Sejauhmanakah Kita Memanfaatkan Masa

Allah s.w.t menyebut dalam surah Al-Asr ayat 1-5 yang bermaksud:

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Menurut Pak Hamka, Allah memilih ayat Al-Asr ini adalah sebagai menunjukkan bahawa waktu ini adalah penting untuk manusia dan sewajarnya digunakan sebaik-baik yang mungkin. Di dalam konteks masa ini, dapat kita perhatikan, di barat, masyarakat mereka amat menitikberatkan soal kepentingan masa sehingga diwujudkan pepatah bahawa masa itu emas walaupun pada hakikatnya ia adalah amat bernilai dan lebih bernilai dari emas dan permata. Penampilan idea Al-Imam Syahid Hassan Al-Banna pada kurun ke 20 bahawa masa adalah kehidupan telah berjaya meningkatkan perspektif manusia terhadap kepentingan masa.Nilainya adalah terlalu berharga kerana tiada apa yang dapat menandingi nilai usia yang dikurniakan Allah.


Allah swt berfirman dalam ayat ke 99 -100 surah al-Mukminun, maksudnya:

"..Apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).


Ramai dikalangan kita yang merasakan bahawa mereka telah menyusun dan merangka masa mereka dengan berkualiti dan berkesan. Siapakah mereka yang berjaya menyusun mereka dengan berkualiti dan berkesan? Apakah ciri-cirinya?


Panduannya telah disebutkan dalam surah di atas. Terdapat empat syarat untuk kita menjadi manusia yang berkualiti dari segi masanya iaitu;

(1) Syarat yang pertama mestilah beriman.
(2) Syarat yang kedua beramal.
(3) Syarat yang ketiga berpesan dengan kebenaran.
(4) Syarat yang keempat berpesan dengan sesabaran.


Ini bermakna, masa yang berkualiti itu bukan sahaja tertakluk kepada bagaimana kita mengurus dan memperuntukkan masa kita sahaja, tetapi apa yang lebi utama adalah BAGAIMANA KITA MENGISINYA? Maka, ramailah diantara kita yang telah pun kerugian menurut ayat Allah ini kecuali mereka yang mencukupi syarat-syarat tadi.


Catatan Ustaz Zahazan dalam artikelnya ada menyebut bahawa; "menurut al-Imam al-Sawiyy, menerusi syarat-syarat yang disenaraikan di atas, kita dapat melihat hubungan dengan manusia juga penting, sabagaimana hubungan dengan Allah s.w.t. Ini kerana beriman dan beramal soleh adalah perkara-perkara yang melibatkan hubungan seseorang dengan Allah seperti solat, puasa, zakat, haji, istighfar, sabar menghadapi ujian, bertaubat dari dosa dan sebagainya. Berpesan dengan kebenaran dan kesabaran pula adalah merujuk pada kepada kerja-kerja dakwah dalam bentuknya yang umum. Ia turut disebut sebagai salah satu aspek "hablun minannas" iaitulah kerja-kerja yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia."


Dalam sebuah hadith yang sahih riwayat Muslim, Nabi saw mewasiatkan kita agar menjadikan nasihat menasihati sebagai amalan. Nasihat yang dimaksudkan ini melibatkan pelbagai peringkat manusia daripada golongan yang paling rendah hinggalah golongan yang paling tinggi termasuk para pemimpin. Maka, jelaslah bahawa apa yang telah dicanangkan Allah dalam surah Al-Asr ayat 4 dan 5 juga merupakan sebahagian tanggungjawab dan peranan kita dalam memanfaatkan masa.


Menurut Syikh Dr ‘Ali Ab Halim Mahmud dalam kitabnya, Fiqh al-Dakwah al-Fardiyyah, seseorang pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri berikut iaitu:

1. Ikhlas kerana Allah.
2. Mempertingkatkan ilmu.
3. Jalinan dan hubungan dengan Allah.
4. Membaca kisah-kisah perjuangan orang-orang Islam yang terdahulu di kalangan para Nabi, sahabat, pejuang-pejuang Islam dan lain lain.
5. Sentiasa berdoa kepada Allah supaya bukakan hati manusia yang terlibat.
6. Mengamalkan Islam dalam hidup sebelum mengajak orang kepadanya.
7. Bergabung dalam jemaah orang-orang Islam.
8. Mengembangkan budaya ilmu dalam diri.
9. Mesti ada murabbi (mentor) yang dinamakan beliau sebagai qudwah mithaliyyah yang dapat kita mengambilnya sebagai contoh.


Dipetik dari http://zahazanmohamed.blogspot.com/


"Manusia akan binasa kerana 2 sebab; putus asa dan bangga diri."

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI