Diskusi 1: Niat

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana dengan kesempatan masa dan kehidupan ini, diberikan rahmat dan peluang untuk bertemu dalam satu majlis dakwah, majlis perbincangan yang menggabungkan penggerak dan perunding IQ Class Management, NICE sdn. bhd. serta KEC sdn. bhd. dan juga rakan-rakan pimpinan kanan PEPIAS.


Pada 27 Februari 2009 yang lalu, bertempat di D 84 Jalan Nilam Taman Perwira 1 Batu 6 Gombak, telah berlangsung satu kelompok perbincangan yang amat baik dan memberangsangkan. Perjuangan untuk memastikan semua kerja dan usaha dakwah ini berterusan diharapkan akan mendatangkan natijah dengan usaha-usaha kecil yang mungkin tiadalah besar nilaiannya di sisi manusia tetapi pastinya Allah memberikan ganjaran yang baik.


Diskusi ini bermula dengan solat Maghrib berjemaah bersama-sama. Dapat dirasakan kehangatan perjuangan ini apabila bersentuhan bahu, berada dalam satu saf yang sama, berimamkan rakan seperjuangan yang memepunyai cita-cita yang sama. Solat berjemaah ini jadi lebih bermakna apabila semua yang hadir komited bersama-sama menunaikan solat berjemaah. Ditambah lagi, solat berjemaah ini juga diakhiri dengan zikir dan munajat kepada Allah s.w.t.


Kemudian memulakan, bacaan Ma'thurat Sughra, hampir menitis airmata ini kerana perjuangan ini seolah-olah disahut dan disambut oleh rakan-rakan yang lain. Ia seperti memulakan sesuatu yang telah lama ditinggalkan bersama. Inilah kepentingan jemaah kita. Inilah keperluan kita berjemaah. Bukan kerana nama jemaah, tetapi ikatan dalam berjemaah. Maka ingatlah, jemaah yang mengikat kita semua adalah ISLAM.


Diskusi kemudiannya dimulakan oleh tuan rumah. Mengucapkan selamat datang kepada semua dan berterima kasih. Tuan rumah menjelaskan kepada rakan ahli diskusi bahwasanya, diskusi ini mempunyai beberapa objektif terpenting. Ia mencakupi perkara yang berkaitan dengan hubungan silaturrahim sehinggalah kepada pemulihan hati dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. Pelbagai perbincangan yang dapat dikupas setelah perbincangan ini ditamatkan.


Antara isi kandungan yang dibincangkan ialah berkenaan dengan niat yang pada dasarnya, semua kita akan membuka Buku Hadith 40 dan membahaskan tentang hadith yang pertama. Perbincangan kami tidak tertumpu kepada hadith tersebut. Apa yang dibincangkan termasuklah pecahan tujuan berniat yang terbahagi kepada 2 iaitu kerana untuk beramal soleh dan untuk siapa kerja itu dilakukan. Untuk beramal soleh pula dibahagikan lagi kepada dua untuk tujuan membezakan antara adat dan ibadat serta antara ibadah wajib dan sunat.


Begitu juga natijahnya apabila kita semua mempunyai niat yang baik. Dikisahkan oleh Imam Al-Ghazali tentang seorang wanita yang baru berkahwin. Si suami mengingatkan isterinya, jika engkau ingin menjadi isteri solehah maka kau turutilah perintahku. Dengan niat yang suci si isteri, maka diturutilaH pesanan suaminya sehinggalah sampai suatu hari, si suami pergi berjauhan meninggalkan isterinya di rumah. Tiba-tiba datang beberapa orang lelaki ke rumahnya menyampaikan berita bahawa ayahnya sakit dan meminta si isteri tadi pulang. Dengan niat yang sangat suci maka si isteri ini mengatakan bahawa dia tidak dapat pergi kerana suaminya belum pulang dan tidak mendapat kebenarannya. Sehinggalah ayahnya meninggal dunia, dia masih tidak meninggalkan rumahnya kerana tidak mendapat keizinan dari suaminya. Kemudian pulanglah si suami lalu mendengar berita tersebut dari isterinya. Terkejut si suami mendengar cerita dari isterinya. Menurut yang diceritakan, Allah telah memberikan pahala kepada isterinya kerana berpegang teguh kepada niat yang murni tadi, begitu juga suaminya yang meninggalkan pesanan tadi, juga ayahnya yang meninggal kerana bersabar dengan keadaan itu.


Perbincangan juga meliputi kepada perbincangan sinopsis buku God is my CEO. ia membincangkan tentang bagaimana penulis (seorang paderi) menceritakan tentang 2 undang-undang iaitu perniagaan dan tuhan (Business Rules & God Rules). Kesimpulan kami ialah, apabila kita menuruti undang-undang Allah s.w.t nescaya undang-undang perniagaan akan bersama-sama. Kami juga diingatkan bahawa, kehendak kita adalah dibawah kehendak Allah. Redha dengan ketentuan bersabar dan berkata benarlah walaupun ia adalah pahit. Perjuangan ini pasti banyak liku-likunya.


Kata orang, kalau jujur macamana nak berjaya? Tetapi persoalannya jika berlaku jujur adakah ianya bermaksud tewas atau tidak berjaya? Diskusi ini berjaya menetapkan hati kami bahawa, berada dalam bidang latihan ini memerlukan banyak pengalaman dan pembelajaran. Maka tidak ada cara yang terbaik selain berada di dalamnya dan berbincang mengenainya. Perbincangan ini berjaya membuka mata kami bahawa, wang dan kekayaan bukanlah segala-galanya. Mendidik umat sebagaimana Nabi menyebutkan ummati, ummati, ummati, adalah lebih utama, tinggi dan itulah kekayaan kita yang sebenar. Jangan tinggalkan generasi kamu, generasi yang lemah. Kekayaan ialah apabila kita merasakan apa yang kita ada adalah cukup untuk kita.


Akhiran, kami mengharapkan, melalui diskusi begini, sebagaimana sejarah nabi memulakan dakwahnya, akan melahirkan lebih ramai generasi-generasi muda yang sedar akan tanggungjawab mereka terhadap agama khususnya PEMUDA-PEMUDA.



"Manusia akan binasa kerana 2 sebab; putus asa dan bangga diri."

Follow by Email

BERSAMA KAMI