Hakikat Pengurusan Masa Yang Berkualiti

Allah swt berfirman dalam surah al-Asr, maksudnya :
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Berdasarkan ayat ini Allah swt telah menjelaskan kerugian yang dialami manusia kecuali segelintir yang menepati empat syarat tersebut. Persoalan yang elok ditimbulkan dalam konteks ini ialah pengurusan masa secara bjaksana yang disebut sebagai 'quality hours' oleh masyarakat barat. Apabila menyebut perkara ini dua perkara utama yang berkaitan ialah peruntukan masa dan pengisiannya.

Setiap suami isteri selalunya mendakwa sudah memberikan kasih sayang pada anak-anak menerusi peruntukan masa bersama mereka dalam sesuatu tempoh masa. Demikian pula di kalangan para suami, ramai yang mengatakan sudah memperuntukkan sebahagian masa untuk isteri. Hal yang sama mungkin berlaku pada isteri yang berkarier. Para pelajar pula mungkin mendakwa bahawa jadual yang mereka lalui saban hari sudahpun menunjukkan mereka berjaya mengisi masa dengan saksama. Adakah setiap individu di atas sudah memenuhi tuntutan pengisian masa secara tepat dan efektif?

Menjawab soalan ini yang berhubung rapat dengan kehidupan kita dan kita meyakini bahawa antara perkara yang akan disoal di akhirat ialah pengisian masa, perlulah kita merujuk kepada model masyarakat iaitu Nabi s.a.w. Sirah menunjukkan bahawa Nabi s.a.w walaupun sibuk dengan kegiatan harian melibatkan urusan negara dan masyarakat, tetapi ternyata baginda masih ada masa untuk isteri, anak dan cucu baginda. Baginda sentiasa melakukan aktiviti kekeluargaan secara kemas dan teratur. Baginda ada masa untuk para sahabat dan kaum keluarga. Demikian juga dengan para sahabat r.hum yang ternyata berperanan besar dalam pembentukan negara yang kuat di arena antara bangsa. Masyarakat yang kuat tentunya dibina di atas unit-unit keluarga yang kukuh.

Untuk memenuhi kriteria penggunaan masa secara tersusun itu, sebenarnya Allah swt telah memberikan panduan menerusi ayat-ayat dari surah Al-Asr di atas. Syarat yang pertama mestilah iman, diikuti dengan amal salih yang menepati petunjuk kenabian. Seterusnya tanggungjawab yang berikutnya ialah kewajipan berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Maksudnya ialah tuntutan mengisi masa secara berkualiti itu bukan terbatas dari sudut peruntukan sahaja, tetapi yang lebih penting dari itu ialah bagaimana mengisinya.

Perkara ini harus difahami sebaik mungkin kerana ramai yang telah memperuntukkan masa untuk melakukan sesuatu aktiviti, tetapi tidak ramai yang berjaya menemui hasil yang baik dari apa yang diperuntukkan itu.

*petikan dari blog Ustaz Zahazan


"Manusia akan binasa kerana 2 sebab; putus asa dan bangga diri."

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI