Peranan Mahasiswa dan Kepedulian Sosial: Teras Pembinaan Tamadun Khaira Ummah

Terdapat persoalan yang perlu kita jawab bersama, mengapa anda ingin jadi mahasiswa? Persoalan ini mungkin pernah ditanya ketika dibangku sekolah lagi. Tetapi pernahkah soalan ini ditanya ketika kita sudah bergelar mahasiswa? Apabila persoalan ini dilontarkan ramai yang menjawab dengan spontan, kerana saya ingin menjadi orang berjaya. Saya ingin jadi orang yang berjasa, berkerjaya, punya masa depan yang cerah serta ramai juga kerana menginginkan kehidupan yang mewah.

Apabila disingkap kewujudan mahasiswa di Malaysia, apakah tujuan Malaysia melahirkan seramai-ramainya graduan universiti dalam dan luar negara adalah tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan seramainya tenaga mahir dalam sektor-sektor pekerjaan, baik dari segi kakitangan awam mahupun swasta. Ini jelas apabila Malaysia sudah berada seiring dengan negara-negara membangun dan maju. Akhirnya, secara tidak langsung, telah terbina dalam minda mahasiswa dan dalam jiwa-jiwa mereka berhala-berhala besar, yang apabila belajar, menjadi mahasiswa, yang memenuhi hati mereka ialah gaji besar, rumah besar, kereta besar serta kehidupan yang mewah.


Peranan 1: Mahasiswa Perlu Trampil dan Wibawa

Ketrampilan mahasiswa merupakan satu persoalan yang besar yang patut kita fikirkan bersama. Bagaimanakah ketrampilan mahasiswa yang wibawa? Adakah dengan berpakaian jubah bertopi pada hari graduasi atau sekadar sama seperti orang lain?

Mahasiswa harus trampil dengan ciri-ciri hebat sebagaimana kita lihat sarjana-sarjana hebat Islam pada satu zaman dahulu. Mereka bukan sahaja menjadi 'icon' bahkan model sehinggakan mereka disebut-sebut namanya sehingga hari ini. Ketrampilan mereka bukan sahaja dari sudut penampilan peribadi seorang tokoh akademik, tetapi wibawa mereka membawa tanggungjawab dan amanah seorang yang berprinsip serta berpegang kepada tali Allah.

Ketrampilan tokoh-tokoh ini lahir dari prinsip keagamaan mereka yang sangat kuat. Kefahaman agama yang mendalam serta meluas. Apa sahaja pengamalan dan kajian mereka akan berasaskan kepada Al-Hak dan kepada-Nya lah mereka akan memohon petunjuk dan pembelajaran. Sejak dari kecil lagi mereka telah berada hampir dengan agama mereka iaitu Islam. Maka tidak hairanlah jika kita lihat hari ini, ramai diantara kita bergelar sarjana, tetapi pencapaian kita sangat jauh ketinggalan dari apa yang mereka perolehi. Kita wajar dan wajib percaya bahawa, ketrampilan yang hebat datang dari kelompok manusia yang berfikir tidak henti-henti dan mencari kebenaran tentang Yang Maha Pencipta.

Kemudian itulah akan wujud wibawa dalam diri setiap anak cucu nabi Adam yang hidup di dunia ini. Apabila Al-Ilah ini telah bertapak dalam hati, hanya DIA-lah yang berhak atas manusia, maka apa sahaja yang dilakukan, belajar, bekerja, berfikir, bersosial dan sebagainya hanyalah kerana Allah. Wibawa ini lahir dari jiwa bersih, ikhlas, sifat patuh dan taat yang sangat tinggi pada agama serta perasaan rendah diri kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Wibawa ini berpunca dari sifat hamba manusia kepada Sang Penciptanya. Wibawa ini akan menjadikan seorang mahasiswa yang sentiasa prihatin terhadap persekitarannya. Mengapa begitu? Inilah bukti kata-kata Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Kamu umat terbaik yang dilahirkan dari kalangan manusia. Mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah dar perkara yang mungkar dan beriman kepada Allah".

Apabila kata-kata Allah ini dinilai dengan akal manusia, siapa yang selayaknya digelar umat terbaik? Adakah kita tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka? Inilah cabarannya, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa, mampu untuk menjadi yang terbaik dikalangan yang terbaik serta sentiasa prihatin terhadap persekitarannya, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.


Peranan 2: Cintakan Ilmu dan Kasihkan yang Berilmu

Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari tanah".

Ilmu merupakan asas pembentukan jatidiri kita sebagai manusia. Ilmu tidak terhad kepada hal-hal yang berkaitan dengan peperiksaan kita sahaja bahkan apa sahaja yang mungkin menjadi pengetahuan dan iktibar untuk kita. Satu soalan kita perlu lontarkan untuk diri kita, kenapa kita belajar?

Tujuan belajar ialah untuk mengeluarkan diri kita dari keadaan jahil, bodoh atau tidak tahu. Maka, dimana sahaja apabila kita mendengar, melihat, memahami, mahupun mempelajari, kalau ia baru, dan kita baru tahu, maka itulah ertinya belajar. Belajar ini sangat penting terutama untuk pendokong agama, pendakwah muda pada hari ini. Ia juga berkaitan dengan pembudayaan ilmu.

Cintakan ilmu bermakna sentiasa dan berkeinginan untuk belajar, belajar dan belajar. Setiap ruang waktu yang ada akan diisikan dengan aktiviti pembelajaran. Sebagai mahasiswa, cintakan ilmu sahaja tidak mencukupi kerana setiap ilmu yang diperolehi, perlu diamalkan, diajarkan dan disebarkan. Maka barulah keberkatan pada ilmu tadi hadir dalam diri kita. Ilmu tidak berkurangan apabila dicurahkan kepada orang lain, ia bertambah dan akan terus bertambah.

Ilmu juga, bukan sahaja berkaitan dengan pengamalan. Setiap ilmu perlu ada gurunya dan guru itu perlu dirapati dan dikasihi. Inilah yang digelarkan sebagai pembudayaan ilmu. Menghadiri kelas adalah sumber ilmu, kuliah di masjid juga sumber ilmu, bermuzakarah juga sumber ilmu. Pembudayaan ini lebih mudah jika dilakukan dalam bentuk usrah. Usrah, mempunyai elemen lengkap dalam proses kita untuk membudayakan ilmu. Kita berkongsi, bersama beramal serta bersama menuju kepada sumber ilmu.


Peranan 3: Menjadi Ajen Perubah

Apakah perasaan yang digambarkan apabila anda tamat belajar sebagai graduan? Gembira bukan? Selepas Nabi Adam, dianugerahkan ilmu oleh Allah s.w.t, maka darjatnya diangkat, lebih mulia dari semua penciptaan-Nya. Ilmu menjadikan darjat kita lebih tinggi. Tetapi pernah tidak kita terfikir, bahawa setiap ilmu yang kita ada, jika tidak kita amalkan, kita tegakkan, kita sebarkan akan berdosa? Wajarlah sebenarnya kita berfikir, apabila menjadi graduan, semakin banyak ilmu kita, maka semakin banyaklah tanggungjawab kita kepada masyarakat. Ilmu ini diperolehi setiap masa, maka, mungkinkah kita mampu untuk kumpulkan semuanya dan sampaikan semuanya serentak?

Pastinya kita ingat sebuah hadith yang sabdanya bermaksud:

"Terputuslah dunia apabila mati seorang anak Adam itu kecuali 3 padanya iaitu; (1) doa anak yang soleh, (2) sedekah jariah dan (3) ilmu yang bermanfaat".

Bayangkan jika, esok malaikat Izrail datang bertamu, adakah kita telah mempunyai anak yang soleh untuk mendoakan kita? Banyakkah sedekah kita yang telah keluarkan kepada mereka yang selayaknya? Adakah ilmu-ilmu kita telah kita manfaatkan atau orang lain mendapat manfaat darinya? Seorang mahasiswa, dengan yang ilmu yang penuh didada, perlu mengaplikasikan ilmu itu kepada masyarakat sekitarnya, bermula dari keluarga sendiri. Menjadi ajen perubah bermakna, membawa perubahan dan penghijrahan dari kurang baik kepada lebih baik. Ia adalah amanah risalah nabi yang menuntut kita untuk berdakwah kepada setiap manusia yang hampir dengan kita.

Rasa kepedulian kepada sosial adalah rasa yang terbentuk hasil dari jiwa yang subur dan ikhlas berkhidmat kepada Tuhan Maha Penciptanya. Peduli terhadap sosial adalah disebabkan rasa empati terhadap masyarakat. Rasa peduli ini hanya akan wujud dalam masyarakat yang mementingkan kebersamaan, kemasyarakatan dan disokong dengan rasa percaya dan terbuka dalam kelompoknya. Teras kepada pembinaan khayra ummah perlu bermula dari mahasiswa yang berperanan dan terbaik, dari segenap seginya, jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Kesimpulannya, siapa pemuda yang kita lahirkan hari ini, akan membina negara dan masyarakat masa depan. Peranan mahasiswa sebagai orang berilmu sangat penting dalam menbina teras pembentukan khayra ummah. Mahasiswa perlu memperjelaskan matlamat hidup, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa dalam agamanya, ilmu menjadi teras pembinaan jatidirinya (pembudayaan ilmu), serta menjadi pencetus idea pergerakan dan perkembangan (ajen perubah) dalam masyarakat setempatnya. Sikap yang betul terhadap ilmu akan menjadi ilmu itu sebagai ajen kepada diri. Ilmu sebagai ajen untuk teroka diri, ubah sikap, nilai diri dan evolusi pemikiran kita.

Follow by Email

BERSAMA KAMI