Penyertaan dan Sumbangan AJK Dalam Pembinaan Modal Insan


Pembinaan modal insan merupakan agenda utama dan besar yang diperbincangkan diperingkat nasional. Pelbagai pandangan dan isu yang diketengahkan serta diperbahaskan dalam usaha bagi menjamin modal yang dibangunkan ini akan memacu kemajuan dan pembangunan Malaysia pada masa-masa akan datang. Tidak dapat kita nafikan ia adalah penting dan perlu diutamakan. Sehingga hari ini, pelbagai latihan, program dan kursus dijalankan bagi mencapai objektif ini. Era teknologi serta kepesatan pembangunan yang terlalu pantas menjadikan manusia perlu lebih diberikan perhatian bagi menyahut cabaran dunia baru globalisasi hari ini. Modal insan ini perlu diberikan keutamaan agar negara kita tidak ketinggalan dalam isu kemahiran serta pengetahuan yang berkaitan. Namun, dalam enak melayani peredaran teknologi yang semakin berkembang, hampir-hampir kita melupakan asas-asas benar yang patut dimiliki oleh insan. Kita sibuk memberikan pelbagai pengetahuan dan kemahiran kepada mereka ini. Sibuk mengejar kemajuan dunia luar yang sangat pesat sehingga terpinggir keperluan yang menjadi tunjung warisan zaman berzaman bagi masyarakat di Malaysia. Dek kerana kepesatan dan kesibukan ini, kemajuan negara hari ini diperoleh bersama cabaran besar yang perlu digalas oleh semua rakyat. Namun adakah mereka prihatin dan menyedari keadaan ini?

Adakah mereka mula berfikir mengapa setiap hari dapat kita dengari pelbagai rungutan dari masyarakat setempat tentang keruntuhan akhlak dikalangan remaja? Bagaimana di zaman yang serba moden ini, dengan pelbagai kemudahan dan ruang keamanan, terdapat kes ragut yang bukan sahaja meragut barangan milik peribadi, malah nyawa mereka sekali? Isu kecurian, pecah rumah, pecah amanah serta penyelewangan yang berlaku hampir setiap hari dilaporkan di dalam akhbar, adakah kita semua merasakan itulah sahaja permasalahan yang berlaku (di dalam akhbar) atau banyak lagi yang tidak dapat kita selongkar atau ketahui? Persoalan ini perlu ada dilubuk pemikiran atau di dalam hati kita yang sentiasa mengharapkan keamanan dan keharmonian dalam bermasyarakat. Persoalannya, adakah kita punya rasa prihatin ini? Apakah punca semua ini berlaku? Adakah usaha-usaha pihak berkuasa untuk membangunkan modal insan ini adalah pilihan yang salah atau tidak diterima baik oleh masyarakat? Tidak kurang juga kita dapat membaca dan mendengar berita tentang kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Malaysia. Tetapi pernahkah kita ketahui disebalik seorang yang berjaya itu, berapa ramai yang gagal dan apa yang berlaku kepada mereka yang gagal ini? Mungkin mereka itu juga adalah dari kalangan ahli keluarga kita. Jadi apa yang kita lakukan? Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran bermaksud;

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut; ayat 2 dan 3)

Itulah peringatan yang Allah berikan kepada kita sebagai manusia, bahawasanya, bagaimana kita boleh mengakui bahawa kita ini beriman (yang terbaik) sedangkan kita belum diuji. Apabila pembinaan modal insan ini semakin pesat dan semakin maju, maka bertambahlah tugas dan tanggungjawab kita. Sebagaimana kata-kata ‘Spiderman’ di dalam kisahnya dipawagam, “great power comes with great responsibility”. Adakah kita telah bersedia? Usaha untuk menjadi generasi yang terbaik bukanlah idea baru, sebaliknya Allah telah memperkenan serta menyebutkannya di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

“Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran; ayat 110)

Maka, Allah telah memberikan peranan dan tanggungjawab kepada kita sebagai manusia daripada ayat di atas. Pesanan Allah s.w.t, untuk kita menjadi ummat yang terbaik sebagaimana yang diperjuang dan dilaungkan oleh banyak pihak melalui pembinaan dan pembangunan modal insan adalah melalui 3 ciri yang patut diberikan keutamaan dan diperbincangkan dengan meluas. Pertama; menyuruh kepada yang makruf dan kedua; mencegah dari yang mungkar. Mungkin kita sama-sama teringat pepatah melayu ada menyebutkan; “jangan jaga tepi kain orang”, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar” dan sebagainya. Mengapa pepatah ini kerap bermain dibibir-bibir orang-orang lama? Inilah yang cuba diterapkan oleh masyarakat ‘kampung’ dahulu iaitu berpesan untuk berbuat kebaikan dan pada masa yang sama memperingatkan juga mereka bahawa, apa yang dilakukan itu adalah perkara yang mungkar. Hebat bukan?

Namun, Allah peruntukkan satu lagi keperluan yang menjadi tunjang kepada 2 perkara tadi iaitu beriman kepada Allah. Maka, dalam pembinaan modal insan dan melahirkan generasi dan ummat yang terbaik ini, sudah tentulah ia memerlukan perjuangan, perjalanan yang berliku dan wajib menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sebelum sampai kepada penghujungnya. Usaha pembinaan modal insan ini sudah berlaku berjuta-juta tahun dahulu bermula dari zaman para nabi dan rasul dan sehinggalah hari ini.


Muhammad bin Abdullah; Tokoh Pembinaan Modal Insan

Keberjayaan sesuatu tamadun bergantung kepada banyak faktor dan perkembangan dari pelbagai sudut. Untuk menjadi ummat yang cemerlang, gemilang dan terbilang, juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar, unik dan terlalu luar biasa. Marilah kita mulakan dengan membuang kebiasaan seperti kata-kata yang kerap menjadi zikir kita seperti “oklah tu”, “cukuplah”, “biasalah”, “ada la jugak” dan banyak lagi yang kita sama-sama dapat rakamkan.

Keadaan dan perkataan inilah yang menjadikan masyarakat kita sentiasa ‘membetulkan perkara yang biasa’. Akhirnya setiap kesilapan dan kesalahan dalam masyarakat menjadi biasa. Usaha untuk membina ummat mempunyai lapisan dan setiap lapisan mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Lapisan pertama dan menjadi tunjang pengukuhannya adalah merupakan setiap individu peribadi yang bersama-sama di dalamnya. Perjuangan Rasulullah adalah bermula dengan membina dan mengukuhkan keyakinan peribadinya terhadap apa yang dipercayainya. Maka bermulalah sejarah baginda bersendirian di gua bagi mencari kebenaran yang jauh di dalam dirinya.

Kemudian, dilanjutkan pula kepada lapisan kedua yang menjadi pengukuh dan pelindung kepada asas yang pertama iaitu keluarga. Maka, pulangnya baginda ke rumahnya dalam keadaan yang amat menggigil seolah-olah kesejukan dan ditambah dengan perasaan gementar, maka ditenangkan oleh isterinya Siti Khadijah. Apabila diberitakan kepada isterinya, maka jadilah Siti Khadijah sebagai wanita pertama memeluk Islam. Kemudian diikuti dengan sanak-saudara terdekat dengan baginda seorang demi seorang.

Selepas mendapat sokongan dan dokongan daripada sanak-saudara terdekat, maka Rasulullah memulakan usaha dakwah dan perjuangannya ke medan yang lebih besar iaitu masyarakat setempatnya. Akhirnya, apabila berlaku hijrah baginda ke Madinah, pembinaan ummat ini bermula dengan pesat di Madinah. Maka lahirlah ramai pejuang yang gagah dari segi jasmani, bebas emosi, teguh rohani serta kukuh intelektual mereka.


Peranan Kita Di Sini

Maka, ingatlah kata-kata Allah dalam firmannya yang bermaksud;

“Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran.” (Surah Al-Asr; ayat 1 hingga 3)

Wajarlah kita memainkan peranan kita bermula daripada saat ini. Apa yang perlu dilakukan ialah perbaikilah diri kita dan pada masa yang sama kita perlu mengisi keperluan dan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat serta bangsa kita. Jika bukan kita siapa lagi dan jika bukan sekarang bila lagi? Marilah kita bersama-sama untuk memperbaiki diri sebagaimana yang telah dipesan oleh Saidina Ali karamallahu wajhah;

1. Tanamkanlah perasaan takut kepada Allah yang Maha Agung;
2. Sentiasalah beramal dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran;
3. Buatlah persiapan untuk menghadapi mati;
4. Serta pugarkan sifat redha dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t sekalipun sedikit.

Perubahan ini bukan sahaja harus dilakukan kepada diri sendiri sahaja kerana sabda baginda di dalam sebuah hadis yang bermaksud;

“Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ia kasihkan saudaranya sebagaimana ia kasih dirinya sendiri.”

Atas sebab perlunya kasih sayang ini dalam masyarakat maka, mantan Perdana Menteri Malaysia telah meletakkan nilai ini dalam cabaran yang ketujuh Wawasan 2020nya iaitu;

“Cabaran ketujuh adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu, tetapi pada sistem kekeluargaan yang lebih kukuh.”

Oleh yang demikian, marilah kita menggunakan masa kita dengan sebaik mungkin untuk tidak menjadi orang-orang yang rugi sebagai firman Allah di atas tadi. Tidak kiralah sama ada tugasan itu adalah perintah Allah kepada kita, mahupun tugasan sebagai individu terhadap diri sendiri, terhadap keluarga, masyarakat dan bangsa kita. Yakinlah bahawa, walau apapun tugasan yang diberikan, hakikatnya adalah datang dari Allah jua dan kita wajib melaksanakannya
.

Amanah Kepada Kita

“Tiada beriman sesiapa yang tidak amanah dan tidak beragama sesiapa yang tidak menepati janji.” (Maksud Al-Hadis)

Setiap amanah hendaklah dilaksanakan dengan perancangan yang baik dan melihat kepada keperluan semasanya. Ia perlu memenuhi kriteria berikut;

1. Menentukan nilai keutamaannya (priority);
2. Mempunyai aturan masa yang sesuai (time management);
3. Pengagihan yang tepat dan terperinci (delegation of work);
4. Melaksanakan tugas dengan penuh kesungguhan (dicipline, dedication and determination);
5. Menjadi perintis yang aktif, kreatif dan inovatif (pro-aktif);
6. Serta mengharap balasan dari Allah dan bukan pujian dari manusia (ikhlas).

Lakukanlah tugas kita bersama, nescaya segala kerisauan yang ada di dalam hati kita akan terubat dengan peringatan dan nasihat-nasihat dari Allah s.w.t. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud;

“Hadiah yang paling berharga dan istimewa ialah hadiah yang berupa kata-kata nasihat (kata-kata hikmat) yang didengar dan diingati, kemudian mengamalkannya dan menyebarkannya kepada saudara-saudaramu.”

Beruntunglah kita sekiranya kita memiliki 4 sifat yang tersebut di dalam surah Al-Asr iaitu beriman, beramal soleh, nasihat kepada perkara yang hak (benar) dan nasihat kepada kesabaran. Ingatlah, jika kita gagal merancang untuk perkembangan dan pembangunan modal insan yang kita sebut-sebutkan maka kita sebenarnya merancang untuk menggagalkannya. Sebagai individu yang telah berkeluarga dan berada di dalam masyarakat, maka pergunakanlah kesempatan ini untuk berbakti dan berjasa kepada mereka dan sediakanlah generasi yang terbaik untuk menggantikan kita agar generasi itu memberikan manfaat yang jauh lebih besar berbanding diri kita. Lakukanlah yang terbaik bukan untuk kita, tetapi untuk anak, cucu dan generasi kita yang akan datang. Jika kita melihat kehancuran pada hari ini, adakah ia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang dengan kita tidak melakukan apa-apa? Pasti, jawapannya adalah tidak.




Penulisan ini adalah hasil susunan Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management Kamarul Azami Mohd Zaini untuk Kursus Pembangunan Komuniti Bagi Zon 1 (Hulu Selangor, Kuala Selangor dan sabak Bernam), Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Selangor pada 21 Mei 2009.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI