FASILITATOR SEBAGAI DA’IE


FASILITATOR SEBAGAI DA’IE


Semakin hari, semakin ramai fasilitator yang berjaya dilahirkan dari pelbagai jurusan kemahiran serta atas pelbagai keperluan dan permintaan. Fasilitator merupakan satu kemahiran yang memerlukan latihan serta bimbingan yang baik dan berkesan bagi memastikan kesan jangkamasa panjang, bukan sekadar kepada diri mereka yang menggelar diri sebagai fasilitator, bahkan kepada mereka yang menjadi anak didik atau yang dibimbing oleh fasilitator.

Seorang fasilitator yang terbaik, mempunyai ciri-ciri diri yang positif. Matlamat mereka jelas serta peribadi mereka amat mudah didampingi. Selain itu, mereka juga sangat kreatif dan sering menghidupkan perhubungan yang baik bersama sesiapa yang bersama mereka. Apabila kita menilai diri peribadi seorang fasilitator ini, ia amat berkait rapat dengan pendakwah atau lebih mudah dikenali sebagai da’ie (istilah arab).

Kefahaman tentang keperluan untuk menyampaikan serta menyebarkan agama risalah ini akan menjadikan seseorang fasilitator itu lebih baik dari pelbagai sudut. Fasilitator Muslim dan Mukmin ini, wajib memahami konsep hamba dan khalifah. Inilah yang akan mendorong mereka untuk menyambung tugasan para Rasul dalam menyebarkan Islam kepada sesiapa sahaja yang mereka kenali. Sebaran ini bukanlah semata-mata berkonsepkan retorika atau sekadar edaran nota bacaan, tetapi lebih dari itu. Firman Allah sw.t. di dalam surah Saba’ ayat 28 yang bermaksud;

“Kami tidak mengutus engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), dan pemberi peringatan (kepada orang yang ingkar. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Saba’: 28)

Jelas sekali, bagi seorang Fasilitator yang Muslim, ini merupakan tugas besar yang amat perlu didahulukan. Mengingatkan mereka yang ingkar serta menyampaikan kebenaran tentang kebaikan yang dilakukan oleh manusia. Hubungan dengan Allah s.w.t. merupakan ibadah yang bersifat peribadi dan tidak mencakupi tugasan sebagai khalifah. Fasilitator merupakan sebahagian yang boleh dijadikan alat melaksanakan tugas khalifah itu sendiri, namun ia amat bergantung kepada diri seorang fasilitator Muslim dan Mukmin itu sendiri.

Oleh kerana, ini merupakan salah satu cara melaksanakan tugasan yang diberikan kepada Ar-Rasul, maka sudah pasti, sebagai seorang fasilitator, perlu melihat Rasulullah s.a.w. sebagai modelnya. Ini jelas diperjelaskan di dalam sebuah hadith yang bermaksud, “Penciptaan yang tertinggi disisi Allah, yang paling disukai-Nya adalah yang memberikan manfaat kepada yang lainnya.”

Perjuangan serta dakwah Rasulullah s.a.w. berjalan dengan cemerlang bertiangkan akhlak yang mulia. Akhlak Rasulullah s.a.w. itu bukan sekadar dari sudut peribadinya di dalam masyarakat, bahkan dibuktikan dalam perhubungannya bersama ahli keluarganya serta lebih menyerlah lagi di dalam kepimpinan yang ditunjukkan bersama para sahabatnya. Lihat sahaja kisah-kisah pengIslaman sahabat-sahabat Baginda, tiada banyak yang menggunakan kekerasan bahkan hati mereka luluh apabila melihat akhlak diri pada Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian, adalah menjadi keperluan sebagai seorang fasilitator untuk membina peribadi dalam usaha untuk menjadi contoh serta menyampaikan risalah agung ini kepada adik-adik bimbingan mereka. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Anfal ayat 24 yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Dia menyeru kepada sesuatu yang memberikan kehidupan kepada kamu dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.” (Al-Anfal: 24)

Tugasan fasilitator yang meletakkan diri mereka sebagai da’ie seharusnya menjadikan seruan Ar-Rasul ini sebagai keutamaan dalam tugasannya. Namun ia perlu diperkukuhkan dengan ilmu pengetahuan yang sentiasa ditambah. Keutamaan ini semestinya disuburkan di dalam jiwa para fasilitator. Ubah diri harus menjadi keutamaan kerja dakwah dan menjadikan diri kita semakin baik setiap hari. Apa yang lebih perlu diutamakan adalah perasaan takut itu kembali kepada Allah s.w.t.

Perasaan takut kepada Allah s.w.t. ini akan membantu diri seorang fasilitator untuk tabah dalam setiap ujian yang ditimpakan. Percayalah, Allah s.w.t. hanya memberikan ujian yang mampu ditanggung oleh diri kita sendiri. Kepercayaan itu amat penting kerana ujian pasti tiba buat mereka yang mengaku diri mereka beriman. Berdakwah adalah wajib bagi setiap manusia yang bergelar Muslim. Maka bersabar dan istiqamahlah. Inilah tugas sebenar fasilitator Muslim dan Mukmin, jika bersungguh melaksanakan tugas ini, pasti akan berlaku islah dalam kehidupan peribadi seorang fasilitator itu. Utamakan matlamat besar sebagai seorang da’ie nescaya Allah s.w.t. akan membantu untuk bagaimana dapat dilalui dengan cara yang berkesan di dalam kerja dakwahnya.





Muat turun artikel disini.

Follow by Email

BERSAMA KAMI