FASILITATOR@SEKOLAH

Konsep Asas Fasilitator@Sekolah


Pengenalan

Fasilitator telah lama diperkenalkan. Ia bukan
lah suatu pendekatan yang baharu, tetapi kini telah berkembang penggunaannya sehingga keperingkat profesional. Oleh yang demikian, atas keperluan bersama peningkatan era teknologi dan globalisasi ini, fasilitator menjadi penunjuk jalan atau golongan yang membimbing ke arah kehidupan jitu serta bermatlamat.

Perkataan fasilitator berasal daripada perkataan Inggeris 'facilitator' yang bermaksud pemudahcara. Hari ini, pelbagai istilah lain turut digunakan seperti, pembimbing, pembantu, pemimpin dan sebagainya. Secara umumnya, kita secara sedar atau tidak, pernah berperanan sebagai fasilitator. Khususnya di sekolah atau tempat belajar juga di tempat kerja. Ini kerana, kemahiran fasilitator ini adalah suatu kemahiran yang mengkoordinasikan beberapa kemahiran lain seperti memimpin, memberikan tugasan, menjadi sumber rujukan dan sebagainya.

Kemahiran fasilitator yang ada pada seorang individu akan menjadikan seseorang itu amat berkesan apabila mereka memimpin atau bersama sesebuah organisasi. Ia disebabkan oleh kemampuan mereka untuk bekerja secara kolektif serta mengetengahkan konsep kepimpinan memfasilitasi. Bagi seorang fasilitator di dalam sesebuah kursus atau program pula, mereka ini mempunyai peranan yang lebih besar dan utama.

Sesebuah program mempunyai objektif dan matlamat akhir tersendiri yang menjadikan seorang fasilitator itu lebih fokus dan perlu berperanan dengan lebih berkesan. Jika di dalam diri seorang manusia, terdapat segumpal darah, jika baik ia maka akan baiklah seluruh tubuh itu, tetapi jika buruk ia, maka buruklah seluruh tubuh manusia itu, kata Nabi, iaitulah hati. Kepentingan hati itu seakan itulah juga kepentingan fasilitator di dalam menggerakkan sesuatu program, ia bukan tugasan yang mudah tetapi adalah tidak sukar untuk dilaksanakan.



Siapakah Fasilitator@Sekolah?

Fasilitator ialah seorang manusia, yang memanfaatkan akalnya berfikir kreatif dan kritis, menggunakan segala sumber yang ada, untuk memberikan pemahaman serta memenuhi objektif sesuatu program. Mengikut sumber Farell dan Weaver (2000), fasilitator adalah individu yang membantu melancarkan proses komunikasi sekelompok manusia sehingga mereka dapat memahami ataupun menyelesaikan masalah secara bersama. Namun, syarat utama untuk menjadikan diri sebagai fasilitator adalah semangat untuk melakukan kebaktian atau 'tatawwu''. Menurut Wan Norjihan (2003), fasilitator adalah individu yang mempunyai kesedaran berbakti kepada masyarakat dan mengamalkan cara hidup sederhana. Mereka sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi memastikan dirinya dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan sempurna.

Ini menjadikan, seorang fasilitator itu adalah mereka yang berkemahiran, sentiasa memperbaiki diri (islah), berpengetahuan luas, kreatif serta mempunyai semangat bakti yang tinggi. Oleh kerana itu, untuk menjadi seorang fasilitator seharusnya setiap individu itu memiliki ciri-ciri asas berikut;

1. Ada kemampuan membantu dan memimpin orang lain;
2. Bijak mengaplikasikan kemahiran interpersonal;
3. Mempunyai kesedaran berbakti kepada masyarakat;
4. Memiliki latihan khusus dan pengalaman dalam menguruskan kelompok;
5. Mampu menjadi sumber penyelesaian bagi pelbagai masalah;
6. Berkemampuan melancarkan proses komunikasi kelompok, bukan sekadar memberi nasihat sahaja;
7. Mereka adalah individu yang mudah diterima di dalam kelompok serta;
8. Menjadi pembimbing dan pemudah cara di dalam kelompok.



Apakah Peranan Fasilitator@Sekolah?

1. Penampilan Diri Sebagai Fasilitator (Menggambarkan kualiti keperibadian)

Ia adalah amat penting khususnya dalam menggambarkan kejujuran dalam diri serta keyakinan yang jitu terhadapa keupayaan diri. Penampilan juga termasuklah dari segi cara berpakaian, perhubungan dengan orang lain, ramah, bertutur, penggunaan bahasa dan gaya badan serta batas-batas pergaulan yang sentiasa diberikan perhatian yang khusus.

Selain itu, fasilitator juga disyorkan untuk merapatkan diri dengan ketua fasilitator atau jurulatih untuk belajar sesuatu dari mereka. Bergaul mesra juga dengan peserta atau penganjur sebagai tanda hormat, dan dapatkan maklumat mendalam tentang peserta dari penganjur. Tunjukkan contoh yang terbaik khususnya dari sudut cara berfikir, cara bertindak dan cara bergaul mesra dengan orang lain. Mudahkan dan bersifat terbuka untuk merapati orang lain supaya orang lain mudah untuk melakukan sedemikian.

2. Fasilitator sebagai Pembantu dan Pemudahcara

Sewaktu sesi ceramah atau taklimat sedang dijalankan, tugas utama anda adalah mengawal suasana dewan atau peserta supaya mereka kekal fokus kepada apa yang disampaikan. Tindakan perlu diambil sekiranya perlu. Bantuan juga harus diberikan kepada penceramah atau ketua fasilitator dalam dua keadaan. Pertama, persiapan keperluan dan peralatan yang diperlukan sepanjang sesi tersebut. Ia adalah seperti mengedarkan kertas, menyediakan alat pandang dengar serta kamera. Kedua, dari sudut aktiviti yang dijalankan di dalam ceramah. Anda harus membantu peserta untuk lebih memahami dan menjadi provakator juga motivator dalam melaksanakan aktiviti.

Elakkan dari membuat bising seperti ketawa atau bersembang sehingga mengganggu penyampaian penceramah. Begitu juga dengan pergerakan yang boleh mengganggu konsentrasi peserta terhadap apa yang sedang mereka pelajari.

3. Fasilitator Ketika Aktiviti Lain

Anda perlu melakukan tugas-tugas berikut sama ada diperintahkan oleh Ketua Fasilitator atau secara sukarela sekiranya perlu.

1. Sewaktu makan,
2. Solat berjemaah, sebagai imam atau bilal.
3. Disiplin pelajar,
4. Pengurusan masa.
5. Persiapan tempat dan
6. Pemantauan peserta.

4. Fasilitator Di Dalam LDK

Sentiasa mulakan LDK dengan AL-Fatihah, ucapan syukur kepada Allah serta sapaan kepada adik-adik peserta seperti bertanya khabar dan sebagainya. Peringatkan peserta tentang keperluan untuk mereka memberikan perhatian serta menetapkan matlamat untuk diri anda sendiri tentang apa yang akan dilakukan, dibincangkan dan keberhasilan selepas sesuatu LDK.

Terapkan konsep 4KA secara beransur-ansur kepada peserta. Ia tidak perlu terlalu jelas, cukup sekadar memaklumkan dan dilaksanakan dengan perlahan-lahan. 4KA adalah Kerjasama, Kepercayaan, Keterbukaan dalam Kerahsiaan dan Adabul Ikhtilaf. Seterusnya, kenali peserta melalui konsep 4T iaitu, Ta’aruf; saling mengenali, Tafahum; saling memahami, Ta’awun; saling membantu dan Takaful; saling mengambil berat atau menjaga kebajikan. Tugas lain ketika bersama peserta adalah untuk memimpin, menunjuk jalan, tetapi tidak menyelesaikan. Berikan alternatif atau pilihan dalam setiap keputusan mereka. Sentiasa memberikan motivasi untuk mencuba. Tidak menyalahkan mereka sebaliknya memberikan galakan untuk bercakap.

Pastikan setiap aktiviti diberikan kesimpulan, rasional dan objektif pembelajarannya. Jangan tamatkan apa sahaja aktiviti walaupun permainan dengan tiada apa-apa pengajaran. Akhiri LDK dengan surah AL-Asr dan Tasbih Kafarah.



Bagaimana Untuk Menjadi Fasilitator@Sekolah yang Efektif

Berdasarkan konsep RELA yang diperkenalkan oleh IQ Class Management (2006), menggariskan 4 ciri utama dalam memastikan seseorang individu mampu menjadi fasilitator yang efektif iaitu;

1. Responsif

Seorang fasilitator seharusnya cepat berfikir, tidak leka serta sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan yang mungkin berlaku. Oleh yang demikian, apabila seseorang fasilitator itu responsif, mereka akan lebih mudah untuk bertindak sekiranya terdapat perkara-perkara yang diluar jangkaan.

2. Empati

Jiwa seorang fasilitator harus mampu untuk menunjukkan rasa keprihatinan, mengambil berat serta sentiasa memberikan perhatian yang wajar kepada setiap masalah. Melihat setiap masalah seperti masalah dalam diri sendiri.

3. Libat

Penglibatan seorang fasilitator dalam setiap aktiviti adalah suatu keperluan. Ini kerana, fasilitator berperanan sebagai contoh serta bimbingan ke

4. Anjal

Mudah menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran yang baru. Fasilitator juga tidak sepatutnya terikat dengan sesuatu peranan yang disediakan kerana mereka perlu lebih kreatif dan kritis dalam memastikan objektif serta matlamat akhir itu tercapai.






Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Perunding Utama Latihan dan Motivasi
IQ Class Management


29 Jun 2010
Sungai Buloh Country Resort

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI