MENJADI SUAMI YANG MEMAHAMI (6 PERKARA YANG PERLU KITA KETAHUI)


MENJADI SUAMI YANG MEMAHAMI (6 PERKARA YANG PERLU KITA KETAHUI)


Alhamdulillah, kita masih lagi dikurniakan kehidupan yang sihat dan diberikan peluang untuk terus menambahkan ilmu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Pada pagi ini. Saya terfikir untuk berkongsi dan dibuat renungan bersama tentang keberkesanan diri kita sebagai seorang lelaki, anak lelaki serta suami kepada isteri-isteri di luar sana. Siapa suami dan bagaimana suami yang memahami?

Sehingga ke hari ini, dapat kita bersama dengari tentang pelbagai isu dan permasalahan yang melibatkan kekeluargaan khususnya suami dan isteri. Laporan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, lebih dari 60,000 kes penceraian (64,631) telah dicatatkan pada akhir tahun 2007 dan khabarnya, ia semakin meningkat sehingga ke hari ini.

Antara punca yang disebutkan yang menjadi faktor penceraian tersebut adalah kerana tiada persefahaman dalam menguruskan rumah tangga, suami atau isteri terbabit dengan hubungan orang ketiga dan poligami. Selain itu, wujudnya campur tangan keluarga secara berlebihan dan tekanan bebanan kerja sehingga masa untuk bersama keluarga diabaikan. Oleh yang demikian, sebagai suami yang mementingkan serta mengutamakan kebahagiaan di rumah harus memberikan perhatian sewajarnya dalam usaha untuk membina dan menjadikan diri sebagai suami dan bapa yang terbaik untuk isteri dan anak-anak.

Adakalanya,suami sering memandang ringan perkara-perkara soal hati isteri. Namun inilah merupakan antara punca keadaan tidak ceria serta tidak menghasilkan kebahagiaan sebenar di rumah. Oleh yang demikian, mari kita bedah hati dan diri kita wahai suami, apakah perkara yang kita sering tidak peduli dan menganggap ia hanyalah perkara biasa.


Anggapan si isteri.

Kerapkali berlaku apabila si isteri menelefon kita dan katanya “Assalamualaikum bang, buat apa tu?”. “Alah yang, bateri nak habis lah”. Jawapan begini memberikan tanggapan kepada si isteri bahawa sebagai suami seolah-olah kita tidak mahu bercakap atau berbual dengan mereka. Mereka akan mula mendatangkan tanggapan yang bukan-bukan dan syak yang tidak disengajakan walaupun sebenarnya bateri telefon memang benar-benar di saat akhir.


Tidak berlaku dan berkata benar.

“Kriing, kriing!” dering telefon bimbit Abang Deris. “Hello, assalamualaikum yang” jawab Abang Deris manja. “Abang kat mana ni? Lama dah saya tunggu abang ni!” bentak si isteri di dalam telefon tanda marah. “Kejap la yang, abang on the way dah ni” jawab Abang Deris ringkas. Pada ketika itu, Abang Deris masih bersama kawan-kawannya di kedai mamak mengambil masa berbual bersama.

Suasana begini kerap berlaku kan? Ini adalah suasana yang juga sepatutnya kita elakkan. Apatah lagi, kedai mamak itu kedudukannya hanya dalam 10 minit sahaja daripada rumah. Berlaku jujurlah dengan diri dan dengan isteri anda. Ini bukan soal ‘sporting’ atau terbuka si isteri, tetapi ia berkaitan terus tentang tanggungjawab dan keikhlasan dalam hubungan suami isteri.


Percakapannya dihentikan.

Kerapkali juga, apabila si isteri cuba untuk berbicara atau berbeual dengan mereka, kita menghentikan percakapan mereka dengan berkata, “saya sibuklah” atau “kejap lagilah” dan sebagainya. Ini menjadikan hati si isteri terluka dan menyebabkan mereka bermasam muka dengan kita seharian. Pernahkah anda alami?


Pertanyaan yang sudah tahu jawapannya.

“Dengan tak apa yang abang cakap ni?” tanya si suami. Inilah biasanya ungkapan yang kita keluarkan apabila marah atau menegur. Para suami yang dikasihi sekalian. Sesungguhnya, isteri-isteri kamu itu adalah seorang pendengar yang setia. Usah ditanya perkara sebegitu kerana ini boleh mencacatkan hubungan.


Menyoal semula.

“Eh, apasal datang ni?” tanya suami apabila melihat si isteri muncul di pejabat atau “apasal call ni?” apabila tiba-tiba si isteri menelefon. Usah ditanya kerana tindakan si isteri yang sayangkan suaminya kadang-kadang tidak ada matlamat melainkan hendak buat kejutan atau memang sekadar ingin bertanya tanpa ada sebarang sebab yang konkrit. Kalau dalam satu hari tidak berlaku kejadian sebegini, baik kita semak semula kenapa agaknya ya.


Berdiam diri.

Ini yang paling mudah dan kerapkali kita pinggirkan. Isteri kita seorang yang senang bercerita. Bahkan apa sahaja rahsia dirinya mahupun rakan-rakannya akan menjadi rahsia bersama. Kadangkala, si suami terlalu berat mulutnya untuk memberikan respon. Sebenarnya mereka bukanlah nak dengar apa komen kita, tetapi mereka hanya nak dengan respon yang ringkas seperti, “haaa”, “ye ke”, “oooh” dan sebagainya.


Kesimpulannya, apa yang utama dalam kebahagiaan kekeluargaan adalah mewujudkan proses komunikasi yang aktif dan berkesan. Untuk menjadikan ia lebih berkesan, komunikasi tadi perlu disaluti dengan kejujuran dan keyakinan terhadap pasangan masing-masing. Semoga peringatan ini menjadikan saya juga sebagai suami yang terbaik dan terhebat begitu juga buat sesiapa sahaja yang membacanya. Mari kita bersama muhasabah dan menilai diri kita. TUNE diri kita.


9.06 pagi
9 Oktober 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor


Penulis juga adalah;
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia (BBM)
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdk.blogspot.com)

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI