SEMBANG-SEMBANG

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini



Setiap hari akan ada perasaan dan keperluan untuk kita bersembang. Bersembang ini sangat perlu terutamanya dalam usaha-usaha untuk mengatasi tekanan serta mengurangkan kepenatan setelah penat bekerja. Jika jadi manusia, tetapi tidak mahu bersembang, kita akan disamakan pula dengan kera sumbang. Persoalannya, apa yang disembangkan? Sembang-sembang berisi ke atau sekadar ‘O’ sahaja? Ulama’ ada berkata, daripada kita banyak bersembang lebih baik diam, kurang dosa kita. Terdapat beberapa jenis sembang yang perlu kita hindari bersama, moga-moga kita tidak tergolong di dalam kelompok mereka ini.

Pertama, sembang dosa. Sibuk bercerita tentang kekayaan dan kesenangan diri sendiri. Ia membina sifat riak dalam diri kita sendiri. Adalah lebih baik jika kita bercerita tentang kebesaran Allah, maka lebih banyak pahala dari dosa.

Kedua, sembang sumbang. Cerita kita tidak akan menarik jika tidak bercerita tentang orang lain. Baik kebaikan apatah lagi keburukan mereka. Tiada bezanya keadaan ini baik lelaki mahupun perempuan. Jika bersembang mengenai manusia, apa kata kita bersembanglah mengenai Rasulullah s.a.w. Banyak yang kita boleh contohi dari Baginda.

Ketiga, sembang seorang diri. Apa agaknya yang kita sembang dengan diri sendiri? Yang sibuk kita fikirkan dan sembangkan adalah bagaimana untuk menambahkan harta? Bagaimana untuk menambahkan duit pendapatan? Inilah soalan untuk diri kita sendiri. Sentiasa khuatir tentang ketidakcukupan pada diri. Adalah lebih baik jika kita lebih banyakkan masa kita untuk berfikir mengenai Allah dan mengenangkan dosa kita pada-Nya.

Bersembanglah untuk kebaikan wahai sahabatku. Sekiranya kita pandai bersembang, pastinya cerita tidak akan habis dan akan terus bersambung. Bersembanglah untuk mengeratkan silaturrahim, untuk sebarkan ilmu dan untuk mengenal Allah s.w.t. Sembanglah untuk perkara yang baik dan bermanfaat supaya kita mendapat keredhaan-Nya. Niat biarlah ikhlas kerana Allah bukan sekadar ‘melepak’ atau menghabiskan air liur sahaja. Ilmu Allah ini amat luas dan jika Dia mahu memberikannya, dengan apa cara sekalipun pasti ianya berhasil. Jadi jangan lupa juga, berlapang dada dan bukalah telinga juga untuk mendengar kerana tugas kita bukan hanya bersembang sahaja, mendengar apa yang disembang itu juga ada kepentingannya.




*Adaptasi dari Majalah Ujang siri 376.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI