PESAN MERDEKA


KEMERDEKAAN DALAM RAMADHAN
Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management

Panjatkanlah kesyukuran kita dengan menyebut kalimah ‘alhamdulillah’. Bersyukurlah kepada Allah s.w.t yang telah memilih kita selaku manusia yang diberikan amanah dan tanggung jawab sebagai khalifah dalam meneruskan perjuangan di muka bumi ini. Perjuangan ini amat sukar, jauh dan pelbagai rintangan. Ubatnya sabar, redha dan sentiasa mengharapkan rahmat dan nikmat dari Allah s.w.t.

31 Ogos bakal menjelma lagi. Hari yang bersejarah untuk seluruh umat manusia di Malaysia. Setiap tahun, kita bersama-sama melaungkan kalimah kemerdekaan ini. Apakah erti merdeka untuk kita semua? Adakah sambutan merdeka ini benar-benar memerdekakan kita semua atau hanya laungan yang berakhir dengan tragedi dan kerosakan akhlak remaja dan belia? Apabila tiba Ramadhan, kemerdekaan ini seharusnya dirasai dan lebih mendalam penghayatannya. Pada bulan ini, manusia dimerdekakan sementara dari gangguan syaitan, namun bagaimana dengan nafsu kita semua?

Kehidupan kita hari ini semakin hari semakin mencabar dengan pelbagai kemudahan dan kemodenan yang berlaku disekeliling kita. Kemerdekaan dalam erti kata yang kita fahami adalah bebas atau lepas diri dari cengkaman atau dibelenggu. Kemerdekaan ini juga telah membawa erti besar bagi setiap hidup masyarakat di Malaysia. Merdeka dalam menjalani hidup dan lebih sedih lagi apabila merdeka dari hidup beragama. Pegangan anak-anak pasca merdeka hari ini bukan lagi pada tunjang agama dan budaya adab hidup ketimuran, tetapi tertakluk kepada kebebasan fikir serta keterbukaan dalam budaya, cara hidup, perhubungan dan nilai kehidupan. Inilah erti kemerdekaan buat mereka yang pada hari ini menampakkan kejanggalan dalam budaya hidup di Malaysia.

Kemerdekaan buat kita semua, umat Islam di Malaysia khususnya remaja dan belia haruslah dijana dan diisi dengan suasana kemerdekaan sebenar. Jauh dari penjajahan yang bukan sahaja datang dari sudut pentadbiran negara, bahkan sosiobudaya, pemikiran serta adab dan nilai kehidupan. Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran dari surah Al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki kepada mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”.

Kelebihan ini Allah berikan kepada umat manusia ini yang mana, perlu dibalasi dengan rasa syukur berterima kasih kepada Allah yang Maha Penyayang. Kemerdekaan ini harus dihayati dan dijadikan kayu ukur hidup dimana letaknya nilai keimanan kita semua kepada Allah s.w.t. Mutiara kata yang keluar dari lidah amirul mukminin Saiyidina Ali k.w. beliau menyatakan; “janganlah kamu menjadi hamba seseorang, kerana Allah telah menciptakan kamu dalam keadaan merdeka”.

Erti kemerdekaan inilah yang harus menjadi pegangan kita semua. Nilaian ini harus menjadi isi kandungan utama dalam setiap sambutan dan kejayaan yang dikecapi. Sebagaimana kemerdekaan kita semua yang harus kita kecapi dari hasil tarbiyah bulan yang penuh kemuliaan ini. Kemerdekaan harus diisi dengan baik dan berkesan. Ia seharusnya kembali kepada fitrah dan pegangan agama yang terbaik untuk melahirkan generasi yang terbaik.


Allah Maha Besar

Kemerdekaan utama buat remaja belia dan generasi baru hari ini adalah dengan menyatakan secara jelas bahawa tidak ada tuhan yang wajib disembah melainkan Allah s.w.t. Kemerdekaan ini harus berasaskan kepada kebebasan dari sifat yang bertuhankan sesama hamba dan kepada apa sahaja yang bersifat kebendaan serta keseronokan. Untuk membesarkan Allah s.w.t ini harus ditekuni dan diperkukuh dengan rukun Islam.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Haj ayat 41 yang bermaksud;

“Mereka yang sekiranya kami berikan kekuasaan kepada mereka di muka bumi, mereka menunaikan solat, menunaikan zakat dan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan hanya milik Allah kesudahan segala urusan.”

Pertama, menunai dan memperbaiki solat lima waktu sehari dan semalam. Ia merupakan tiang agama dan harus diberikan perhatian sewajarnya tambahan pula dalam usaha untuk memerdekakan diri dari cengkaman nafsu dan gangguan syaitan. Kedua, membayar zakat. Buat kita yang telah bekerja dan mendapat pendapatan yang baik serta selesa dalam kehidupan, jangan pula kita lupa amanah dan tanggungjawab yang Allah amanahkan untuk membantu umat Islam yang memerlukan melalui zakat yang dikeluarkan. Ketiga, ajaklah manusia meninggalkan kemungkaran dan membuat kebaikan kerana di dalamnya itu adalah usaha dakwah menyampaikan berita gembira kepada manusia lain tentang adanya syurga dan penciptaan neraka. Kembalilah kepada ajaran agama yang sebenar. Islam hadir untuk memerdekakan kita dari belenggu kehidupan yang sementara ini.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI