MELATIH KEPIMPINAN MUDA DI SK BUKIT BADONG

SEKOLAH KEBANGSAAN BUKIT BADONG

30 Januari 2010, Bukit Badong Batang Berjuntai. Kehadiran kami ke SK Bukit
Badong amat dinantikan guru-guru dan pelajar-pelajar. Seramai lebih kurang
150 orang pelajar yang terdiri daripada kepimpinan muda di sekolah iaitu
pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan briged siber. Kehadiran mereka
amat menceriakan dengan pakaian warna-warni melambangkan amanah dan
tanggungjawab masing-masing.

Warna ungu untuk pengawas pusat sumber, biru untuk pengawas sekolah dan
kuning untuk briged siber. Tugasan kami kali ini juga adalah ceramah yang
disampaikan oleh Perunding Utama Latihan dan Motivasi, Encik Kamarul Azami
bin Mohd Zaini (KAMZ). Keadaan agak kurang selesa memandangkan ceramah ini
diadakan di kawasan yang terbuka. Namun, ia bukan halangan dan itu bukanlah
sebab mengapa pelajar-pelajar ini tidak mendapat latihan yang baik.

Komitmen guru-guru juga telah membuktikan bahawa pelajar-pelajar inilah
pemimpin-pemimpin muda yang bakal mengetuai dan memimpin generasi akan
datang. KAMZ memulakan ceramah dengan memperkenalkan diri. Hampir tidak
dikenali menurut kata salah seorang guru kaunseling, Puan Asmahani apabila
melihat penceramah hadir dengan berpakaian kemas bersama baju kot.

Ceramah Kepimpinan Muda P.K.T dimulakan dengan mengingatkan peserta untuk
menukar minda kepada 'Learning Mode'. Sejurus itu, peserta diingatkan tentang
persiapan mereka apabila belajar seperti alat tulis, posisi badan dan tumpuan
mereka. Sepanjang ceramah berlangsung bermula jam 8.30 pagi sehingga 10.30
pagi, peserta melalui beberapa aktiviti untuk menerangkan konsep P.K.T.

Pertama, aktiviti KAMIL KATA yang dilakukan oleh Encik Mohammad Zaki bin
Melatusamsi. Ia mewakili huruf p yang membawa makna patuh.Kemudian aktiviti
diteruskan dengan arahan pergerakan pelajar dari satu tempat ke tempat yang
lain. Ia untuk menguji keupayaan pelajar untuk menjadi ketua dan apakah
ciri yang perlu ada pada mereka. Ceramah ini berakhir dengan satu harapan
yang besar untuk peserta ini menjadi teladan kepada rakan-rakan mereka.

Ceramah ini berlangsung dengan baik dan mendapat respon positif dari pelajar
juga guru-guru yang hadir bersama. Terima kasih kepada Cikgu Syed yang sudi
menjemput kami juga kepada Cikgu Asmahani yang baru bertugas dan memberikan
kepercayaan kepada kami untuk menyampaikan buah fikiran dan berkongsi
pengalaman bersama pelajar di SK Bukit Badong Batang Berjuntai.

Terima kasih.

KAMZ BERSAMA KEPIMPINAN PELAJAR SK BUKIT BADONG

Catatan Popular