JOM KITA MUHASABAH DIRI



Jomlah kita sama-sama muhasabahkan diri selaku ibu dan ayah kepada anak-anak kita di rumah. Terdapat seorang pemikir barat yang menyatakan bahawa dia mempunyai catatan tebal hariannya. Padanya dicatatkan segala kesalahan, keterlanjuran dan perkara-perkara remeh yang dilakukan sepanjang hari dengan tujuan ia tidak akan melakukannya lagi. Adakah kita sebagai ibu bapa melakukannya? Adakah kita menilai diri kita?

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qiyamah ayat 2 yang bermaksud, “Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).” Ayat ini bukanlah memberikan penjelasan bahawa mereka itu menyesali segala kesalahan yang dilakukan mereka serta dosa-dosa mereka semata-mata, tetapi mereka amat menyesal kerana kebaikan yang mereka lakukan itu bukanlah yang terbaik dan ia tidak dilakukan dengan sebanyak-banyaknya. Apatah lagi jika ia disebabkan dosa dan kesalahan mereka. Penyesalan ini telah dibuktikan Allah di dalam Al-Quran dan menampakkan keperluan bahawa kita harus menilai diri kita sebelum sampai hari kita pula dinilai oleh Allah s.w.t.

Muhasabah untuk diri sebagai ibu dan bapa adalah amat penting bagi memastikan keberkesanan tugas kita di rumah dan ketika ketiadaan kita bersama anak-anak. Muhasabah itu perlu dilakukan secara bersendirian selaku seorang ibu dan bapa serta berbincang diantara keduanya. Perbincangan yang sihat ini akan menjadi kesan dan matlamat yang ingin dicapai oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka dalam tempoh masa yang singkat.

Hasil dari muhasabah diri akan menyebabkan seseorang ibu atau bapa itu akan menambahkan ilmunya. Ia berikutan kepada keperluan kepada beberapa perkara yang mungkin tidak ada di dalam pengetahuan mereka. Ini akan memberikan kesan langsung percambahan pengetahuan untuk para ibu dan bapa dalam mendepani karenah anak-anak dizaman moden ini. Kehidupan anak-anak hari ini amat berbeza dengan kehidupan ibu bapa mereka terdahulu. Segala kemudahan dan teknologi yang ada menyebabkan ibu bapa terpaksa menambahkan ilmu mereka untuk berada sebaris atau lebih baik dari anak-anak mereka.

Wahai ibu dan bapa yang dikasihi Allah sekalian.
Janganlah kita malu untuk menyatakan rasa kesal dan bersalah dihadapan Allah s.w.t. Renungkan dalam diri kita setiap kali bermuhasabah, adakah harta yang kita berikan kepada mereka ini halal? Dan adakah ianya mendapat keberkatan dari Allah s.w.t? Apakah tindak-tandukku sebagai ibu atau bapa hari ini memberi pengajaran kepada mereka atau adakah ia penuh dengan kelalaian?

Sedarlah, anak kita hari ini adalah hasil dari kejahatan atau kebaikan kita yang dahulu. Jika keras hati kita, maka pohon ampunlah kepada Allah atas dosa-dosa kita yang terdahulu. Inilah pentingnya muhasabah dalam keluarga kita. Ajarkan diri kita dan anak-anak agar sentiasa bermuhasabah dan ingatkan akan DIA. Iman tidak dapat diwarisi dari seorang ibu atau ayah, tetapi ia dapat disuburi dengan kasih sayang dan cinta yang disebarkan oleh keduanya. Moga mendapat keberkatan dalam pembinaan keluarga kita. Ingatlah pesanan Hasan Al-Bashri, “Seorang Muslim lebih banyak bermuhasabah diri sendiri daripada menilai temannya.”



Muat turun artikel Jom Muhasabahkan Diri Kita disini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI