APA ITU FASILITATOR?

Terdapat pelbagai buku dan catatan yang menceritakan atau membincangkan tentang apakah yang dimaksudkan dengan fasilitator. Dari sudut bahasanya sangat jelas. Fasilitator adalah perkataan yang asal datangnya daripada perkataan Inggeris iaitu ‘facilitator’. Perkataan dasarnya pula ialah ‘facilitate’ yang membawa erti memudahkan atau menyenangkan. Secara bahasanya dapat kita fahami bersama bahawa, fasilitator adalah orang yang memudahkan atau menyenangkan. Samalah juga ertinya dengan perkataan ‘work’ yang membawa maksud kerja dan terbitannya adalah ‘worker’ yang membawa maksud pekerja. Jadi, apabila disebutkan ‘facilitator’ ia membawa maksud pemudah atau kini ia lebih dikenali sebagai pemudahcara.


Pelbagai pihak yang terlibat dalam pembinaan fasilitator cuba memberikan pendefinisian yang pelbagai kepada fasilitator. Namun, ia hanyalah pandangan masing-masing yang kesemuanya menuju ke satu arah yang hampir-hampir serupa. Bagi kami di IQ Class Management, fasilitator adalah seorang manusia biasa yang bekerja dan berfikir secara luar biasa. Mindanya mempunyai wawasan yang tinggi serta jiwanya yang kukuh kepada pegangan hidup yang jelas. Fasilitator juga adalah seorang pembimbing yang mampu mengepalai sekelompok manusia untuk mencapai sesuatu objektif dengan menggunakan setiap ruang dan peluang yang ada disekitarnya. Fasilitator juga harus berperanan sebagai ejen perubah di dalam kelompok manusia itu tadi. Setiap kata-kata mereka akan dipenuhi dengan nasihat dan peringatan berguna buat mereka yang mendengar. Fasilitator akan sentiasa mengajak kelompokan manusia untuk berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan juga mengajak manusia untuk beriman dengan Allah.

Oleh yang demikian, fasilitator bukanlah hanya sekadar pangkat atau pekerjaan, tetapi ianya boleh berperanan dipelbagai tempat dan masa. Kita kebiasaannya melihat seorang fasilitator di dalam program-program latihan. Tetapi sebenarnya, kita juga akan dapat melihat seorang fasilitator di sekolah, bilamana seorang guru atau dari kalangan pelajar mereka sendiri melakukan tugasan dan berperilaku sebagaimana yang didefinisikan tadi. Fasilitator di pejabat pula, mereka akan bertanggungjawab untuk mencapai matlamat organisasi atau pekerjaan mereka juga dengan berkesan. Begitu juga boleh berlaku di dalam konteks kekeluargaan. Mungkin pada seorang ayah atau ibu. Sekiranya mereka berperanan sebagaimana yang telah catatkan, maka mereka juga adalah seorang fasilitator. Ini tidak kita bincangkan lagi mereka yang berada di universiti sebagai pensyarah, mahupun dikalangan rakan sebaya di kampus, bidang perkilangan dan sebagainya.

Ini bermakna, tugas menjadi fasilitator bukanlah terhad kepada mereka yang berkeinginan berada di dalam bidang latihan tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat untuk menjadi manusia yang sentiasa berfikir dan bekerja secara luar biasa dan menjadi ejen perubah dalam kelompok mereka. Firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah, orang yang pekak dan bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya)” (Surah al-Anfal ayat 22)

Oleh sebab yang demikian, kita dapat melihat, bagi manusia yang tidak mahu menggunakan kuasa berfikirnya dengan baik maka mereka ini adalah tergolong dari kalangan manusia yang pekak dan bisu. Maka, ia menjadi keperluan utama sebagai seorang fasilitator untuk sentiasa membiarkan mata dan telinganya berfungsi untuk terus memahami persekitaran mereka dan berfikir luar dari kebiasaan orang lain.

“Berbuat baiklah kamu sekalian (ihsan), sesungguhnya Allah s.w.t kasih kepada orang yang berbuat baik." (Surah Al-Baqarah ayat 195)

Ayat ini pula secara jelas menunjukkan bahawa, mereka yang melakukan segala kerja mereka dengan bersungguh-sungguh merupakan salah satu sifat ihsan yang harus ada dalam diri setiap kita sebagai seorang Muslim. Maka, sebagai seorang fasilitator, melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan dedikasi adalah suatu amalan yang amat baik. Inilah rahsia ihsan yang jarang-jarang sekali direnungi oleh manusia yang bekerja seperti biasa. Hadir ke pejabat disebelah pagi dan akhirnya pulang sebagaimana rutin hariannya disebelah petang.

Apabila jiwa manusia itu dipenuhi ihsan, maka akan merangsang diri mereka untuk sentiasa menjadi pendorong untuk merubah keadaan yang buruk untuk menjadi lebih baik. Di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11, firman Allah yang bermaksud;

“...sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...”

Marilah kita fahami bersama bahawa, menjadi fasilitator memerlukan ciri-ciri manusia yang terbaik. Namun, ia tidak harus ditakuti kerana ia memerlukan pengorbanan untuk memulakannya. Setiap ciri tersebut perlu dibina dalam diri dengan menyimpan hasrat untuk menjadi fasilitator dimana sahaja anda berada. Tidak ada alasan seumpama, ‘saya belum bersedia’, ‘ilmu belum cukup’, atau ‘ada orang yang lebih layak dari saya’. Ini kerana, tidak ada seorang manusia pun yang sempurna penciptaannya, bahkan perlukan masa untuk menjadikan diri lebih baik dari sebelumnya. Jika tidak memulakan langkah pembaikan, ia tidak akan menjadi kenyataan.

Kesimpulannya, fasilitator membawa 2 pengertian utama iaitu seorang manusia biasa yang berfikir dan bekerja dengan luar biasa dan ejen perubahan dalam kelompok manusia. Pada siri penulisan yang akan datang, kita akan kongsikan apakah peranan khusus seorang fasilitator kepada kelompok yang diketuai oleh mereka. Sekian.

Follow by Email

BERSAMA KAMI