MENGANJURKAN PROGRAM LATIHAN ATAU MOTIVASI


Justify FullMENGANJURKAN PROGRAM LATIHAN ATAU MOTIVASI


Menganjur dan menjalankan program-program berbentuk latihan atau motivasi merupakan suatu kemahiran yang boleh dilatih dan dibina dalam diri. Ia memerlukan pemahaman serta latihan yang khusus bagi membolehkan setiap perancangan itu berjalan lancar dan berkesan. Untuk memahami secara teorinya, menganjurkan program latihan atau motivasi merangkumi 5 langkah asas yang amat mudah.

LANGKAH 1: ANALISA (ANALYSIS)
Pada peringkat pertama ini, ia lebih menjurus kepada kerja-kerja mengumpulkan maklumat atau data-data berkenaan dengan program latihan atau motivasi yang ingin dianjurkan. Proses ini boleh dilakukan melalui borang soalan, temuramah atau juga melalui pemerhatian. Analisa ini amat penting bagi menentukan 2 perkara utama iaitu objektif akhir yang ingin dicapai di dalam program latihan atau motivasi serta apakah pendekatan yang patut digunakan dalam menyampaikan mesej dengan berkesan.

LANGKAH 2: MEREKABENTUK (DESIGN)
Kemudian, melalui analisa yang telah dijalankan, kita bertanggungjawab untuk merekabentuk program latihan atau motivasi tersebut. Ia merangkumi cara penyampaian, isi kandungan utama serta pelan pembelajaran untuk setiap isi kandungan. Pada peringkat ini, kita perlu tahu menggambarkan aspek-aspek utama serta pendekatan yang digunakan di dalam sesebuah program latihan atau motivasi. Ini akan memudahkan proses menyiapkan kertas kerja jika perlu.

LANGKAH 3: MEMBINA (DEVELOP)
Apabila rekabentuk program latihan atau motivasi telah nampak dan difahami, langkah diteruskan dengan membina rangka besarnya yang juga dikenali sebagai modul. Di dalam modul, antara isi kandungan yang penting adalah objektif program, jadual program, pendekatan yang digunakan, peralatan serta cara-cara melaksana sesuatu aktiviti. Pada peringkat ini juga, ahli jawatankuasa mula dibentuk dan diberikan tugas bagi melicinkan perjalanan sesuatu program latihan dan motivasi tersebut.

LANGKAH 4: MELAKSANA (IMPLEMENT)
Proses melaksana perlu diiringi dengan 2 persiapan utama iaitu carta aliran kerja (flowchart) serta pelan utama (masterplan). Ia adalah untuk memastikan setiap tugasan dilaksana serta dirancang. Pada peringkat ini, peranan ketua fasilitator serta pengarah program latihan atau motivasi amat dititikberatkan. Inilah peringkat utama dalam menganjurkan program latihan atau motivasi.

LANGKAH 5: MENILAI (EVALUATE)
Terdapat 4 perkara paling asas yang perlu dinilai dari setiap program latihan atau motivasi yang dianjurkan. Pertama, maklumbalas peserta. Ia amat mudah untuk dikesan. Melalui beberapa soalan yang ditanya atau respon segera peserta apabila kita bertanyakan tentang program latihan atau motivasi yang kita sediakan. Namun, penilaian pada peringkat ini, tidak utama dan tidak begitu penting berbanding penilaian yang akan kita bincangkan seterusnya.

Kedua, pemahaman peserta tentang isi kandungan program latihan atau motivasi yang dianjurkan. Ia boleh dilakukan dengan cara temuramah atau borang soalan. Ketiga, melalui peningkatan kemahiran mereka. Ia perlu dilihat dari sudut praktikal mereka serta semangat untuk melakukannya diluar waktu program latihan atau motivasi tadi. Keempat adalah perubahan sikap. Penilaian ketiga dan keempat biasanya akan dilihat selepas 1 bulan atau 3 bulan program dilangsungkan. Ia adalah penilaian sebenar terhadap keberjayaan sesuatu program latihan atau motivasi yang dianjurkan.

Konsep ADDIE yang diperkenalkan ini merupakan antara teknik mudah dalam usaha menganjurkan program latihan atau motivasi ditempat anda. Secara kesimpulannya kita boleh lihat, proses untuk menganjurkannya mestilah melalui 3 fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada kita semua. TUNE lah diri kita.


8.19 pagi
22 Oktober 2010
Rumah PKNS, Taman Malawati, Kuala Selangor


Penulis juga adalah;
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia (BBM)
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI