Pekerjaan Sebagai Amanah Allah: Dedikasi, Determinasi & Disiplin

Pekerjaan Sebagai Amanah Allah: Dedikasi, Determinasi & Disiplin

Kamarul Azami b. Mohd Zaini
Perunding Utama Latihan dan Motivasi
IQ Class Management

Semua orang bekerja samaada menjadi pekerja atau majikan pekerja. Pada asasnya, pekerjaan adalah aktiviti wajib dilakukan oleh seorang manusia bagi memastikan diri mereka memperoleh pendapatan yang akan digunakan untuk menyara kehidupan mereka serta keluarga saraan mereka. Kehidupan sebegini adalah satu perjalanan hidup yang biasa berlaku kepada manusia. Dek kerana kebiasaan tadi, maka manusia lupa kepada asas dan matlamat sebenar pekerjaan mereka. Bangun pagi dan buka sahaja mata, maka bermulalah hari bekerja seperti biasa.

Kehidupan yang biasa ini pada umunya adalah tidak wujud dalam kehidupan seorang Muslim Mukmin. Ini kerana sebagaimana pesanan Baginda Rasulullah iaitu seorang manusia yang terbaik adalah hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Adakah ini berlaku kepada kita? Sebaliknya yang berlaku adalah hari-hari sama seperti semalam. Nabi juga ada bersabda bahawa mereka yang hari ini sama seperti semalam adalah mereka yang lalai. Hasil kajian psikologi ada menyebut, apabila kita membuat sesuatu kerja yang sama secara kerap lebih dari enam kali, kita akan mula melupakan matlamat sebenar apa yang kita lakukan.

Perjelaskan Matlamat
Beberapa perkara perlu dilakukan bagi memastikan kita terus komited dalam melaksanakan tugas masing-masing. Ia perlulah bermula dengan merubah pandangan hidup kita terhadap pekerjaan. Pertama, pekerjaan kita adalah sumber rezeki yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Ia perlulah mendapat keberkatan dan diredhai Allah. Kedua, kerja ini amanah Allah untuk kita tetapi bukanlah beban. Ia perlu dilaksanakan dengan sempurna kerana kita akan disoal atas apa yang kita kerjakan terhadap amanah kita. Terakhir pula kite perlu jelas bahawa kerja kita adalah ikhlas kerana Allah untuk kebaikan masyarakat dipersekitaran kita.

Wujudkan suasana mahabbah
Pesanan Baginda Rasulullah kepada umat Islam harus kita perhalusi sebaik mungkin. Baginda berpesan agar kita umat manusia tidak saling memutuskan silaturrahim kerana bagi mereka yang memutuskan silaturrahim, maka akan putuslah rahmat Allah kepadanya. Suasana mahabbah dalam organisasi merupakan satu keperluan untuk memastikan kita dapat bekerjasama dengan baik. Prinsip 4KA perlulah diperhalusi dan diterapkan dalam pasukan kita. 4K mewakili kebersamaan, kepercayaan, keterbukaan dalam kerahsiaan dan A mewakili 'adabul ikhtilaf'. Maka, untuk menanam prinsip ini ia harus bermula dengan saling mengenali antara satu sama lain. Hati yang terbuka untuk menerima kekuatan dan kelemahan seseorang. Terimalah mereka seadanya.

Memahami pekerjaan sebagai amanah adalah sangat penting dalam usaha untuk melahirkan pekerja yang dedikasi, determinasi dan disiplin. Dedikasi bermaksud keupayaan setiap individu dalam organisasi untuk melakukan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin. Determinasi pula ialah keupayaan mereka untuk melakukan tugas sehingga sanggup berkorban apa sahaja asal yang penting tugas mereka dapat selesai dan capai yang terbaik. Manakala disiplin ialah satu keupayaan yang membentuk sikap, jatidiri serta pendirian yang tetap dalam tugas.

Untuk melahirkan pekerja yang sebaik ini maka wajarlah ia dimulai dengan penjelasan matlamat. Ini kerana matlamat itu ibarat cita-cita. Kejayaan akan hadir dengan usaha dan usaha tidak akan terbentuk dalam minda kita jika tidak bermula dengan cita-cita. Pemurnian matlamat ini pula perlu disusuli dengan emosi yang stabil dan kerohanian yang mantap. Peranan ini perlu dimainkan oleh setiap peringkat dalam organisasi. Jika subur suasana yang muhibbah dalam organisasi, pastinya segala pekerjaan dapat dilakukan dalam keadaan yang terbaik, tenang dan bersama-sama berbanding dalam keadaan tegang.

kamyghebat@yahoo.com
http://kamarulazami.blogspot.com
019 277 0412 / 012 689 1738

"Manusia akan binasa kerana 2 sebab; putus asa dan bangga diri."

Pendaftaran Kem Cuti Sekolah 2017

Follow by Email

BERSAMA KAMI