PERINGATAN RAMADHAN

KEMBALI KE MADRASAH RAMADHAN
Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini


Bersyukur kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam mengatur kehidupan manusia dan seluruh alam ini. Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w yang telah berjuang di jalan Allah bagi menyampaikan risalah tarbiyah dan peringatan buat ummat yang dikasihinya. Perjuangan Baginda seharusnya dijadikan iktibar dan peringatan kerana ia telah sampai kepada kita sebagai satu usaha dakwah yang seharusnya diteruskan oleh generasi moden hari ini.


Madrasah Ramadhan, mematangkan iman.

Ramadhan merupakan bulan yang di dalamnya terdapat pelbagai kemuliaan. Abu Hurairah menyatakan: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan”. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi). Sebagaimana yang pernah kita fikirkan atau ketahui tentangnya, madrasah merupakan sebuah tempat di mana hadirnya ramai-ramai pelajar-pelajar yang inginkan ilmu dan proses pembelajaran dalam menjadikan mereka lebih baik pengetahuannya, amalannya serta dimatangkan corak fikiran mereka.

Telah bertahun lamanya, kita bersama-sama melalui proses Madrasah Ramadhan ini, dan ia seharusnya menjadikan kita seorang Muslim yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Ia sesuailah dengan sabda Rasulullah s.a.w yang disampaikan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu”. (Diriwayatkan oleh Imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi). Ini bermakna, semakin upaya diberi Allah bertemu dengan Ramadhan, sepatutnya, ia menjadikan kita lebih baik kerana banyak dosa-dosa yang Allah telah ampuni berdasarkan kesalahan dan kesilapan kita yang lalu.

Tidak hairanlah mengapa para sahabat Baginda s.a.w dahulu, apabila tibanya Ramadhan, mereka bergembira dan memanfaatkan sebaiknya kerana ia amat memberikan kesan dalam kehidupan mereka. Tamat sahaja Ramadhan, iman meraka dimatangkan dan berharap agar masih ada ruang untuk bertemu Ramadhan yang akan datang. Inilah rahsia semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam menyebarkan syiar Islam. Semakin panjang umur mereka, semakin keraplah mereka berada di Madrasah Ramadhan dan semakin matanglah Iman mereka terhadap Allah s.w.t.


Ramadhan, peluang ke arah yang lebih baik.

Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan: [1]Syirik kepada Allah, [2]meninggalkan sunnah dan [3]perjanjian (dilanggar)”.

Telah berkata Abu Hurairah: “Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah?”

Baginda S.A.W bersabda: “Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam)” . (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi).

Rasulullah s.a.w memperjelaskan bahawa, apabila tiba Ramadhan sebenarnya adalah peluang yang diberikan Allah untuk menebus segala dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan sepanjang perjalanan hidup kita ini. Berapa ramai dikalangan kita ini yang tidak sempat bertemu Ramadhan pada tahun ini dan berapa ramai pula yang mensia-siakannya? Adakah kita ingin mensia-siakannya? Tanyalah iman kita sendiri.

Marilah kita bersama-sama mendapatkan kelebihan ini. Ia mungkin yang terakhir buat kita di dunia ini. Rebutlah pahala dibulan yang Allah sertakan bersamanya Lailatul-Qadr. Pelbagai natijah kebaikan yang Allah janji dan persaksikan kepada manusia dengan sifat kasih sayang Allah kepada hamba-NYA yang berusaha untuk rapat kepada-NYA.


10 Ogos 2010
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI