MENGEKALKAN SIFAT ROMANTIS SUAMI DAN ISTERI


MENGEKALKAN SIFAT ROMANTIS SUAMI DAN ISTERI


Rasulullah s.a.w. dikatakan selalu memegang tangan isterinya ketika berada di rumah. Kadangkala, Baginda Rasulullah s.a.w. memotong kuku isterinya, mandi junub bersama-sama dan akan mengajak isterinya untuk bermusafir bersama-samanya bagi mengeratkan lagi hubungan dan ikatan kasih sayang mereka. Baginda Rasulullah s.a.w. juga memanggil isterinya dengan panggilan yang mesra dan menyenangkan. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mendahului kita dalam perkara yang dibincangkan dalam isu romantik di dalam rumah tangga. Pengajaran ini harus dipelajarari bersama kerana dengan keadaan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang Nabi Allah dan Rasulullah, pastinya kehidupan Baginda lebih mencabar dan melalui pelbagai kesibukan harian dalam melaksanakan tugasannya sebagai seorang pemimpin ummat.

Sikap romantik ini pada dasarnya adalah sikap yang amat dituntut oleh Islam kerana ia dapat menggalakkan hubungan yang positif dikalangan suami dan isteri. Ramai, dari kalangan pasangan suami isteri hari ini yang tidak dapat mempertahankan rumahtangga mereka kerana gagalnya mereka menguruskan serta memberikan perhatian kepada perkara-perkara sebegini. Apabila ia berkaitan dengan pasangan manusia dengan manusia, pasti ia akan melibatkan soal hubungan sosial, fizikal, intelek, emosi dan kerohanian mereka. Samalah keadaannya dengan hubungan romantik suami dan isteri. Menurut pandangan ramai, sifat romantik ini dapat dilahirkan melalui hati yang penuh dengan kasih sayang serta perasaan ambil berat diantara satu dengan lain.

Sikap romantik ini perlu dibentukkan dengan sebaik mungkin. Sebagai seorang suami, kita wajar untuk mengambil tugasan ini sebagai seorang ketua dan pemimpin yang terbaik di dalam sesebuah organisasi keluarga. Wujudkanlah aktiviti-aktiviti jama’ie atau bersama atau berjemaah. Lakukanlah solat berjemaah, makan serta raidah bersama-sama. Panggillah isteri dengan nama panggilan yang baik dan menyenangkan sebagaimana gelaran Baginda kepada Siti ‘Aisyah sebagai “Ya Humaira’”. Bergurau senda juga sebahagian dari amalan yang perlu diutamakan. Wanita juga amat menggemari hadiah. Namun bukan apa yang dihadiahkan itu, sebaliknya adalah romantiknya dalam pemberian si suami kepada isterinya. Jadikan memberi hadiah sebagai salah satu cara menghidupkan suasana romantik hidup suami isteri. Hadiah juga boleh digantikan dengan membawa isteri makan angin.

Bagi seorang isteri, wajarlah kita untuk menjaga penampilan diri kita apabila bersama suami. Kadangkala si isteri berlebihan apabila tidak bersama suami atau meninggalkan rumah. Akhirnya ia menjadi fitnah dan si isteri tidak lagi menjaga maruah keluarga khususnya si suami. Sebagaimana si suami, si isteri juga wajar untuk mengungkapkan ayat-ayat cinta kepada suami sebagaimana diperlakukan si suami. Carilah masa yang sesuai untuk menghabiskan masa dengan suami dan hiasilah bilik tidur dan rumah agar sentiasa memberikan gambaran baik serta kesenangan hati si suami. Tuliskan kad-kad ucapan yang indah buat suami serta jika timbul sebarang masalah, atasilah ia dengan segera melalui perbincangan.

Terdapat pelbagai lagi tips yang mungkin sesuai dibincangkan dan ditambah dari apa yang dicatatkan di sini. Untuk perhatian suami dan isteri, sikap romantis ini amat perlu dalam melestarikan sebuah keluarga yang terbaik. Namun, asas tunjangnya tidak boleh lari dari aqidah yang jitu dan mantap. Si suami dan isteri mestilah masing-masing menjadi contoh dalam hal-hal yang sesuai dengan diri masing-masing. InsyaAllah, keluarga kita akan mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Kebahagiaan tidak lahir dari rumah yang tersergam, kesenangan tidak lahir dari luang masa yang banyak, ketenangan tidak lahir dari jutaan wang yang dikumpulkan, sebaliknya ia lahir dari kesepaduan aqidah, dalam diri, keluarga serta masyarakat sekitarnya.




Sila muat turun artikel ini disini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI