ia biasanya berlaku kepada kelompok pelajar sekolah atau IPT. Namun, adalah tidak mustahil ia juga boleh dilaksana kepada kelompok-kelompok lain. Oleh itu, bagi seorang fasilitator untuk kelompok kecil ini, tentulah mereka memerlukan beberapa ciri utama yang perlu dibangunkan dan dibentukkan agar ia menjadi suatu yang sebati di dalam dirinya.




Muat turun artikel ini di sini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI