LEBIH UTAMA UNTUK DIPERCAYAI BERBANDING DIKASIHI


LEBIH UTAMA UNTUK DIPERCAYAI BERBANDING DIKASIHI


Budaya berorganisasi merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam melalui kehidupan sebagai seorang Muslim di muka bumi Allah s.w.t. ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 4;

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”


Jelas di sini yang dapat kita lihatkan betapa keadaan ummat Islam itu amat perlu bersama sebagai satu binaan yang kukuh. Islam juga memperlihatkan bahawa hidup seorang Muslim itu umpama anggota tubuh, apabila satu merasa sakit, maka yang lainnya juga tidak dapat berehat dan merasakan kesakitannya bersama. Namun di dalam suasana berorganisasi, tidak dapat tidak, pastinya kita akan berhadapan dengan dunia politik organisasi. Masing-masing berusaha untuk mendahului yang lain dalam usaha untuk mendatangkan perasaan kasih pengurus atau bos kita.

Bahkan di dalam organisasi yang sifatnya bukan kerajaan atau mengaut keuntungan sekalipun, keadaan ini berlaku. Ini menjadikan pada hari ini amat sukar untuk kita mencari kepimpinan atau ahli organisasi yang boleh dipercayai. Jika kita bersama berusaha menyenaraikan apakah sifat utama diri seorang pemimpin atau ahli organisasi itu, pastinya yang menjadi keutamaan dalam perbincangan tersebut adalah mereka yang boleh dan dapat dipercayai. Amerika Syarikat negara yang dikatakan memiliki kuasa besar dunia, ada dikalangan mereka yang mengungkapkan kata-kata sindiran, “We thought we could trust the military, but then came Vietnam; we thought we could trust the politicians, but then came Watergate; we thought we could trust the engineers, but then came the Challenger disaster...”

Kata-kata ini mengungkapkan tentang makna dan keutamaannya kepercayaan. Faktor kepercayaan amat penting dalam memastikan kesinambungan sesuatu hubungan samaada berbentuk peribadi mahupun berorganisasi. Apabila kuasa kepercayaan ini berjaya dibentuk, sebarang anasir sifat mazmumah yang datang mengganggu hubungan dan bisikan-bisikan buruk dan busuk itu akan berjaya diatasi bahkan dijauhkan dari sesuatu perhubungan. Tetapi, apabila sistem kepercayaan ini tercabar, lihat sahaja kesannya, hubungan kepercayaan yang dibina hampir 10 tahun boleh berubah dalam sekelip mata.

Kepercayaan hadir melalui pengikut yang percayakan pemimpinnya dan pemimpin mesti meletakkan kepercayaan kepada orang yang dipimpin. Dari sinilah akan mewujudkan pengaruh dan pengaruh itulah yang menjayakan kepimpinan. Bagaimana kita hendak membina kepercayaan? Mudah tetapi sukar dilaksana. Cakap mesti serupa bikin. Cakap dan perbuatan mesti selari. Kata-kata mesti dikota. Inilah yang sering diungkapkan sebagai integriti. Integriti ini adalah sikap amanah, jujur dan tulus dalam setiap perhubungan dan dipraktikkan dimana sahaja dalam kehidupan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 2 dan 3;

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”


Kata bijak pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam kehidupannya yang mendorong masyarakat untuk mengangkat darjatnya serta memberikan gelaran Al-Amin. Kadangkala, kita lebih suka perasaan dikasihi berbanding dipercayai. Percayalah dan fikirlah, bahawasanya setiap pekara yang dikasihi hadir dari permulaannya dipercayai. Begitu juga dengan kasih sayang dibentuk di rumah, tempat kerja dan di mana sahaja. Apabila kepercayaan ini merosot, maka kasih sayang juga mula hilang dan pudar dari kehidupan kita. Bila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bila pun manusia lebih mempercayai matanya berbanding telinganya. ‘Action louder than words’.

Maka ingatlah sahabatku sekalian, apabila kita mengetuai atau berada di dalam organisasi, dan di situ semakin sukar untuk mendapatkan ketaatan, kerjasama dan kesetiaan, itu tandanya pengaruh kepimpinan telah hilang. Apabila hilang pengaruh, itu adalah disebabkan hilangnya kepercayaan dan disitulah tiadanya integriti. Kita tidak akan mampu menjayakan organisasi hanya sekadar dengan cinta tetapi, kepercayaan adalah yang lebih utama. ‘TUNE’lah diri kita.


6.47 petang
25 Oktober 2010
Rumah PKNS, Taman Malawati, Kuala Selangor


Penulis juga adalah;
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia (BBM)
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


Follow by Email

BERSAMA KAMI