Amanah Perlu Dipikul dan Dilaksana




Selepas ini apalagi. Bentak kami berbincang dan mencari satu persatu penyelesaian bagi melaksankan tanggungjawab dan amanah yang dipikulkan ini. Sampai bila kita akan lakukan perkara ini, sampai mati?

Jawapannya adalah 'YA'. Sampai mati. Amanah sebagai khalifah bukanlah suatu kemasyhuran yang dapat dibanggai atau diagungkan tetapi bebanan yang akan dipersoalkan di bakal ditanya oleh Allah s.w.t kelak. Semakin hari, kami merasakan kerja-kerja dakwah dan membawa nama kebenaran ini semakin sukar dan pelbagai likunya. Bermulanya kami berhadapan dengan anak-anak kecil di sekolah, ia terasa sukar namun kini semakin mudah. Nah, Allah sediakan jalan baru dengan ujian yang baru dan lebih mencabar. Berhadapan dengan mereka yang jauh lebih dewasa dan jauh lebih berdikari berbanding diri kita sendiri.

Misinya tetap sama, menyampaikan kebenaran, tidak berubah walau sedikitpun. Bersediakah kita? Pelbagai persiapan rapi diperbuat, secara peribadi masing-masing perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan kemahiran. Ingatlah janji Allah, DIA tidak akan membebankan manusia dengan sesuatu yang tidak tertanggung olehnya. Itu adalah pasti, dan apabila tiba masanya, bermakna kita sudah punya kemampuan, dan kita mesti pilih jalan untuk laksanakan yang terbaik atau kembali menjadi fitnah untuk agama?

Ingatlah, kini kita semua berada di zaman fitnah. Jangan pula kita bersetuju dan menjadi sebahagian daripada fitnah tersebut. Kita hanya mengesahkan apa yang dikatakan Nabi tetapi lebih malang lagi kerana kita adalah sebahagian darinya. Apabila datang sesuatu amanah, laksanakan dengan sepenuh jiwa, bukan untuk sesiapa atau untuk apa-apa pun tetapi kerana ia datang untuk menaikkan imej kita sebagai manusia. Yang mana Allah janjikan darjat kita lebih tinggi dari malaikat, namun jika kita leka dan alpa, maka wajarlah kita menjadi sehinanya binatang ternakan.

Keuntungan, puji-pujian dan kegembiraan adalah umpanan Syaitan dan Iblis. Jika kita katakan fasilitator yang baik ialah mereka yang berjaya menjadi ajen perubah kepada diri manusia yang lain, maka SYAITAN dan IBLIS adalah fasilitator yang terlalu baik kerana dengan mudah dia menyesatkan kita dengan umpanan puji-pujian dan kemasyhuran atas amanah yang kita pikul. Dia lalaikan kita dan dia alpakan kita.

Ya Allah perkukuhkan jalan kami Ya Allah. Istiqamahkan perjuangan kami, tenangkan jiwa kami dalam menyampaikan yang hak dan sabarkan kami ketika ditimpa bencana atau kesusahan, kerana kami yakin dan percaya ia pasti akan datang.

Kamarul Azami b. Mohd Zaini
IQ Class Management
http://iqclassmanagement.blogspot.com

Follow by Email

BERSAMA KAMI