MELAHIRKAN KEIBUBAPAAN YANG I.D.E.A.L

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini


Kekeluargaan seharusnya mampu memberikan kesan yang maksimum dalam proses membentuk dan membina sahsiah serta jatidiri seorang anak. Ia merupakan sebuah institusi yang terbaik bagi melahirkan generasi tulen yang mampu menghadapi pelbagai cabaran pada masa kini.

Pada hari ini, ibu bapa sekali lagi dicabar dengan pelbagai dugaan khususnya dalam membesarkan anak-anak mereka dengan dunia yang penuh dengan kecanggihan. Pengalaman dan pengetahuan si ibu dan si ayah kebanyakannya merupakan bentuk pemikiran yang ada pada zaman 80-an atau sebelumnya lagi. Manakala, anak-anak pula kini sudah berada di zaman millenium. Segala kemahiran teknologi, berkomputer, internet dan telefon bimbit merupakan antara punca anak-anak ini mendapat pendidikan tambahan, lebih dari apa yang mereka perolehi di rumah dan di sekolah.

Pelbagai persoalan yang timbul hari ini bertanyakan tentang bagaimana ibu bapa harus berhadapan dengan keadaan ini? Anak-anak hari ini sudah pandai ‘meminta’ ibu bapanya untuk menjadi sebagaimana yang mereka fikirkan. Apa tidaknya, apabila contoh dan teladan mereka adalah berpaksikan televisyen dan wayang gambar, apa sahaja yang ditonton, baik untuk mereka maka mereka percaya itulah yang terbaik.

Ramai dikalangan mereka yang mahukan ibu bapa yang sentiasa mengabaikan pelajaran mereka. Tidak bertanya apa yang berlaku di sekolah dan tidak kisah tentang pencapaian akademik mereka. Adalah lebih baik jika keputusan peperiksaan mereka pun tidak diketahui oleh ibu dan ayah mereka. Adakah ini wajar buat anak-anak kita?

Sebilangan dari mereka pula mengharapkan agar ibu dan ayah selalu tiada dan tiada siapa yang mengawal kehidupan harian mereka. Lihat sahaja budaya melepak, merempit dan berpeleseran selepas dari waktu sekolah atau pada hujung-hujung minggu. Ini mungkin disebabkan oleh ketiadaan ibu ayah di rumah atau ibu ayah ini tidak mengambil tindakan apabila keadaan ini berlaku. Jadi, siapa yang bersalah dalam soal kegiatan atau gejala tidak sihat dikalangan remaja ini?

Ini tidak kurang juga berbanding ibu ayah yang dikatakan memahami jiwa anak-anak atau bahasa mudahnya ‘sporting’. Mereka turut menyokong dan memberikan galakan dalam penglibatan sebegini. Anak-anak seusia awal remaja, belum pun belasan tahun, telah diajarkan dengan budaya-budaya hendonisme. Mengajak mereka ke karaoke, konsert-konsert dan ada juga sebahagiannya mengizinkan mereka menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian dan tarian kerana beranggapan ia adalah salah satu dari cara didikan yang benar. Apakah haluan anak-anak ini ditentukan sebegini dan adakah haluan mereka itu benar?

Lebih malang lagi apabila, pilihan tersebut adalah disebabkan oleh ibu ayah yang hanya mahu mengikut apa sahaja yang diinginkan mereka kerana sudah puas merasa susah dahulu. Jadi mereka (ibu ayah) mahukan keselesaan, keseronokan dan kemudahan dalam hidup anak-anaknya. Akhirnya pilihan yang dibuat pada usia kanak-kanak bakal menyediakan jalan yang sukar buat mereka pada masa akan datang. Ini disebabkan oleh pemikiran ibu ayah yang sentiasa beranggapan bahawa mereka akan dapat melihat anak mereka membesar tanpa mereka sedari, pada bila-bila masa, kematian pasti akan menjemput mereka.

Oleh yang demikian, dalam usaha untuk menjadikan diri kita sebagai ibu ayah yang ‘ideal’, 4 ciri di atas haruslah diteliti dan dijadikan sempadan agar tidak dikalangan kita ini (ibu ayah) terjebak dalam kesalahan ini serta melakukannya tanpa kita sedari. Ibu bapa yang ‘ideal’ buat anak-anak di rumah adalah ibu bapa yang sentiasa mempunyai impian dalam kehidupan mereka. Impian utama dalam pembinaan sesuatu kekeluargaan adalah untuk membawa ahli keluarga kita menjadi penghuni syurga yang merupakan kampung halaman kita. Selain itu, impian juga perlu disalutkan dalam benak pemikiran anak-anak untuk sentiasa menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain baik dari segi pencapaiannya, cita-citanya mahupun kehidupan mereka.

Untuk membina impian yang jelas dan mampan dalam pemikiran anak-anak, ia perlulah diiringan dengan proses mendisiplinkan anak-anak di mana sahaja mereka berada. Anak-anak perlu tahu, disiplin yang diterapkan bukanlah sekadar perasaan takut kepada ibu ayah mereka, tetapi pengajarannya akan digunapakai di mana sahaja mereka berada. Untuk mendisiplinkan anak-anak, perlulah bermula dengan mendisiplinkan diri sendiri (ibu ayah) dahulu.

Disiplin yang dibina perlu sekata pada hal-hal yang umum tetapi, berlainan pula pada hal yang khusus. Ini kerana setiap kelahiran manusia itu adalah unik. Mereka berbeza dari segi perangai, perwatakan dan perasaan mereka. Oleh yang demikian, proses mendisiplinkan itu perlu, tetapi, ibu bapa perlu juga melakukan eksplorasi agar dapat mengenalpasti keupayaan anak-anak secara individu bukan secara kolektif.

Disinilah sifat utama seorang ibu dan ayah apabila bersikap adil terhadap anak-anak. Adil bukanlah sesuatu yang mudah tetapi paling utama dalam memastikan pendidikan dan pengasuhan anak-anak itu seimbang dan baik. Adakalanya kemarahan ibu ayah perlu dilepaskan dengan jerit yang kuat tetapi ada masanya juga hanya perlu dengan jelingan atau bisikan yang tajam.

Percayalah, apabila ibu dan ayah sentiasa bersikap adil kepada anak-anak, ini akan memudahkan ibu ayah untuk berlapang dada dan menerima seadanya anak-anak mereka. Berlapang dada bukanlah sekadar pasrah dengan apa yang berlaku, tetapi ia perlu datang selepas satu proses persiapan yang panjang yang di dalamnya telah disulamkan dengan doa, usaha dan keikhlasan. Di sinilah konsep tawakal digunapakai bagi ibu ayah yang sedang membesarkan anak-anak mereka. Ini adalah kerana, selepas mereka sudah boleh membuat keputusan sendiri, ibu ayah hanya boleh mengharap tetapi merekalah yang akan membuat keputusan ke atas diri mereka sendiri.

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI