GURU WAJAR BERPOLITIK ATAU TIDAK?


GURU WAJAR BERPOLITIK ATAU TIDAK?
Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (http://kamarulazami.blogspot.com)


Pelbagai berita dan pandangan yang dapat kita kumpulkan hasil dari respon masyarakat apabila diumumkan bahawasanya para guru akan dibenarkan berpolitik. Kadangkala kita juga runsing dan sukar untuk memahami apa sebenarnya yang menjadi keperluan sangat dalam isu berpolitik ini. Adakah ia memberikan kesan yang amat besar atau sekadar retorik untuk menarik perhatian dan sekadar memenuhi keperluan mana-mana kelompok manusia sahaja?

Saya berpandangan, seorang ahli politik lahir dibawah bimbingan dan didikan seorang guru juga. Ini tidak bermakna, apabila dia berpolitik atas sesuatu bendera, bermakna gurunya juga datang dari bendera yang sama. Keikhlasan dalam mendidik adalah keutamaan serta hasilnya sudah tentu bukan untuk membawa kepada perbincangan politik sahaja, bahkan lebih luas yang memberikan tumpuan dalam keilmuan dan intelektual pelajar. Penglibatan saya dalam dunia latihan dan motivasi menyebabkan saya juga mengenali ramai dari kalangan pendidik yang menyumbang penuh segala keupayan mereka semata-mata untuk melihat perubahan dan peningkatan sosial ekonomi masyarakat dan negara.

Justeru, pada pandangan saya, soal penglibatan guru dalam politik punya kewajaran, namun biarlah ia berlaku sebagaimana ia berlaku pada hari ini. Ia tidak perlu digembar-gemburkan sedangkan dalam sejarah bahkan apa yang berlaku pada hari ini juga adalah hasil penglibatan para guru juga. Namun, apa yang pasti, buat guru-guru semua perlu rasional dalam soal penerimaan amanah sebagai seorang guru. Apa yang dapat dilihat, apabila komitmen seorang guru itu amat tinggi, saya amat percaya, tiada dikalangan mereka pun yang akan sempat berpolitik, kerana ternyata hari ini, kuasa politik tidak berupaya untuk menghentikan segala gejala sosial yang timbul dipersekitaran hidup masyarakat.

Sumbangan para guru dalam isu ini lebih perlu diutamakan. Ini melibatkan isu masa hadapan pembangunan modal insan dan ketamadunan bangsa khususnya di negara kita. Sekiranya, hujah menyatakan bahawa berpolitik akan memberi ruang lebih besar untuk guru berkhidmat kepada masyarakat, pandangan ini amat cetek dan dangkal, kerana sebagai guru, ia adalah ruang paling besar untuk berbakti kepada masyarakat.

Oleh yang demikian, saya merasakan, dalam isu ini, kita serahkan kembali jawapannya kepada barisan pendidik dan pihak-pihak yang menentukan dasar wajib merujuk kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang sebenar. Jangan kita mencari jawapan dari mereka yang bukan datang dari latarbelakang pendidikan itu sendiri. Peringatan buat para guru, andakata politik yang menjadi pilihan, usahlah kepentingan peribadi itu menutup agenda perkembangan pembinaan dan pendidikan anak bangsa. Jangan hanya kerana kuasa, kita lupakan amanah besar bangsa untuk kita.


ADAB GURU DAN PELAJAR
Apa yang paling dibimbangi dengan suasana politik pada hari ini, akan menghasilkan ketidakseimbangan konsep belajar dan mengajar di dalam sistem pendidikan kita, yang mana, semua kita maklum, sistem yang kita miliki ini juga sudah mula hilang keseimbangannya. Ini bermakna ia akan memberikan kesan tidak langsung pada masa akan datang.

Seorang pelajar perlu bersih jiwanya dalam proses pendidikan dan pelajaran, tetapi adakah dengan gurunya berpolitik mengutamakan kebersihan jiwa ini?

Seorang pelajar yang inginkan keberkatan ilmunya, perlu mengurangi kesenangan duniawinya, tetapi adakah dengan guru berpolitik, akan datang suasana yang diinginkan?

Seorang pelajar yang berusaha mengumpul ilmu perlu mengelakkan diri dari perselisihan, namun adakah dengan guru yang berpolitik, ia dapat diasingkan?

Maka ingatlah para guru, tugas anda lebih besar dan tugas anda lebih utama berbanding menjadi ahli politik. Jika ingin melihat negara terus kekal aman, tugas anda para guru ialah melahirkan lebih ramai ahli politik yang baik akhlaknya, tinggi pekertinya, amanah dengan tugasnya dan dedikasi dalam melaksana bebanan rakyat ke atas bahunya. Sebagaimana bapa Muhammad Al-Fateh yang bersabar dalam melahirkan seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam itu sendiri.

Tunjukkanlah rasa kasih sayang kepada anak bangsa kita. Elakkanlah dari mengharap pemberian atau upah atas ilmu dan apa sahaja jasa yang kita lakukan. Sentiasalah menasihati pelajar-pelajar ini supaya sentiasa bermotivasi serta laranglah mereka dari segala perbuatan yang tercela. Bersabarlah mendidik anak bangsa kita sebagaimana bersabarnya guru-guru kita dahulu mendidik dan melahirkan insan sebagaimana kita sekarang.

Jika kita guru yang berjasa,
Akan lahirlah anak bangsa yang berjaya;

Jika kita guru yang berwibawa,
Akan lahirlah anak bangsa yang mengenang jasa;

Jika kita guru yang komited,
Akan lahirlah anak bangsa yang berjasa;

Jika kita guru yang mengutamakan amanah bangsa,
Akan lahirlah anak bangsa yang berjiwa besar;

Jika kita guru yang ingin melihat anak didiknya berjaya,
Maka didiklah, bimbinglah anak bangsa itu ke arah cahaya ilmu dan peradaban.

Fikirkan dan bawalah perubahan dalam tugasan kita. Mari bersama kita TUNE diri kita.


22 September 2010
3.11 petang
Rumah PKNS, Kuala Selangor




Penulis juga adalah;
Perunding Utama IQ Class Management (IQCM)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia (BBM)
Setiausaha ABIM Cawangan Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)

Follow by Email

BERSAMA KAMI