INOVASI DAN KREATIVITI DALAM BELAJAR


INOVASI DAN KREATIVITI DALAM BELAJAR
Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (http://kamarulazami.blogspot.com)


Pembelajaran diperingkat sekolah kebiasaannya menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran khususnya dari sudut teknik belajar serta kemahiran belajar yang berkesan. Jauh di dalam pemikiran kita semua sentiasa beranggapan, teknik dan kemahiran ini perlu dipelajari serta mesti digunakan mengikut apa yang diajari. Namun, anggapan ini tidaklah seratus-peratus benar, tetapi yang menjadi keutamaan dalam memastikan pembelajaran seseorang itu berkesan adalah kemahuan dan kesungguhan mereka.

Inovasi dan kreativiti dalam belajar ini secara langsung akan hadir sekiranya seorang pelajar itu mempunyai kemahuan dan kesungguhan dalam pelajaran mereka. Inovasi membawa maksud kemampuan seseorang itu untuk membuat perubahan atau memperkenalkan sesuatu yang baru dalam konteks pembelajaran, bererti keupayaan seseorang pelajar itu untuk memperkenalkan teknik pembelajaran mereka yang baru dan lebih berkesan untuk diri mereka sendiri.

Kreativiti pula membawa pelbagai maksud. Pertama, kreativiti ini bermakna kemampuan untuk melahirkan idea yang baru bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Apabila seorang pelajar, mempunyai kemahuan dan bersungguh-sungguh untuk berjaya, tetapi segala usahanya untuk mencapai kejayaan itu sering tergendala memandangkan teknik pembelajarannya yang kurang berkesan, maka dari situ akan timbullah idea-idea baru untuk bagaimana mereka boleh mengubahnya agar menjadi lebih baik.

Kreativiti juga membawa makna cara yang baru atau berlainan dalam melakukan sesuatu perkara atau juga membawa erti mencari kegunaan baru untuk sesuatu. Ini menggambarkan perubahan atau kelainan dalam melakukan sesuatu. Begitu juga dalam memastikan teknik pembelajaran yang berkesan, kelainan kadangkala akan lebih menggalakkan dan memberikan rangsangan dalam melakukan ulangkaji.

Ia juga membawa maksud keupayaan seseorang untuk mempelajari pengertian baru atau maksud suatu tugasan. Ini amat jelas sekali kerana untuk membina minda kreatif, seseorang itu amat perlu untuk memahami apa sahaja yang dilakukannya dengan baik. Begitu juga dengan pembelajaran atau pelajaran mereka. Perlu tahu, faham dan menghayati dan disinilah akan timbul perasaan ingin tahu dan sentiasa mencari pembaharuan.

Selain itu, kreativiti juga boleh dimaksudkan dengan menambahkan nilai kepada sesuatu. Ini akan menjadikan sesuatu alat atau pekerjaan itu lebih menarik dan mudah. Dek kerana kreativiti mereka yang sentiasa mencari yang terbaik dalam apa yang mereka lakukan, pelbagai teknik-teknik pembelajaran diperkenalkan. Ia adalah datangnya dari keadaan yang mendesak bagi memenuhi kemahuan serta kesungguhan mereka di dalam sesuatu bidang.

Inovasi dan kreativiti dalam belajar ini amat penting yang mana ia akan mampu untuk mengurangkan tekanan dan stres dalam proses pembelajaran pelajar. Keadaan yang inovatif dan kreatif akan membawa banyak suasana dan keadaan yang baru serta lebih menarik. Ia juga akan mampu menjimatkan masa khususnya dalam membuat ulangkaji pelajaran. Nota yang kreatif akan memberikan makna walaupun hanya berdasarkan satu gambarajah berbanding dengan membaca seluruh buku. Hasilnya, peningkatan kualiti bacaan serta pembelajaran akan lebih jelas dan ketara. Kreativiti akan menggalakkan minda atau otak manusia untuk bekerja dengan lebih berkesan. Ini dijelaskan di dalam buku ‘Brain Gym’ yang ditulis dan dibukukan oleh Dr. Paul E. Dennison dan Gail E Dennison yang diterbitkan oleh Edi Kinestthetics Incorporation. Kreativiti ini boleh dilatih dan dipupuk sekiranya ada kesungguhan dan kesabaran. Usaha yang kuat sehingga akhir akan mendatangkan kepuasan hati dalam setiap apa yang dilakukan. Namun, segalanya memerlukan teknik dan cara yang terbaik. Ia boleh sama-sama diusahakan secara perlahan-lahan.

Untuk menggalakkan dan melakukan inovasi dan kreativiti dalam belajar, ia perlu dimulakan dengan langkah mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran itu sendiri. Persoalannya bagaimana kerana belajar itu sendiri sudah tidak diminati. Ini adalah kesilapan bagi setiap pelajar dalam mereka menempuh hari-hari persekolahan mereka. Untuk mewujudkan keseronokan, mereka perlu untuk menanamkan minay untuk belajar. Mulakan dengan memperbetulkan niat, mengapa mereka perlu belajar? Mereka belajar untuk apa dan untuk siapa? Pernyataan awal ini amat memberikan kesan dalam suasana minat mereka terhadap sesi pembelajaran. Kemudian, mereka perlu melatih diri untuk sentiasa bersabar dan bersyukur disepanjang masa pembelajaran. Sebab itulah, perlunya seorang pelajar berdampingan dengan rakan-rakan serta persekitaran yang betul dan memberikankesan positif kepada dirinya. Apabila ingin memulakan pembelajaran, perlulah ditentukan matlamat akhir sesi pembelajaran tersebut. Bukan hanya membaca tanpa ada halatuju bacaan. Ia adalah satu tindakan yang membuang masa serta tidak berkesan, Matlamat bukan hanya bermakna cita-cita, tetapi dalam setiap tindakan kita perlukan matlamat. Apabila ada matlamat, maka akan adalah perancangan dan persiapan sebelum melakukannya.

Selepas wujudnya keseronokan dalam proses pembelajaran tadi, sentiasa timbulkan persoalan yang membolehkan minda kita sentiasa bekerja dan berfikir secara kritis. Permulaan ini berupaya mengeluarkan idea serta pandangan yang kreatif untuk lebih menggalakkan pembelajaran tadi. Tetapi, pemikiran kritis ini tidak akan mampu diwujudkan sekiranya tidak disertakan dengan semangat membaca dan menambahkan pengetahuan. Pengetahuan yang luas akan lebih mendorong kita untuk memperbaiki cara pembelajaran serta meningkatkan daya pemikiran yang kritis.

Membaca juga bermaksud memahami keadaan yang berlaku dipersekitaran kita. Ia dilakukan melalui pemerhatian dan tumpuan yang digunakan. Berapa ramai dikalangan kita yang sentiasa sedar akan perubahan disekitar mereka. Persekitaran boleh dijadikan tempat rujukan serta pembentukan pemikiran yang jauh lebih positif. Jika sekiranya, apa sahaja yang berlaku dan apa sahaja yang dilihat sentiasa dijauhkan dari sebarang persepsi sebaliknya menjadikan ia sebagai satu pendorong yang positif. Keupayaan untuk meniru juga adalah sebahagian daripada cara untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti. Ia bukan bermakna mengambil hakcipta orang lain, tetapi ambil dan melakukan perubahan pada idea asal mereka. Ini bermakna, berlaku satu proses inovasi itu sendiri. Sebagaimana di dalam indusrti pengangkutan kereta, pembinaan enjin-enjin kereta menjadi lebih baik dan lebih matang apabila mereka saling bersaing dan melihat pencabar mereka dari sudut keupayaan pembinaan enjin tadi. Akhirnya enjin yang dilahirkan menjadi lebih baik dan lebih efisyen.

Usaha-usaha ini perlu dilakukan dengan penuh kesabaran dan memerlukan masa yang panjang. Hasil kesabaran itulah akan menjadikan kita pelajar yang sentiasa berinovasi dan kreatif dalam setiap tindakan. Penghargaan perlu diberikan kepada diri sendiri samada berjaya atau tidak. Ia bukan penghargaan untuk kejayaan, tetapi penghargaan atas usaha yang dijalankan. Adalah menjadi keutamaan dalam setiap perkara yang dbincangkan dalam tatacara meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam belajar ini iaitu, ia mestilah dilakukan oleh diri kita sendiri, bukan sekadar mendengar, membaca dan diperbincangkan. Kita lebih mengenali diri kita berbanding orang lain. Kreativiti adalah kita sendiri. Pasti ia boleh diperbaiki.


Isnin, 27 September 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor




Penulis juga merupakan;
Perunding Utama IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


Follow by Email

BERSAMA KAMI