MENDISIPLINKAN ANAK-ANAK


MENDISIPLINKAN ANAK-ANAK


Remaja merupakan satu zaman dimana mereka sedang melalui proses transisi daripada dunia kanak-kanak dan permainan mereka ke arah alam dunia dewasa yang penuh dengan tanggungjawab dan amanah. Remaja secara umumnya adalah kelompok manusia yang terdiri daripada mereka yang berumur di dalam lingkungan umur 12 sehingga 25 tahun. Definisi bahasa latin sekiranya diterjemahkan, remaja membawa maksud ke arah kematangan. Pada usia begini, mereka remaja akan melalui beberapa proses perubahan.

Pertama, perubahan jasmani atau fizikal diri remaja itu sendiri. Secara umumnya, perubahan fizikal ini terdapat perbezaan mengikut jantina. Kedua, perubahan emosi remaja. Pada usia begini remaja lebih mudah tersinggung berbanding ketika mereka di alam kanak-kanak. Maka, tidak hairanlah kebanyakan kes lari dari rumah adalah melibatkan remaja dan tidak dari golongan kanak-kanak. Ketiga pula, adalah perubahan sosial mereka. Ini melibatkan kelompok teman-teman sepermainan mereka. Jika dunia kanak-kanak, tidak banyak kelompok yang dapat kita perhatikan, tetapi ketika usia remaja, mereka sudah mula memilih kelompok yang mereka berasa senang dan bersesuaian dengan mereka. Akhir sekali adalah perubahan dari sudut bahasa. Penggunaan kata ganti diri remaja serta bahasa mereka yang lebih terkini dan nampak mengikut arus perkembangan semasa.

Perubahan ini mengundang kepada beberapa ciri yang mirip dikalangan remaja. Pertamanya, mereka lebih senang berada di dalam kelompok rakan-rakan mereka berbanding bersama ibu bapa. Ini disebabkan oleh golongan ibu bapa yang kadangkala dianggap tidak memahami keperluan diri mereka serta ketinggalan zaman. Kemudian, selain dari mudah tersinggung, mereka juga suka berangan dan disinilah kemahiran menipu dan mengada-adakan cerita bermula. Kita dengan mudah dapat mengenalpasti sikap ini apabila kita bertanyakan beberapa soalan yang sama kepada remaja dan kanak-kanak. Jawapan kanak-kanak akan cenderung lebih terbuka berbanding mereka yang di usia remaja. Akhir sekali, remaja ini adalah di dalam kelompok anak muda yang dikatakan sebagai berdarah panas. Cepat beremosi serta mudah marah. Ini adalah sebahagian kecil pengenalan mengenai remaja yang harus dan wajib difahami oleh ibu bapa.


BINA AKHLAK, CEMERLANG DUNIA DAN AKHIRAT

Binalah akhlak islam anak-anak untuk melihat kecemerlangan mereka di dunia dan akhirat dan abaikanlah pembinaan akhlak Islam mereka untuk melihat kegagalan yang dikasihi di akhirat kelak. Membina akhlak Islam yang unggul memerlukan usaha ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak. Usaha mendisiplinkan anak-anak harus bermula dari pra-syarat disiplin yang dibentukkan di rumah.

Satu, keluarga mestilah bersetuju dan sepakat untuk mengiktiraf ketua keluarga mereka. Ayah harus menunjukkan keupayaan untuk memimpin keluarga dengan baik dan berkesan. Dua, selaku ketua keluarga, seorang ayah mestilah mendahului dalam memastikan seluruh ahli keluarga menghidupkan syariat Islam di rumah. Ajarkanlah anak-anak untuk memberikan salam apabila masuk ke rumah, mengamalkan doa-doa apabila masuk ke tandas, masuk ke rumah dan sebagainya. Selain itu, wujudkanlah cara hidup yang Islami dengan menitikberatkan soal aurat serta adab-adab pergaulan.

Tiga, melakukan kerja rumah secara berjemaah. Ia termasuklah solat berjemaah yang sentiasa diimamkan oleh ayah. Ia model yang baik, bahkan adalah lebih baik jika rumah berdekatan dengan masjid atau surau, maka, si ayah akan mengajak anak-anak lelaki khususnya untuk berjemaah di masjid atau surau. Empat, si ibu pula mengambil tanggungjawab untuk menjadikan rumah itu amat senang dan selesa untuk diduduki. Prinsip rumahku syurgaku harus dibangunkan sehinggakan anak-anak akan rasa sayang dan senang untuk berada dan pulang ke rumah.

Lima, anak-anak seterusnya perlu diajarkan untuk menjaga amanah. Secara mudahnya, mulakan dengan barangan di rumah, apabila ingin mengambil sesuatu biasakan dengan meminta izin serta memulangkannya sebagaimana yang dijanjikan dan meletakkannya ke tempat asalnya. Enam, adalah untuk menghadirkan perasaan selamat dalam diri ahli keluarga khususnya anak-anak. Ia bersangkutan dengan tempat tinggal, persekitaran serta tugasan kerja yang dilakukan oleh ibu dan ayah. Ini adalah tanggungjawab ibu dan ayah yang membolehkan anak-anak membina kepercayaan terhadap keluarga mereka.

Akhir sekali, anak-anak juga perlu dilatih untuk menyemai rasa tanggungjawab sebagai ahli keluarga, abang, kakak dan adik. Begitu juga terhadap barangan atau alatan yang rosak, ia harus segera dibaiki dan ia wajib diberikan kepada sesiapa yang sepatutnya memperbaikinya. Mengakui kesalahan serta meminta maaf adalah salah satu kemahiran yang perlu diajarkan kepada anak-anak. Melalui tujuh langkah awal ini, ia adalah sebagai pembuka langkah untuk melatih pelbagai disiplin yang lain kepada anak-anak. Semoga usaha memulakan ini akan berterusan dan istiqamah dilakukan bersama oleh ahli keluarga.




Muat turun artikel ini di sini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI