Ceramah SMART untuk Minggu Orientasi Pelajar MultiMedia College



9.00 malam, 29 April 2009, MultiMedia College Jalan Semarak (TM). PULM Kamarul mewakili Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) telah memberikan ceramah selama lebih kurang 2 jam kepada lebih kurang 90 pelajar baru MMC. Ceramah dimulakan agak lewat dari masa yang diperuntukkan. Ceramah bertajuk Pelajar S.M.A.R.T. Kali ini PULM Kamarul diiringi oleh 2 orang wakil dari PEPIAS iaitu Zafrullah (Setiausaha Agung PEPIAS) dan Syamel (Bendahari Agung PEPIAS).


Ceramah seperti biasa dimulakan dengan taklimat SENYUM dan SEDIA. Taklimat yang disampaikan adalah kurang memberangsangkan dan tidak berjaya memecahkan suasana peserta di dewan. Ia cuba diperbaiki dan permainan Sentuhan diperkenalkan bagi mengatasi keadaan suram dewan. Keadaan dewan sedikit berubah dan peserta semakin ceria. Mungkin kerana kepenatan setelah sehari berorientasi. PULM Kamarul terus melakukan aktiviti latihan minda untuk membuka suasana.


Kemudian, PULM Kamarul memulakan sesi sebenar ceramah dengan membincangkan ciri-ciri pelajar yang bersifat 'Self Achievers'sebelum memulakan permainan XY. Permainan XY berjalan lancar sehinggalah sesi resolusi permainan. Peserta diingatkan ketika sesi akhir ini tentang 5 ciri utama dalam mencapai kejayaan dalam hidup mereka. Melalui permainan XY peserta telah memberikan contoh-contoh yang sesuai iaitu;

S: Berstrategi (Strategy)
Ini tidak bermakna kita boleh melakukan apa sahaja semata-mata untuk mencapai matlamat. Persoalannya, apakah matlamat peserta berada di MMC?

M: Fokus minda (Mindsets)
Apabila kita sudah bercita-cita dan berusaha, maka bulatkanlah tekad, berfikiran positif dan percayalah bahawa Allah akan bersama orang yang benar. Minda kita mudah tersasar khususnya pada perkara yang menyeronokkan.

A: Sikap diri (Attitude)
Inilah banyak perlu diperbaiki oleh peserta, kerana sikap ini merupakan nilai tambah yang penting dalam usaha untuk mencari pekerjaan kelak. Sikap ini juga termasuk sikap terhadap guru, masa, rakan serta diri mereka sendiri.

R: Risiko yang diambil (Risk Taking)
Berani atau tidak, belajar ada risiko, terutamanya terhadap keluarga dan diri sendiri. Tetapi risiko ini kita ambil kerana ia akan mengurangkan tekanan sedikit untuk risiko yang lain.

T: Jangkamasa (Time Frame)
Masa kita terlalu sedikit, maka buatlah persiapan untuk diri dan untuk semua yang bersama kita.



Maka sesi ini ditamatkan lewat selepas diingatkan oleh juruacara pada jam 11.50 malam. Namun apa yang perlu diperbaiki ialah;

1) pengurusan masa dan isi kandungan ceramah,
2) kedudukan alat bantu mengajar dengan penceramah (terlalu jauh),
3) persiapan ceramah yang tidak teliti dan permainan yang tidak sesuai, serta
4) permainan perlukan sedikit perubahan dari segi maklumat bayarannya.


TUNE-lah diri kita.


"Manusia akan binasa kerana 2 sebab; putus asa dan bangga diri."

Catatan Popular